Monday, June 21, 2010

Pelayaran

Awan berarak tenang. Angin petang bertiup perlahan. Namun sebaliknya, hatiku berkecamuk. Fikiranku bercelaru. Ketenangan alam berlalu bersama tiupan bayu yang singgah di wajahku. Hatiku sakit. Fikiranku sakit. Jiwaku sakit. Aku sakit dengan persekitaranku yang terus menerus menghimpitku. Persekitaran yang mengundang penyakit. Aku ingin menangis namun air mataku begitu berharga untuk ditumpahkan begitu sahaja. Aku terlalu ego untuk menumpahkan kolam air mataku. Sakit dan perit bagaimana sekalipun yang kurasakan didasar hati, tembok air mataku terlalu tinggi dan keras untuk diroboh dan dibocorkan.

Aku pejamkan mataku rapat-rapat. Wajah Nadhirah yang sentiasa tersenyum bertandang di kotak ingatanku. Aku merasakan tangannya yang sentiasa menepuk belakangku. Tepukan yang sentiasa menguatkanku dan memberi semangat baharu padaku.

“Dania, hidup ni macam computer games juga. Ada level tertentu mengikut kecekapan. Kalau dah master satu level, kita masuk level baru yang lagi mencabar. Sampai satu tahap, kita dapat capai level yang lebih tinggi dari orang lain dan dapat mencatat nama sebagai juara..dan kalau kita cemerlang dalam tiap level, ada imbuhan yang istimewa..” pesannya padaku yang sering diulang berkali-kali, hingga aku dapat menghafal tiap bait katanya.

“ Maksudnya?”

“ Dalam hidup ni, kita pasti berdepan dengan pelbagai macam ujian mengikut kemampuan. Kalau dah lepas satu ujian, kita diberi ujian baru yang lebih mencabar. Tapi kalau kita selalu bersabar dan hadapi dengan sebaik mungkin, kita dapat ganjaran besar dariNya. Bila tiba masanya, kita akan menang dan Allah angkat darjat kita sebagai hambaNya yang berjaya di dunia dan akhirat lebih dari yang lain. Masa tu, baru kita akan merasa tiap ujian Allah itu semuanya baik untuk kita..” Dia menepuk belakangku seraya memeluk bahuku.

“ Kau kuat. Aku tahu kau kuat. Be strong. Alah..kalau main games pun, aku selalu kalah dengan kau..” ujar Nadhirah lalu tertawa kecil. Aku turut tertawa sama.

‘Allahuakbar…Allahuakbar..’

Laungan azan di masjid berhampiran membuatkan memori bersama Nadhirah lenyap serta merta. Aku tersentak lalu membuka mata. Semuanya samar pada pandanganku. Bayangan orang yang lalu lalang dihadapanku semakin jelas. Aku mengucap beberapa kali dan menarik nafas panjang lalu melepaskannya perlahan-lahan.

‘ Allah..bila agaknya Engkau akan pertemukan diriku dengan sahabatku Nadhirah..’ bisik hatiku. Aku memang cukup merindukannya. Selama bertahun berpisah dengannya dan bertemu dengan ramai rakan baharu, tidak seorang yang dapat menggantikan Nadhirah di hatiku. Benarlah, sahabat sejati sukar dicari,ia juga mustahil untuk dilupai dan dicari ganti.

‘Redhailah sahabatku Nadhirah walau di mana jua dia berada, ya Allah..lindungilah dia Ya Allah..dan mudahkan segala urusannya..’

Aku lantas bangkit dan melangkah menuju seruan dariNya untuk memenuhi barisan perajurit di rumahNya yang sentiasa damai dan mententeramkan.

No comments: