Friday, December 30, 2011

Nilai sebuah doa

Petang itu memang menghibakan saya. Asalnya, saya menyampaikan kuliah berkaitan konsep berdoa kepada para banduan juvana di sebuah pusat tahanan. pada hujung majlis ilmu itu, saya meminta mereka membuat permohonan kepada Allah. Ia lebih kepada latihan amali dalam berdoa.

"Cuba berdoa kepada Allah perkara yang paling kamu kehendaki," pinta saya untuk menguji kefahaman mereka terhadap isi kuliah.

Seorang demi seorang berdoa dengan nada suara yang sederhana meminta perkara yang paling mereka mahukan saat itu. Bermotivasikan daripada hadis, tawassul dengan amalan soleh sebagaimana yang diceritakan dalam kuliah sebelumnya, mereka meminta hajat mereka. Beberapa adab berdoa diperingatkan apabila ada antara mereka yang meninggalkannya.

Ada yang meminta keadilan diberikan kepadanya. Ada yang meminta isteri di kampung sabar menantinya. Ada yang berdoa agar anaknyamenjadi anak yang soleh dan tidak menjejak langkah yang sama sepertinya. Tidak lupa juga ada yang mahu kaya. Tetapi, rata-rata mahu keluar segera dari penjara. Ada yang berdoa pendek dan ada yang tidak tahu mahu meminta apa.

Tetapi nafas saya seakan terhenti apabila mendengar doa seorang juvana. Dia memulakan dengan pujian kepada Allah dengan pelbagai pujian yang selayaknya untuk Allah. Dia menyeru Allah dengan pelbagai asma'-Nya yang mulia. Selawat indah dikarang secara natural dari lidahnya. Dia meminta keampunan untuk ibu bapanya dan dirinya dengan sebaik-baik bahasa. Kemudian,doanya panjang untuk keselamatan akhirat, kekuatan iman dan kesempurnaan akhlak. Semuanya hanya berkaitan dengan perkara akhirat dan tidak sarat dengan permintaan keduniaan.

Doanya mengesankan! Tanpa disedari, air mata kami turut mengalir ketika itu. Itu doa spontan yang memang lahir dari hatinya. Masya-Allah, mungkin doa-doa itu sudah lama menjadi amalannya.

Sudah beberapa tahun saya berkhidmat dan berdakwah kepada kelompok juvana di pusat tahanan, tidak pernah saya bertemu dengan anak muda seperti ini. Hati saya menjadi hiba. Seandainya mereka banyak berdoa sebelum terjebak ke lembah jenayah, doa-doa itu mungkin boleh menjadi perisai daripada panahan iblis yang merosakkan usia muda mereka.

Anekdot ini membawa kita kepada satu persoalan. Setiap kali kita berdoa, apakah prioriti atau keutamaan kita? Permintaan apa yang akan kita minta dahulu dan yang kita tekankan dibaca berulang kali dan tanpa jemu dipinta? Bertanyalah pada diri kerana jarang sekali kita bermuhasabah menilai isi kandungan doa yang kita panjatkan. Adakah kita lebih banyak meminta perkara yang berkaitan kehidupan dunia, berbanding kehidupan akhirat?
(Kisah di atas merupakan antara petikan dalam ruangan 'Analisis' Majalah Solusi Isu 38(ms 95) nukilan Mohd Al-Adib Samuri)


Bagaimana dengan doa kita sehari-hari hingga ke hari ini? Pernahkan kita bermuhasabah semula untuk menilai doa kita? Atau kita selama ini hanya berdoa bila merasa perlu?

Bila dekat nak 'exam' baru mencari tikar sejadah (kira bersyukur bagi yang ada kesedaran bila nak exam daripada yang tak sedar langsung) , baru terasa untuk menadah tangan, baru teringat untuk berdoa..dan isi doa pula hanya berkaitan untuk lulus dalam exam..tapi pernah atau tidak kita meminta untuk diberikan yang terbaik untuk diri kita, agama kita dan hidup kita di dunia dan akhirat? Meminta dan memhon agar segala ilmu yang dipelajari menjadi sesuatu yang bermanfaat buat diri, dan seluruh ummat Islam?

Bila dapat musibah, seringkali keluhan yang terbit dahulu daripada kesyukuran berupa doa. Kita pasti meminta untuk dipermudahkan semuanya, tapi pernah atau tidak kita meminta agar musibah itu menjadi suatu kebaikan yang akan mendekatkan diri kita kepadaNya?

Kita ini manusia. Sehebat dan seangkuh mana pun seseorang itu, jika dicampakkan ke tengah lautan atau ke tengah hutan belantara keseorangan, pasti dihatinya timbul rasa untuk bergantung pada sesuatu yang lebih berkuasa, yang Maha Berkuasa agar menyelamatkannya. Ketika itulah, kita akan merasa betapa tingginya nilai sebuah doa apabila tidak mampu melakukan apa-apa lagi selain menyatakan pergantungan padaNya.

Justeru renung-renungkanlah doa kita selama ini..dan kita juga perlu menyedari, kadangkala perkara yang kita sangka baik itu sebenarnya tidak baik untuk kita dan begitulah sebaliknya. Oleh itu, janganlah patah hati atau kecewa jika doa tidak dimakbulkan seperti yang dipinta kerana Allah lebih tahu apa yang kita perlukan, dan kadangkala apa yang kita pinta bukanlah satu keperluan yang terbaik buat kita saat itu..