Thursday, January 13, 2011

Taaruf

Kata orang, tak kenal maka tak cinta. Justeru, perkenalan merupakan mukadimah kepada suatu tautan hati. Awal perkenalan juga dikenali sebagai taaruf, bukan? (Betulkan jika kurang tepat).

Dalam suatu kelompok sosial, keperluan terhadap saling mengenali bukanlah perkara yang diutamakan, kerana setiap individu terikat dengan komitment masing-masing meski sebenarnya matlamat yang ingin dicapai adalah sama, tapi dalam menjayakan hidup bermasyarakat yang ada rasa harmoni, perkenalan menjadi asas kepada penerimaan dan keterbukaan untuk memahami orang lain.

Jadi, kali ini kita bercakap tentang taaruf atau perkenalan. Ada yang berpendapat, taaruf perlu sering diperbaharui kerana saban waktu, kita mempelajari sesuatu yang baru dari insan sekeliling kita. Dan ada ketikanya, insan yang berada disebelah kita bertahun-tahun lamanya pun tidak kita kenali, betul tidak? Kesimpulannya, masa bukanlah faktor yang mempengaruhi apakah kita benar-benar mengenali seesorang.

Oleh itu, bagi memulakan dan mengukuhkan perkenalan baru dan lama dengan para saudara saudari di luar, izinkan diri ini untuk mentaarufkan diri. Hanya sekadar ingin memberi bayangan tentang bagaimana sebenarnya peribadi dan suasana yang mencorak pemikiranku, serta apa pandangan dan impian masa depanku, dengan harapan, kita akan saling menerima kekurangan dan perbezaan corak fikiran kita.

Beberapa perkara tentang diriku :

  1. Anak ketiga dari 7 beradik. Namun sering menjadi ‘anak sulung’ kerana abang dan kakak sering tidak ada di rumah sejak zaman sekolah. Selain menolong seorang saudara menjual kuih, aku juga pernah berniaga sendiri di sekolah rendah. Pada zaman sekolah menengah pula, pekerjaan yang paling mencabar ialah menjadi ‘budak kedai runcit’ berbanding waitress. Perkara yang paling menyentuh hatiku bila teringat semula ialah semasa kecil, aku pernah mengikut ibu ke klinik desa untuk membuat pemeriksaan susulan kandungannya (adik yang sulung rasanya). Ketika itu, ibu membawa beberapa ikat sayur untuk dijual di kawasan rumah berhampiran klinik. Walapun ketika itu, aku belum mengerti apa-apa, kenangan itu masih terpahat utuh hingga kini diingatanku.
  2. Suka berdikari, tidak suka menyusahkan atau terlalu bergantung dengan orang lain, agak pendiam, ‘easy going’, dan ‘agak serius’ serta jarang marah (tapi kalau dah marah..payah nak cakap).
  3. Kami (4 beradik terawal) beradik dibesarkan dengan didikan ala tentera. Tegas dan muktamad. Nak melawan atau memprotes? Dari belakang tabir saja ada peluang. Kalau protes berdepan, alamat lebam-lebamlah badan. (3 beradik seterusnya, corak didikan lebih demokrasi sebab 4 beradik terawal sudah besar-besar dan pandai ‘cover’ adik)
  4. Gemarkan aktiviti lasak (hiking, jungle tracking, rafting, camping, berkayak, bersukan) dan juga aktiviti rumah (bertukang, masak,berkebun) dan aktiviti pilihan lain ialah membaca, melukis, tengok langit.
  5. Lahir dalam keluarga pada masyarakat pertengahan yang besar dan kurang mementingkan didikan agama, malah banyak masalah kehidupan. Kesedaran untuk tampil lain dari ahli keluarga lain datang sendiri apabila aku mula belajar dan faham pentingnya agama dalam hidup, bukan sekadar diangkat tinggi bila nak ucap akad nikah. Biasanya, masa nak kawin baru risau fikir saksi tak ada, wali macamana dan macam-macam lagi.
  6. Belajar membaca al-quran setelah masuk IPG. Juga mengenali usrah hanya setelah masuk IPG. Pendek kata, belajar banyak perkara tentang agama hanya selepas masukIPG. Terlalu banyak lagi yang perlu kupelajari, oleh itu, ada banyak perkara baru yang perlu kuadaptasi semula. Dan aku kurang gemar bila dipandang yang sebaliknya.
  7. Amat tidak bersutuju dengan budaya ‘couple’ sebelum kahwin. Kalau ada yang tanya, bolehkah ‘couple’ jawabku..’Couple-lah, kalau yakin, perasaan tidak terbuai-buai, kalau yakin tidak akan keluar berdua, dan paling penting kalau yakin, dengan bercouple, amal ibadat makin terjaga dan makin mantap’.
  8. Ingin sentiasa memperbaiki diri dan berubah untuk menjadi lebih baik. Tiap perkara ada pro dan kontranya. Demikian juga perubahan diri. Ku akui, tidak semua perubahan itu baik, dan kita tidak akan mengetahui itu sebenar-benarnya tanpa mengalaminya sendiri. Perubahan yang tidak baik itu adalah kesilapan, dan kita tidak akan dapat lari dari membuat kesilapan. Itulah harapanku. Agar suatu hari, mampu keluar dari dilemma perubahan diri.
  9. Ingin memperbtulkan kesilapan yang melingkari keluarga selagi hayat masih ada..insyaAllah. Pesanku pada diri, tidak boleh menjadi penghukum. Jadi mesti bersama mereka, menyelami dan merapati mereka, seperti dulu kala, agar tiap kesilapan itu dapat dibetulkan dengan baik, bukan menuding jari dan mengatakan ‘dia, dia, dan dia’ salah tanpa memahami mereka. (Doakan aku agar tetap kuat untuk hal ini).
  10. Ingin sekali melihat suasana Islam berkembang dikampung kelahiranku selagi hayat masih ada. Generasi muda semakin jauh dari agama, generasi tua pula semakin hilang arah untuk menegur yang muda. Ramai yang kehausan ilmu rohani, dan pengaruh luar semakin menerpa masuk. Aku masih ingat kata ustaz sekolahku ‘Rmai yang bermasalah tak cukup jemaah untuk solat Jumaat. Di Saga contohnya…” Tak cukupkah…itu yang kufikirkan sehingga kini, kerana aku tidak berjaya menghitung keseluruhan jumlah jemaah yang ada di kampung.

Demikian 10 perkara tentang diriku untuk sesi taaruf kali ini. harap-harap membantu untuk anda mengenaliku.

Ringkas kata, aku hanya hamba Allah yang tidak memiliki apa-apa melainkan apa yang dipinjamkanNya, aku tidak sempurna, ada kekurangan yang tersendiri, justeru, janganlah mengharap kesempurnaan dari mana-mana yang bergelar makhluk sekalipun. Sama-sama kita berusaha memperbaiki diri, membersihkan hari dan memperkasa rohani dalam menghadapi cabaran mendatang.