Saturday, April 17, 2010

Satu daripada lima

Bismillahirrahmanirrahiim..


Hidup di dunia sangat singkat. Namun tanggungjawab yang dipikul sangat besar bagi seorang yang bergelar manusia. Banyak perkara yang perlu ditanggung di dunia dan perlu pula dijawab di akhirat kelak. Itulah definisi ‘tanggungjawab’ yang disampaikan oleh salah seorang saudara. Tanggungjawab itu ialah yang kita tanggung di dunia dan jawab di akhirat.

Memetik kata-kata as-syahid Hassan al- Banna, ‘tanggungjawab kita lebih banyak daripada masa yang kita ada’. Terfikirkah kita apa pengertian di sebalik kata-kata itu? Pepatah Arab menyatakan, ‘masa ibarat pedang, jika kita tidak menjaganya, ia akan memotong kita’. Terdapat juga tokoh (Imam al-Ghazali jika aku tidak silap dan harap betulkan jika tersilap )yang berkata, “..paling jauh dari kita adalah masa lalu..’

Banyak sekali yang menyatakan peripentingnya kita menghargai masa yang ada walau hanya sedetik. Firman Allah dalam surah al-Asr juga menyentuh tentang masa. Mengapa masa? Tidak perkara lain? Kerana masa adalah perkara yang akan selalui diabaikan manusia. Kerana lazimnya manusia terleka dengan ‘masa lapangnya’. Kerana hanya sedikit, terlalu sedikit manusia yang dapat mengurus masanya dengan baik…

Ingat lima perkara sebelum lima perkara. Biasa sahaja kita dengar ungkapan tersebut. Tapi, bagi yang benar-benar menghayati frasa tersebut akan merasai manusia sebenarnya tak punya apa-apa. Segalanya boleh diambil bila-bila masa. Hati sebak, sayu dan air mata akan jatuh jika kita menghayatinya dengan sepenuh hati.

Lapang sebelum sempit. Frasa ini sangat meluas dan boleh diperincikan lebih dalam jika kita melihatnya dalam skop yang lebih besar. Namun aku ingin menekankan dalam aspek masa. Adakalanya, bila kita merasa lapang, kita tidak menghargai masa itu. Masa untuk solat hanya cukup-cukup untuk melaksanakan rukun yang wajib. Itu bagi yang solat. Khusyuk atau tidak belum dikira lagi. Sesudah itu, entah ke mana hala tuju kita. Apabila lapang, kita leka dengan dunia. Sukar sekali mengingatiNya kerana ingatan hanya untuk dunia. Hari-hari dihabiskan dengan perkara yang merugikan. Tidur lewat bukan kerana menghabiskan ‘assignment’, sebaliknya melayari internet, bermain ‘game’ atau menonton ‘muvie’. Sesudah itu, subuh entah ke mana. Bangun untuk bermunajat di akhir malam jauh sekali.

Sesudah itu bangun pagi bersiap pergi kuliah atau sekolah atau tempat kerja. Guru mengajar di depan, kita sibuk di belakang. Bercerita itu dan ini dengan rakan. Sebelah petang, masa dihabiskan dengan bermain di padang. Aku tidak bermaksud mengatakan bermain itu salah, kerana ia baik untuk kesihatan selain merapatkan hubungan sesama manusia. Yang salahnya ialah, apabila azan berkumandang, kita masih bergelak ketawa, menjerit-jerit dan bertepuk tampar dengan rakan. Tamparan azan ditelinga langsung tidak terasa. Mungkin gigitan semut lagi dirasai tika itu.

Aku tidak menuding jari kepada sesiapa pun dalam memperkatakan hal ini, kerana aku juga manusia biasa yang penuh kekurangan dan kelemahan. Aku juga sering terbabas dalam mengurus masa yang dipinjamkan. Justeru, aku menulis entri ini sebagai usaha memperingatkan diri sendiri dan saudara-saudari semua untuk menjaga masa kita..

Aku selalu membandingkan masa laluku dan masa kini. Selama dalam tempoh hampir 3 tahun di institut ini, apa yang telah aku perolehi? Berapa banyak ilmu yang berjaya aku pelajari? Sejauh mana minda dan hati berkembang dalam tempoh ini?

Lapang sebelum sempit. Kini dan dulu tidak sama lagi. Jika dulu, ada masa senggang di waktu pagi, akan cuba diselitkan solat sunat. Jika dulu, azam bulat dihati untuk istiqamah bangun di malam hari, dan walau berat macamana sekalipun, tubuh digagahkan untuk menunaikan azam di hati. Semakin masa berputar, persekitaran akan berubah. Acapkali keadaan memaksa kita untuk berasimilasi dengan keadaan baru. Sudahnya, kebiasaan yang lama akan mula terhakis sedikit demi sedikit. masa merubah manusia. Benarkah?

Banyak kerja. Banyak tugasan. Banyak komitmen. Banyak ‘assignment’. Banyak perjumpaan, mesyuarat dan aktiviti kelas. Banyak kelas malam. Semuanya banyak. Semakin sempit masa yang ada. Masa yang terluang hanya untuk tidur dan makan. Pendek kata, masa hanya untuk mengurus diri. Waktu solat yang memang singkat semakin singkat. Waktu sujud semakin pendek. Doa semakin pendek. Al-Quran semakin jauh dari tangan. Ayat-ayat cintaNya semakin jarang dilagukan. Hati semakin kelabu dan fikiran semakin berat.

Indahnya saat lapang itu, andai kita menggunakannya untuk mendekatiNya. Manisnya saat sempit itu andai ia menjadi sempit semata-mata keranaNya. Lapang dan sempit, sentiasa mengingatiNya, sentiasa bersamaNya, sentiasa mendamba cinta dan redhaNya….