Friday, May 28, 2010

Hakikat Bahagia itu..

Bismillahirrahmanirrahim..

Pernah anda berasa bahagia? Dari mana timbulnya perasaan bahagia itu? Ada di mana bahagia itu? Bagaimana perasaan bahagia itu? Apakah rupanya? Indah? Berwarna warni?

Jika menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, bahagia itu adalah suasana senang dan aman, aman damai serta gembira. Ia merupakan kata adjektif yang sinonim dengan damai, sejahtera, tenang, rukun, makmur dan menjadi kata terbitan pula setelah ditambahkan imbuhan apitan ; membahagikan, kebahagiaan.

Bahagia itu dari dalam diri
Kesannya zahir rupanya maknawi
Terpendam bagai permata di dasar hati

Bahagia itu ada pada hati
Bertakhta di kerajaan diri
Terbenam bagai mutiara di lautan nurani

Bahagia itu ada di jiwa
Mahkota di singgahsana rasa
Bahagia itu adalah suatu ketenangan

Bila susah tiada gelisah
Bila miskin syukur pada Tuhan
Bila sakit tiada resah di jiwa
Bukankah Tuhan telah berfirman
Ketahuilah dengan mengingati Allah Jiwa kan menjadi tenang

Kebahagiaan itu suatu kesyukuran
Bila kaya jadi insan pemurah
Bila berkuasa amanah
Bila berjaya tidak alpa
Bila sihat tidak lupakan Tuhan
Hakikatnya bahagia itu
Adalah ketenangan
Bila hati mengingati Tuhan
Semua insan kan mengerti
Maksud terseni Ilahi
Itulah zikir yang hakiki

Itulah hakikat bahagia menurut kumpulan UNIC. Aku suka lagu ini kerana intipati lagunya yang ringkas namun penuh isi tersirat yang membawa seribu pengertian...

Kita belajar dari persekitaran dengan alam sebagai ruang pembelajaran kita. Apa sahaja yang dilihat, didengar boleh kita pelajari, boleh membawa kita kepadaNya, jika kita belajar dengan mata dan hati yang terbuka. Demikian juga apabila mendengar lagu. Kita dapat belajar banyak perkara melalui lagu, melalui muzik, melalui bunyi tanpa kita sedari. Segala bentuk kemudahan yang ada kita boleh aplikasi untuk merenung kejadian dan ketentuan Allah dalam hidup ini.

‘Ramai orang punya harta banyak, rumah besar, kereta mewah, tapi dia tidak bisa bahagia. Kenapa ya?’ Kata-kata Aa Gym itu masih lekat di mindaku sehingga kini. Menonton bicarawara beliau dalam masa lebih kurang setengah jam untuk beberpa hari sahaja sudah cukup membuatkanku berfikir banyak perkara. Dan aku teringin untuk mendengar lagi kata-katanya yang cukup menarik untuk direnungkan dalam kehidupan seharian.

"Mak..mak bahagiakah hari ni?" semasa kecil dahulu, aku sering mendengar abangku bertanya soalan itu pada emak. Bila abang meningkat dewasa, dan aku mulai meningkat remaja, soalan itu juga aku selalu ajukan pada mak. Kadang-kdang mak akan jawab, " Bahagia...". Tapi lazimnya mak akan jawab, " Mak tak pernah tahu apa tu bahagia"
Bila kuimbas semula kenangan lalu itu, aku selalu berfikir, kenapa mak jawab macam tu. Dan sampai sekarang aku tidak berjaya mendapat jawapan itu.

Kebahagiaan itu, ketenangan itu milik Allah. Hanya Dia yang mampu memberikan kita nikmat bahagia itu. Nikmat bahagia yang hakiki. Bagaimana untuk mendapatkannya? Apa yang perlu kita buat untuk mendapatkannya dari Allah?.. Ingatlah Allah sentiasa, setiap detik dan saat dan berusahalah mendekatiNya. Bagaimana untuk mendekatkan diri pada Allah?
Bila Allah sukakan suatu perkara, maka kita usahalah untuk melakukannya.
Jika Allah tidak suka akan suatu perkara, berusahalah untuk menjauhinya sejauh mungkin.
Bila Allah bagi kita suatu kemudahan, suatu kegembiraan, maka bersyukurlah.
Bila Allah bagi kita suatu ujian, suatu kesusahan, maka tetaplah bersyukur, kerana itu tandanya Dia masih sayangkan kita, maka kita diujiNya agar tidak leka dengan kesenangan dunia.

Bahagia itu dari dalam diri, ada pada hati dan ia merupakan sesuatu yang subjektif. Bahagia itu akan hadir bila adanya iman dalam diri. Iman akan hadir bila ada perasaan takutkan Allah dalam hati. Merasa diperhatikan olehNya setiap saat tanpa terlepas sedikit pun. Tidak perlu takutkan manusia atau apa jua, hanya takutkan Allah. Orang yang dekat dengan Allah, biarpun tidak berpangkat besar, tidak mempunyai harta dan semiskin manapun, namun masyarakat dan pemimpin besar akan gerun akan dirinya kerana Allah angkat darjatnya.

Ingat kisah Hassan al-Basri ketika bertemu Hajjaj? Pemimpin Iraq yang bengis dan tidak berlaku adil? Ketika mengatur pertemuan dengan Hassan al-Basri, Hajjaj merancang untuk menghukumnya kerana telah berani menegur ketidakadilan dirinya pada rakyat. Namun sebaik melihat Hassan, Hajjaj menjadi kecut perut, malahan menjadi lembut dan mempelawa Hassan duduk dengan hormat. Itu kisah insan biasa yang martabatnya ditinggikan Allah. Pastinya iman beliau jauh bezanya dengan kita, hatta dengan diri yang menulis ini sekalipun.

Berbalik kepada persoalan bahagia, akan mampukah kita untuk merasai hakikat bahagia yang sebenarnya dengan berbekalkan keimanan yang cuma sedikit, dan akan adakah lagi peluang yang Allah berikan pada kita untuk merasai nikmat hakikat sebuah kebahagiaan yang disandarkan kepada ingatan pada Allah? Layakkah kita untuk merasa bahagia bila hati sentiasa melupakanNya? Layakkah hati menjadi tenang bila mana diri melakukan dosa dan maksiat, namun diri masih boleh tersenyum senang?

" Sesungguhnya Allah menyesatkan siapa yang Dia kehendaki dan memberi petunjuk orang yang bertaubat padaNya, ( iaitu ) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram."
( Surah Ar-Rad : 27-28)

Bersama-samalah kita berdoa padaNya agar sentiasa tergolong dalam kalangan insan-insan yang sentiasa mengingatiNya dalam setiap detik dan saat, dalam susah atau senang, dalam keadaan duduk atau baring, berlari atau berjalan, tidur atau jaga..insyaAllah...

Moga bermanfaat buat semua..

Assalamualaikum...