Thursday, March 24, 2011

Mukadimah alam praktikum

Bismillahirrahmanirrahiim....

Assalamualaikum.....

Alhamdulillah, hari ini, sempat mencuri masa untuk menyampaikan perkongsian di ruangan ini.

Semakin jarang menulis, semakin banyak tangan berehat kerana aku lebih gemar membaca nukilan para saudara saudari dan sahabat handai seperjuangan yang lain.

Minggu ini, kepadatan rutin harian mulai terasa. Praktikum fasa 1 baru sahaja bermula dan berakhirnya sesi pengajaran tengahari tadi menandakan berakhir sudah hari ketiga yang agak meletihkan.

Sebelum sesi praktikum bermula, pelbagai persoalan terbit difikiranku. Muncul dimindaku, pastinya sepanjang praktikum, pengurusan masa sekali lagi menjadi cabaran utamaku. Pastinya banyak perkara yang sebelum ini menjadi kelaziman, akan menjadi kejarangan. Peluang untuk solat dhuha, solat zohor berjemaah, berkongsi makanan dengan ‘tablemate’di kelas, bermain di padang dengan rakan sekelas dan sebagainya, akan menjadi sesuatu yang sentiasa kurindui.

Sibuk. Kalau boleh, aku tidak mahu dikatakan sibuk. Dan tidak mahu mengatakan aku sibuk. Praktikum atau tidak, bukan alasan untuk mengelak sebarang tugasan, atau tanggungjawab yang memang sudah terpikul di bahu. Justeru, maafkan aku jika tidak dapat memberi komitmen seperti yang diharapkan.

Semakin hari, persekitaranku makin berubah. Aku juga berubah. Setiap individu berbeza. Benar, kita tidak sama antara satu sama lain. Persamaannya cuma satu, kita semua makhlukNya, hambaNya.

Satu konsep perkara yang sama akan diterjemahkan dalam pandangan yang berbeza-beza kerana kita melihat perkara itu dari sudut yang berbeza. Sudut pandangan kita berbeza. Demikian analogi pensyarah pembimbingku dalam sesi praktikum kali ini. Terasa sangat bertuah kerana mendapat beliau sebagai pensyarah pembimbing a.k.a pensyarah penyelia. Nasihat-nasihat beliau dalam kuliahnya sebelum ini, ataupun semasa sesi kolaborasi, ada saja yang menyentuh hatiku. Kata-kata beliau seringkali mendorongku dan menguatkanku untuk tetap dengan pendirian yang teguh, mesti mendahulukan agama dalam segala urusan, pesannya. Analogi beliau membuatkan aku sedikit terkilan. Terkilan kerana ia membuatkanku berfikir, mungkin sudut pandangan yang berbeza itulah yang membuatkan ada antara kita yang semakin jauh antara satu sama lain kebelakangan ini.

Medan dakwah itu luas, kata naqibku. Dan sebagai pelajar, pelajaran atau akademik adalah medan dakwah utama, kata beliau lagi. Kata-kata pensyarah pembimbingku merupakan kesinambungan kata-kata naqibku. Perkara yang sama namun disampaikan dengan ayat yang berbeza, cara yang berbeza, dengan intipati yang sama.

Aku rindu masa yang berlalu, namun aku tidak dapat kembali menjadi seperti dulu, kerana aku ada pendirian dan impianku. Pendirian kita mungkin sama, tapi ia dilaksanakan dengan cara yang berbeza. Aku sayangkan kalian semua, tidak kira apa pegangan dan pendirian kalian, kerana kalian semua dihadirkan oleh Allah untukku, untuk mengajarkanku sesuatu tentang nilai dan erti kehidupan sebagai seorang hambaNya. Kalian semua adalah istimewa buatku.

Baiklah, cukup sekadar itu untuk kali ini. Kembali kepada cerita praktikum. Awal pagi ini aku dan rakan-rakan pelatih yang berpraktikum di SK Bulu Silou akan terlibat dengan Prgrm Kem Motivasi Murid Thun 6 sehingga hari Jumaat. Hari Sabtu pula terlibat dengan Majlis Jamuan bersama guru-guru, dan pada Ahadnya, aku ingin menghadirkan diri dalam Musabaqah Quran di Dewan Kg Meninipir. Selain memenuhi undangan dan janji, aku ingin melihat saudara-saudariku yang mewakili IPG dalam pertandingan tersebut.

Kepada rakan-rakan pelatih Ambilan Jan 2009, selamat menjalani sesi praktikum fasa 1, dan buat adik-adik junior ambilan Jan 2011, selamat berPBS dengan jayanya..