Tuesday, May 3, 2011

2 Mei 2011- Harun Yahya Conference

Bismillahirrahmanirrahim..

2 Mei 2011. Syukur Alhamdulillah, aku sangat bersyukur kerana berpeluang menghadiri suatu sidang ilmiah, Harun Yahya Conference di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu bersama-sama dengan kira-kira 40 pelatih lain. Dua tajuk yang diketengahkan dalam ‘conference’ ini ialah Islam and Science dan Miracles of the Quran yang telah disampaikan oleh Dr Ahmet Oktar Babuna dan Mr. Turgut Aksu, dua penceramah dari Turki yang juga merupakan antara orang kuat dalam pertubuhan yang diasaskan oleh Harun Yahya (Adnan Oktar). Kesimpulan dari dua tajuk tersebut yang digulung oleh Brother ShahKirit Kakulal Govindji sangat ‘hidup’ dan menarik. Penyampaian beliau menyebabkan aku tidak dapat menyandarkan tubuh pada kerusi, hanya duduk tegak menanti buah bicara yang seterusnya, Dua penceramah tersebut menyampaikan perkongsian dalam bahasa Inggeris, dan syukur sahaja, aku masih boleh memahaminya walau agak mengambil masa mengecam dan memahami satu persatu butir-butir perkataan yang diucapkan mereka. Lantas kuteringat pada sabda Nabi, semuanya bergantung pada niat. Jika niat kita baik, dan ada usaha ke arah itu, insyaAllah, akan dipermudahkan segala urusan. Syukur Alhamdulillah, atas niat untuk mempelajari ilmuNya, Allah mempermudahkan untuk memahami penyampaian dua orang tokoh tersebut, walaupun hakikatnya aku tidak menguasai bahasa Inggeris dengan cukup baik. (Minta maaf kerana tidak memuatkan perkongsian ilmiah dari ceramah tersebut, jika ada yang ingin mendapatkan antara isi-isi utama yang dibentangkan, boleh melayari blog Ust Rusli di sini)

Sebelum sesi ceramah berlangsung, kami (yang digelar para ‘senior’) mencari-cari tempat yang paling strategik untuk melihat dengan lebih jelas penceramah tersebut. Kami sepakat memilih tempat di baris kedua paling hadapan, berdekatan dengan sebuah speaker yang besar di sebelah tepi. Sambil menunggu sidang ceramah bermula, kami melakukan aktiviti masing-masing. Aku mengeluarkan majalah Milenia yang tidak habis-habis kubaca, dan meneruskan pembacaan. Seketika kemudian,…

“Saya salute orang yang masuk Islam dan tinggalkan semua benda yang dia biasa buat” kata-kata itu singgah di pendengaranku, pantas mengubah tumpuanku pada ketika itu. Dua orang muslimat, duduk di barisan belakangku, berbual tentang kehidupan baru sebagai seorang muslim. Aku ingin turut serta dalam perbualan mereka, tapi akhirnya hasrat itu kubatalkan. Pembacaanku sudah terganggu. Perbualan mereka lebih menarik perhatianku.

Sidang ilmiah akan berlangsung tidak lama lagi. Memandangkan kerusi di bahagian belakang hampir penuh, aku tidak ingin menyukarkan mana-mana hadirin yang baru tiba untuk mencari tempat. Jadi, aku kekal di tempatku, sambil telingaku terus mencuri dengar perbualan mereka.

“Bayangkan, sebelum Islam, tak pakai tudung, pakai baju yang ‘fit’, seksi, tapi bila da masuk Islam, semua tu berubah. Pakai tudung, kena solat, kena jaga adab, jaga pergaulan. Kalau sebelum tu, hidup bebas, sekarang terkawal. Siapa yang dapat buat begitu, memang hebat. Sebab tu saya salute orang-orang macam tu. Bukan senang nak ke arah tu..” demikian lebih kurang kata salah seorang dari mereka.

Aku tersenyum, sendiri. Ya..bukan senang untuk berubah ke arah itu. Perlukan keazaman yang bukan sedikit. Usah kata orang yang convert dari agama lain, bahkan yang muslim sejak lahir pun bersusah payah untuk berubah ke arah itu jika membesar dalam suasana tidak islamik. Aku juga ‘salute’ kepada mereka yang berkenaan. Mereka hamba terpilih yang cukup istimewa, kerana menerima hidayahNya dan berusaha mempertahankannya di kala insan lain memperlekehkan anugerah itu.

Teringat kata-kata Ust Kamaruddin dalam ceramah di PLDK beberapa minggu lalu, “Usah risau jika tidak dikenal dan disisih oleh penduduk bumi kerana memilih agama Allah, kerana anda dikenal oleh penduduk langit…”

“Anda terpilih dan cukup istimewa di sisi Allah..” Demikian lebih kurang kata-kata beliau yang ditujukan kepada para saudara baru dalam ceramah tersebut.


Bakal bersambung..insyaAllah.