Monday, May 3, 2010

Satu persinggahan

Bismillahirrahmanirrahim..

Masa berlalu. Hari demi hari berganti. Tidak terasa semuanya berlaku dengan begitu cepat sekali. Kadang-kadang peristiwa bertahun dahulu seperti baru berlaku semalam. Baru-baru ini, ketika balik ke kampung semasa cuti hujung minggu, kakakku mengkhabarkan bahawa ketiga-tiga adik kami yang masih bersekolah menyertai perkhemahan unit beruniform, termasuklah adik bongsuku. Aku sedikit terkejut. " Ade? Ade ikut perkhemahan?" berkali-kali aku mengajukan soalan itu. Seakan tidak percaya. Besar sudah rupanya adik bongsuku. Sudah boleh berpisah dengan keluarga dan tinggal bersama rakan-rakan baru semasa perkhemahan. Aku masih membayangkan Ade seorang kanak-kanak yang dahulunya akan ku hantar dan jemput dari prasekolah, yang dahulunya perlu dipakaikan baju sekolah, disediakan beg sekolah dan perlu disediakan segalanya. Kini, dia sudah pandai membancuh air untukku. Sudah tahu mengajarku cara memasang 'anduh' kepada 'mangsa'. Dan dia marah apabila ubat giginya digunakan tanpa pengetahuannya. Semuanya terasa baru. Tidak seperti dulu..

Itulah percaturan hidup. Perjalanan hidup. Pelayaran hidup. Tidak akan kekal di satu takuk yang sama untuk selamanya. Itu sifat hamba. Sifat makhluk. Tidak kekal. Tidak akan kekal. Sifat kekal itu hanya milik Pencipta. Tidak akan sama apa yang dicipta dengan Sang Pencipta.

Sedar atau tidak, dalam meniti kehidupan ini, kita seringkali terlupa, masa semakin singkat. Singkat untuk berada di alam persinggahan ini untuk meneruskan perjalanan ke destinasi berikutnya. Kenapa kita selalu terlupa? Adakah sebab kita yakin amal sudah cukup banyak, lalu tak perlu susahkan hati fikirkan apa akan jadi seterusnya? Atau kita menganggap dunia ini kita yang punya, hidup ini kita yang tentukan? Atau kita merasa cukup hebat kerana berjaya mencapai itu ini lalu menganggap semua yang bakal berlaku akan mudah dilalui?

Rakan-rakan mengkhabarkan padaku, pada awal Jumaat lalu, mereka tidak dapat tidur kerana ketakutan akan cuaca pada waktu tersebut. Petir dan guruh saling beradu kekuatan dan hujan lebat mencurah ke bumi. Aku tidak merasa apa-apa kerana aku lena di alam buana. Semasa sesi halaqah, ustazah membangkitkan semula perkara itu. Beliau berkata, " Terasa macam nak kiamat.." Ketika itu, hatiku seakan disentap sesuatu. Terasa rugi pula kerana tidak terjaga bersama rakan-rakan lain. Pengajaran yang amat besar daripada peristiwa itu. Sesi pengajaran langsung dariNya untuk menunjukkan Dia berkuasa melakukan apa jua yang dikehendakiNya. Andai itu hari terakhir kita, siapakah yang dapat menjangkanya? Sentuhan, teguran dan peringatan yang cukup bermakna. Hanya dari satu perkara kecil, cuaca. Hebatnya manusia, bila telinga disentuh dengan dentuman guruh sahaja pun sudah menggigil ketakutan. Ketika itulah terasa diri amat kerdil dan tidak mempunyai apa-apa kekuatan.

Itu kisah di awal pagi. Sebelah petangnya, ketika dalam perjalanan balik ke kampung, bas yang ku naiki melalui jalan kampung (bukan jalan utama seperti kebiasaannya). Agak jauh dan sunyi kurasakan perjalanan kali itu kerana hari sudah beransur gelap. Setelah beberapa ketika melalui jalan itu, barulah ternampak sebuah bas lain dihadapan. Oleh kerana pandangan mata yang terhad, ditambah dengan suasana yang agak gelap dan kesamaran penglihatan, aku tidak nampak sangat label di belakang bas tersebut. Setelah berjaya mengekori bas tersebut, barulah aku dapat membaca label tersebut. 'Kereta Jenazah'.. Tersirap darahku. Gementar rasa hati. " Kenapa pula ada kereta jenazah di sini?" ajuku pada kakakku yang duduk di sebelahku. Kakakku hanya menggeleng, tidak memberikan sebarang komen.

Aku terfikir, adakah aku semakin leka hingga pada hari Jumaat itu, aku diingatkanNya tentang saat yang pasti berlaku itu berkali-kali. Aku hanya mampu beristighfar di dalam hati mengenangkan kealpaan yang melingkari diri saban waktu...

Sungguh, saat itu pasti akan tiba. Pasti akan tiba mengunjungi setiap yang bernyawa. Bezanya cuma bila, di mana dan bagaimana..Kadangkala, dan biasanya kita akan terlupa semua itu apabila asyik dengan nikmat dunia yang tak seberapa ini. Seringkali kita terlupa padaNya bila kita asyik teringatkan makhlukNya. Seringkali kita terlupa pada janjiNya apabila termakan hasutan, pujuk dan rayuan iblis durjana. Bila dunia menguasai hati, diri mudah dikuasai, dan akhirat akan dilupai. Lupa akan hakikat kehidupan sebagai persinggahan. Persinggahan yang seketika cuma.

Hari ini sebelah malamnya pula, perbualan dengan adik junior berkenaan pengalamannya menusuk jauh ke dalam hatiku. Hanya berbicara soal mimpi dan peristiwa yang dilaluinya. Cukup simple. Namun sudah cukup menggetarkan hati. Aku terfikir lagi, adakah aku sempat menjadi orang yang lebih baik? Adakah aku akan sempat memperbaiki keadaan keluargaku? Apa akan jadi andainya aku tidak sempat melakukan apa-apa? Andai aku ditanya berkenaan masa hidupku, apa yang harus aku jawab? Membandingkan nikmat yang dikurniakanNya dengan segala usaha menegakkan agamaNya dalam diri sendiri sekalipun tidak mampu untukku lakukan. Cukup jauh, bagai langit dengan bumi....

Benarlah..kasih sayangNya melebihi kemurkaanNya..Pernahkah kita terfikir, sejauh mana pun kita melanggar perintahNya, Dia masih memberi peluang bernafas, memberi nikmat kesihatan, nikmat akal untuk berfikir dan sebagainya lagi, namun kita masih lagi megah di'dunia' sendiri?

Sayangnya Allah pada kita hingga memberikan kita peluang untuk hidup didunia bagi mengumpul bekal untuk bertemu denganNya kelak.

Sayangnya Allah pada kita hingga tidak meminta sedikit pun balasan atas segala kurniaanNya..Cukuplah sekadar kita mengingatiNya, bersyukur padaNya dan mentaati perintahNya.

Sayangnya Allah pada kita hingga memberikan kita batas untuk setiap perlakuan, kerana Dia tahu kita akan binasa dan rosak andai menurut hawa nafsu tanpa batasan.

Sayangnya Allah pada kita hingga Dia memberikan kita pelbagai pilihan dengan disertakan akal dan hati untuk mentafsir agar kita bebas membuat pilihan sejajar dengan pertimbangan akal dan hati..

Sayangnya Allah pada kita hingga menjadikan kita ummat kekasihNya yang agung...satu kelebihan yang tidak dimiliki oleh ummat-ummat nabi yang terdahulu..

Sayangnya Allah pada kita hingga sejauh mana pun kita melupakanNya, tidak sesaat pun Dia melupakan kita..

Bagaimana agaknya jika kita mengetahui sejak awal bilakah hari terakhir kita? Akan ada lagikah ruang untuk bergelak tawa, akan adakah lagi keinginan terhadap dunia? Akan bermaknakah segala yang kita miliki?

Andai hari ini hari terakhir kita, renungkan apa yang telah kita lakukan sebelum ini...
Andai esok bukan hari kita, renungkan bagaimana nasib kita di perhentian seterusnya..

Kata-kata seorang guru yang amat kuhormati, " Takut mati tak? Kalau takut, buatlah amal sekarang..." Antara lain katanya, " Jangan takut menghadapi kematian, ia pasti datang. Persiapkan diri untuk menghadapinya.."


Sama-sama kita perbaiki diri untuk menjadi mukmin sejati yang akan tersenyum apabila mengingati mati, kerana itulah satu-satunya cara untuk bertemu denganNya, pemilik cinta yang agung...

Akan tergolongkah kita dalam kalangan insan yang bertuah, berpeluang bertemuNya dengan penuh keredhaan, dan melihat wajahNya serta merasai keindahan, kedamaian dan ketenangan syurgaNya?



Kata-kata tentang Ilmu

Mungkinkah anda rasa malas dan bosan belajar kerana anda tidak punya ilmu tentang kepentingan ilmu itu sendiri? atau anda sendiri tidak punya matlamat hidup yang jelas?
Siapa yang menjalani satu jalan memperoleh ilmu, nanti Allah akan memudahkan baginya memperoleh syurga.
(hadis riwayat Muslim)

Wahai anaku!
Carilah Ilmu
Kerana apabila kamu menjadi fakir
maka ilmu itulah hartamu,
dan
bila kamu kaya, ilmu menjadi perhiasan dirimu
(Lukmanul Hakim)

Beriman dan Beramal Sumbernya ialah Ilmu
Ilmu Diperoleh Dengan Belajar
Tidak Ada Iman kalau Tidak Ada Amal
Dan Tidak Ada Pula Amal kalau Tidak Ikhlas
Jika Sekiranya Ada Orang Beribadah Seperti Malaikat
Tapi
Tanpa Ilmu,
Orang Itu Termasuk Golongan Yang Rugi Hanya Lelah Payah
Sedangkan Pahalanya Hampa.
Kerana itu, Bersungguhlah Kamu Dalam Menuntut Ilmu
Jauhi Kemalasan dan Kebosanan,
Jika Tidak Kamu Akan Berada Dalam Bahaya Kesesatan
(Imam Al-Ghazali)




http://matangpaku.blogspot.com/2009/02/ungkapan-motivasi.html



"Tuntutlah ilmu selagi kita bernafas...carilah hakikat diri anda dalam setiap ilmu yang dipelajari.."