Thursday, October 21, 2010

Kisah Karnival 2010

Bismillahirrahmanirrahiim..

Karnival sukan tak habis lagi. Setelah tiga permainan dipertandingkan (futsal, bola jaring dan bola baling) kini tibalah ke permainan yang keempat iaitu bola tampar.

Permainan yang mengundang kontroversi kerana melibatkan percampuran antara lelaki dan perempuan. Hairan juga kenapa nak campur? Lelaki tak boleh main sendirikah? Dan yang perempuan pun tak boleh main sendiri juga kah?

Siapa yang harus dipersalahkan? Penganjur? Peserta? Atau orang atasan yang jadi penasihat di sebalik perjalanan karnival ini?

Aku makhluk yang mudah lupa dan lalai. Pada mulanya, aku tidak perasan langsung akan perkara ini. Bila rakan-rakan sekelas sibuk mencari pemain import dari kelas lain kerana ketiadaan pelatih lelaki dalam kelasku, aku tidak menganggap itu sesuatu yang luar biasa, atau salah, kerana dalam pertandingan badminton pun biasanya kami mencari pemain import. Syukur Alhamdulillah, aku tidak tersenarai dalam permainan ini kerana aku awal-awal akan mengatakan, ‘its not my game..’ bila mendengar ‘bola tampar’ atau ‘bola jaring’.

Allah ingin menegurku, itulah anggapanku setelah semua berlalu hingga saat ini. Malam hari Rabu, seorang hamba Allah menghubungiku.

‘Salam..ikut main bola tampar tak khamis ni?’ lebih kurang begitulah pertanyaannya.

‘Tak, napa?’ jawabku. Dalam hati, aku sudah merasakan sesuatu.

‘Bola tampar tu libatkan percampuran lelaki dan perempuan. Apa pandangan dalam hal ni?’

Macam tulah kiranya kata-katanya (mesej sebenar dah didelete, jadi ingat inti perbualan ja).

Ketika itu, aku baru teringat dan terfikir akan perkara tersebut. lantas aku teringat kisah pertandingan bola baling dalam karnival tahun sebelum ini, yang juga melibatkan percampuran dalam pasukan. Baru aku tersedar, betapa lalainya aku dalam melihat perkara ini.

Sebelum itu, dalam pertandingan bola baling tahun sebelum ini, aku turun juga ke gelanggang pada waktu itu kerana rakan-rakan mengatakan namaku tersenarai sebagai pemain simpanan. Mujur aku tidak sempat bermain, dan hanya jadi penyokong rakan-rakan sekelas. Namun, apa yang disaksikan sememangnya perkara-perkara yang tidak sepatutnya berlaku.

Dalam permainan yang melibatkan pergerakan, halangan dekat, perebutan bola, perlanggaran pemain seperti bola baling, wajarkah pemain lelaki digabungkan bersama pemain perempuan? Pertembungan badan antara lain jantina pasti tidak dapat dielakkan, dan ia cuma membingitkan keadaan dengan sorakan ramai orang yang ‘suka’ dan’tidak suka’ dengan ‘tayangan percuma’ sedemikan?

Akhirnya, pertandingan tersebut menjadi kontroversi namun ianya senyap setelah beberapa ketika. Dan kini ia muncul kembali kerana hal yang sama. Percampuran pemain lain jantina dalam satu pasukan. Aku sendiri hairan dan tidak dapat menangkap apa rasional syarat pertandingan ditetapkan sedemikian rupa.

Kalau untuk mendapat sambutan yang menggalakkan, rasanya tiga permainan sebelum ini juga mendapat sambutan yang baik waima tidak melibatkan percampuran pemain lain jantina dalam satu pasukan.

‘Maaf ya, saya cakap ni bukan apa, cuma nak sampaikan teguran. Game tu campur lelaki perempuan. Kalau boleh, biarlah yang non muslim main. Yang muslim tak payahlah. Tak elok. Campur tu, nanti terlanggar-langgar..’ujarku pada seorang rakan sekelas. Rakan hanya tersenyum dan tersengih. Dalam hati berdebar juga nak sampaikan teguran, apatah lagi disambut dengan senyuman dan sengihan yang aku sendiri kurang pasti apa maksudnya. ‘Biarlah..yang penting tegur!’ tegas hatiku.

Entah apa lagi yang harus dilakukan. Jika pihak atasan pun kata, ‘pengarah tak cakap apa, jadi teruskan’, apa lagi yang boleh dibuat? Cara paling mudah, jangan ikut. Yang muslim tak payah ikut. Andainya semua mempunyai fikiran yang sama, tidaklah sesukar ini.

Inisiatif lain diambil. Petisyen dibentuk bagi membantah pertandingan campur ini. Sejauh mana keberkesanannya, sama-sama tunggu dan lihat. InsyaAllah, adalah membuahkan hasil.

IPG tempat membentuk modal insan, bakal pendidik, bakal guru yang akan menjadi ‘role model’ dalam segenap lapangan dan bidang bila berada di tengah masyarakat. Dalam usaha membanteras gejala sosial,di IPG pula ruang bersosial dibuka seluasnya. Apalah kredibilitinya tempat mulia, yang mendidik pembentuk modal insan jika permasalahan sosial juga dimulakan di tempat tersebut?

Aku bukan sesiapa. Seperti yang kukatakan tadi, aku makhluk yang lemah, selalu lalai, leka dan alpa, dan sering tidak tahu hendak berbuat apa lagi jika dalam situasi seperti ini. Hanya ini yang mampu kulakukan, dan harap-harap adalah sesiapa yang beroleh manfaat dari teguran lisan dan tulisanku. Terima kasih kepada saudara yang mengingatkanku tempoh hari.

Rakan sekelasku yang non muslim berkata pagi tadi mengadu kepada pensyarah PJ kami ,”Kenapa nak campur lelaki perempuan cikgu? Tidak best..Lelaki selalu spike bagi sama perempuan. Dorang spike kuat-kuat, mana kami dapat sambut.”

Memang tidak adil pun. Jantina tidak sama, tahap tenaga tidak sama, kekuatan tidak sama, kenapa nak gabung.

Sukan itu boleh. Main itu boleh. Islam tidak menghalang kita untuk melakukan sesuatu yang baik untuk diri dan baik untuk hubungan sesama kita. Tapi perlu ada batasnya. Itulah istimewanya Islam. Fleksibel dan praktikal. Menjaga tatacara kehidupan yang semakin hilang kerana pengaruh keseronokan dunia. Dan kita perlu menjaga nilai Islam itu dalam diri, semampu mungkin agar ia tidak hilang ditelan keinginan hati, tidak jatuh kerana perbuatan diri dan tidak rendah kerana pendapat sendiri.

Kepada saudara saudariku, agama tidak mengongkong, tapi memberi batas. Islam itu mudah, dan kita tidak perlu memudahkannya lagi. Jika bukan kita lagi yang menjaga dan meninggikan agama kita, siapa lagi? Kita minoriti dalam lingkungan mereka, tapi jangan biarkan mereka menguasai kita. Fikir-fikirkanlah.


p/s: Kepada sesiapa yang beranggapan kelasku bergaduh dengan KPLI PJ, harap anggapan itu jangan dipanjangkan dan disulitkan lagi. Seperti yang kukatakan, semua itu ‘permainan psikologi’ antara penyokong pasukan masing-masing. Cuma adakalanya, emosi akan terganggu, marah akan menguasai diri bila cara ‘bermain psiko’ keterlaluan dan menyinggung rasa individu. Aku percaya, jika anda pernah melalui kehidupan ‘remaja’ yang ingin melepaskan perasaan stress dan tekanan di padang, anda akan memahami keadaan ‘permainan psiko’ yang kelihatan seperti pergaduhan itu.Oleh itu, spelukasi pergaduhan antara kelas kami janganlah diperbesarkan lagi.

Terima kasih, Wassalam.