Monday, July 29, 2013

Apabila di 'interim'kan dan di 'posting'kan..



“Kak..macam manalah sudah posting?” 

“Kak, apa cerita orang pulau?”

“Ok ka di sana? Best ka?”

Antara soalan-soalan yang lazim ku terima apabila bertemu dengan rakan-rakan mahupun adik-adik  junior. Biasanya aku cuma tersenyum. “Macam biasa..ok juga..” jawabku.

“Kak..kongsi ba cerita posting di pulau..”. Permintaan yang juga lazim. Cerita yang bagaimana ya…terlalu banyak yang hendak kukongsikan sebenarnya, tapi tidak tahu nak mula dari mana. Banyak perkara baru yang kupelajari bila berada di tempat baru,ada pro dan kontranya, ada yang menyenangkan..ada juga yang sebaliknya. Adakalanya perkara dan keadaan yang dilalui benar-benar menguji hati dan diri,namun setelah bermuhasabah diri, keadaan dan perkara tersebut berlalu begitu sahaja..umpama angin yang menampar keras pipi, kemudiannya beralih ke arah yang lain pula.

“ Sesungguhnya orang mukmin itu adalah orang yang luar biasa, seluruh perkara dalam hidupnya adalah baik baginya. Ketika mendapat kemudahan ia bersyukur.Itu adalah baik baginya dan apabila ia ditimpa kesulitan maka dia bersabar dan itupun juga adalah baik baginya"

Hadis tersebut terngiang-ngiang di telinga dan kotak fikiranku. Bukan mahu MENGAKU diri sebagai mukmin sejati, tidak sekali-kali... tapi kerana mahu MENJADI salah seorang daripada mukmin yang dimaksudkan dalam hadis tersebut..maka secara automatiknya, hati memujuk diri dan fikiran tatkala berdepan dengan apa juga kesusahan, khususnya apabila menjadi orang baru di tempat yang baru.

“Terbuang ke mana sekalipun, kalau ada agama, insyaAllah semua ok..” Lebih kurang begitulah kata-kata seorang hamba Allah suatu ketika dulu..sewaktu diri masih terlibat dengan program-program beliau. Sebut tentang program..hati sangat ingin untuk berada dalam suasana dan lingkungan insan-insan seperti beliau. ‘Kalau ada agama..’ maksudnya cukup dalam. Bukan bermaksud setakat nama agama yang terpapar pada kad pengenalan atau sijil lahir, tapi pegangan diri terhadap agama. Bukan setakat pegangan ala kadar,tapi bagaimana kita menjadikan agama sebagai pendirian, prinsip dan perisai diri untuk berdepan dengan apa juga keadaan. Seindah manapun suasana yang dihadapi, ia tidak melalaikan diri..dan sebaliknya, seburuk, seteruk atau sesusah manapun keadaan yang dihadapi, ia tidak menjatuhkan diri..kerana diri berpegang dengan agama. Agama menjadikan kita manusia yang rasional dan professional mendepani cabaran kehidupan.

Itu yang sering aku fikir dan cuba tanam sedalam-dalamnya dalam diri selama ini. Justeru, tatkala menerima keputusan penempatan sejak lantikan interim dan penempatan tetap (sekolah yang sama), aku serahkan semuanya pada Allah. Hanya berdoa memohon kekuatan dan kemudahan dari Allah dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan.

“Kakak tinggal di manalah di pulau 2? Ada air? Makan minum macamana?”

Soalan ini juga lazim diajukan padaku. Bukan saja dari sanak saudara, bahkan rakan-rakan dan junior-junior yang begitu teruja ingin tahu kehidupan guru baru di Pulau Banggi. Aku tinggal di rumah guru yang lama, yang juga lama ditinggalkan tanpa penghuni..dan aku berseorangan. Hanya ada 3 orang guru perempuan di sekolahku dan keduanya sudah berkahwin serta tinggal bersama suami dan keluarga masing-masing. Jadi aku terpaksa tinggal seorang diri di rumah guru lama tersebut. Guru-guru yang lain semuanya lelaki dan mereka tinggal di rumah guru baru, semuanya sudah berkahwin dan seorang antara mereka tinggal bersama isteri dan anaknya di rumah guru baru tersebut (ada dua buah rumah guru baru). Air terpaksa bergantung dengan air hujan, dan menggunakan solar hybrid untuk sumber kuasa. Kali pertama aku tiba di rumah tersebut, lampu hanya bertahan sehingga lebih kurang jam 10-11 malam..itupun hanya lampu diruang tamu yang masih ada dan berfungsi..kemudian, tidak lama selepas  itu, ianya hanya mampu bertahan selama 5-10 minit..jadi malamku hanya disinari cahaya lilin selepas itu. Oleh kerana kasihan dengan murid yang selalu datang belajar di rumah pada waktu malam (juga kasihan dengan diri sendiri)..aku mengambil inisiatif sendiri membeli wayar dan segalanya yang perlu untuk menyambung tenaga solar dari sekolah. Alhamdulillah…guru-guru lelaki membantu dengan cukup pantas dan dalam beberapa jam saja, lampu dirumahku kembali menyala. Malah mereka turut menyambungkan lampu di dapur menjadikan rumahku terang benderang di malam hari…Alhamdulillah….

Tidak lama selepas itu, setelah hati gembira dengan adanya cahaya lampu di rumah…ujian datang lagi apabila air di dalam tangki tiba-tiba habis dan kebetulan waktu itu bukanlah musim hujan..ketika itu, aku teringat zaman dulu-dulu semasa masih bergelar pelatih ip. Juga zaman kanak-kanakku…masalah air sudah menjadi lumrah. Mandi di sumur, sungai, perigi, mata air, parit..kolam ikan..sudah sebati dalam dunia kanak-kanakku. Adakalanya sebaldi (bekas tin cat yang kecil) sudah cukup untuk memandikan adikku dulu. Di ip pula..setengah baldi pun sudah cukup bagus(bila tiba musim krisis air)..syukur Alhamdulillah..keadaan itu sudah menjadi kebiasaan, sudah menjadi salah satu pengalaman hidup yang berharga..justeru bila berhadapan dengan krisis air di tempat baru..aku tidak mudah melatah walaupun diri sedikit payah memujuk hati. Walau sudah biasa melalui keadaan itu, ada bezanya bila berada di tempat baru..kerana diri sendirian tanpa keluarga dan teman-teman. Jika dulu, mandi di parit pun tidak kisah sebab dengan adik beradik..hanya mampu cuci mata dan muka di ip pun tidak kisah, sebab rakan-rakan lain pun sama..tapi kini..perlu sendirian. Alternatifnya..terpaksa mengunjung bangunan prasekola untuk mandi dan membasuh baju..dan kini Alhamdulillah..atas ehsan orang kampung..aku dipinjamkan sebuah tangki kecil dan dimasukkan ke dalam dapur rumahku lalu membeli air dari mereka..

“Orang-orang kampung ok juga ka sana?”

Emm…untuk menjawab soalan ini, mungkin pada kisah yang akan datang…insyaAllah..

Tuesday, April 9, 2013

Apabila diinterimkan...

Assalamualaikum..

Semoga kita semua tetap berada dalam lindungan dan rahmatNya..

Em…ini lah ceritaku setelah sekian lama menyepi…

Suatu ketika dulu, aku begitu teringin untuk berdikari dan hidup di perantauan…apabila menerima tawaran memasuki IPG di Keningau, aku sangat bersyukur, namun pernah juga terdetik di fikiranku..kenapa di Keningau, tidak ditempat lain yang lagi jauh..

Namun kini, segala-galanya seakan terbalik..setelah menamatkan pengajian di IPG dan menerima penempatan di Pulau Banggi sebagai guru interim, aku terkedu. Hanya mampu tersenyum dan mengucap..moga Allah menguatkanku dan memberiku petunjuk untuk semua itu. Jujur, aku tidak pernha terfikir untuk berkhidmat di kawasan pulau..apa yang sudah ter’set’ di minda ialah kawasan hutan..jalan pula laluan lori balak…dan aku mempersiapkan diri untuk itu…malah aku juga sukakan suasana hutan yang bakal kudiami..apabila aku dan rakan-rakan memperkatakan tentang hal ini, pasti terungkap kata-kata, “masa temuduga mo masuk IP..kalau ditanya sanggup dihantar ke dalam hutan..semua jawab sanggup..dengan penuh semangat lagi…tapi sekarang bila dihantar ke pulau, terus diam nda dapat cakap apa-apa tapi hati mau minta pindah terus, sebab masa temuduga nda pun di tanya kalau kena hantar di pulau amacamana?”hehe..

Kini, aku sudah mula berkhdmat di Pulau Banggi…SK Lok Tuhog, Banggi, Kudat..sekolah yang terletak di tengah-tengah kampung, di persisiran pantai..sepertimana sekolah-sekolah luar bandar yang lain, kemudahan di sekolah ini juga agak kurang..termasuk tempat penginapanku di rumah guru lama yang boleh dikatakan usang..

“Tahniah dan selamat datang..khidmat anda sememangnya diperlukan di sini.” ucap bekas rakan sekolahku yang juga bertugas di Pulau Banggi, tapi berlainan sekolah. Rakan ini sudah berkhidmat di Pulau Banggi sejak kira-kira dua tahun lepas.

“Tahniah..bertebaran berkhidmat kerana Allah…moga dipermudahkan..”demikian pula sokongan dari naqib atawa tok guruku..

“Hati-hati di sana..ok juga di sana..tapi cubala minta pindah awal..lepas 6 bulan..cuba minta pindah..”ujar makcikku pula.

“Nda boleh minta tukar ka? Cuba merayu..” bapa pula sedikit memprotes tentang penempatanku yang baginya terlalu jauh dan merbahaya, apatah lagi dalam suasana hangat tentang isu penceroboh..kerana Kudat antara termasuk zon yang berpotensi untuk di’merah’kan.

“Kenapalah kau kena di sana..”sepupu-sepupuku pula mengeluarkan bicara.

Bukan sedikit, tetapi banyak lagi ..baik kata-kata positif yang mendorong, menyokong dan mendokong, dan tidak kurang juga yang menakutkan, mengurangkan semangat dan memberatkan hati untuk pergi. Sepupu-sepupu, terutama yang rapat denganku memang terkejut besar bila dapat tau yang aku bakal mengajar di Pulau Banggi…semua menyarankanku untuk mohon pindah seawal mungkin. Demikian juga pakcik dan makcikku…dan ku kira bapa adalah orang yang paling sibuk bertanya di sana sini tentang status dan keadaan proses penempatanku. Kalau boleh merayu untuk tukar, bapalah orang pertama yang menyuruh. Alasannya..kalau terkena jauh tapi masih dalam kawsan tanah besar (daratan dan bukan pulau), senang untuk pergi balik tiap hujung minggu..mak pula lebih banyak berdiam..tapi aku tahu jauh di sudut hati, mak juga risau dan berat hati untuk membiarkan aku pergi sendirian..hati seorang ibu.. pastinya sukar untuk membiarkan anak perempuannya berkelana di tempat orang. sedangkan semasa aku menemani seorang sahabat ke semenanjung sekalipun..beliau menghubungiku saban waktu untuk bertanya keadaanku..itu berteman..sedangkan yang ini bersendirian..

Untuk pertama kalinya dalam hdup..aku merasakan diriku menjadi perhatian keluarga..pakcik makcik menghubungiku, walau semuanya berjauhan…malah datang ke rumah menemuiku..menghulurkan itu dan ini..memberi semangat, kata-kata perangsang dan menyatakan mereka sentiasa akan mendoakanku…untuk seketika..aku terfikir..dalam beratnya hatiku menerima hakikat ini, Allah menghadirkanku para penyokong dan pendorong yang begitu positif dengan diriku..positif dengan keputusan penempatanku..yakin akan diriku..

Sementara dalam perjalanan ke Kudat untuk melapor diri..mereka semua tida putus-putus menghubungiku..sebelum menaiki feri (bot express) ke Pulau Banggi, mereka turut menghubungi..setetlah sampai ke Pulau pun mereka terus menghubungiku untuk memastikan aku benar-benar ok…

“Baik-baik sana..hati-hati..pakcik sama makcik selalu doakan yang terbaik..moga kau juga baik-baik saja di sana..” ujar pakcikku.

“Jangan tinggal solat..penting tu..rajin2 baca ayat pendinding..” ujar makcik-makcikku pula.