Friday, April 29, 2011

Catatan Praktikum : Kenangan (Pembaris Kayu)

Bismillahirrahmanirrahim..

Kanak-kanak. Apa yang mereka tahu? Dunia mereka penuh warna warni. Tidak susah hati fikir itu dan ini. Walaupun tidak tahu apa-apa, mereka penuh rasa ingin tahu yang cukup tinggi. Semangat inkuiri mengatasi kemampuan diri. Suka berimaginasi, fikiran melayang ke sana sini, nak berangan sepanjang hari pun boleh.

Sakit hati. Bersama mereka, sangat-sangat menuntut kesabaran yang tinggi. Hendak marah? Hendak menangis? Hendak meraung? Buatlah…mereka buat ‘dek’ saja. Sekejap ja bagi tumpuan, lepas tu entah ke mana melayang.

Tulus dan ikhlas. Itu sifat yang ada pada mereka. Mereka berkata-kata dengan jujur, lahir dari isi hati tanpa tapisan kerana mereka tidak tahu pun apa yang mereka kata itu betul atau tidak. Apa yang dirasai, itulah yang terbit dan meniti di bibirnya.

Sayang. Baru sekejap bersama mereka, perasaan sayang terbit dihati. Meski kesabaran tercabar dek kenakalan dan ‘kejajalan’ mereka, suatu perasaan yang aneh menjalar di hati. Tidak dapat dan tidak mampu memarahi kerana tidak sampai hati. Mereka bertukar menjadi penghibur diri. Marah macamana pun, hanya tawa yang boleh dilafazkan. Geram macamana pun, ia serta merta bertukar menjadi kelucuan.

Demikianlah serba sedikit tentang anak muridku yang bersama-samaku selama sebulan dalam latihan praktikum kali ini.


Lokasi : Kelas Prasekolah Gemilang

Masa : Selepas rehat.

Situasi : Murid bertempiaran lari di dalam bilik darjah. Berkejaran. Ada yang masuk di bawah meja, main kejar-kejar. Ada yang bermain di sudut alat bantu mengajar Matematik. Ada yang pura-pura membaca, walhal huruf pun tak habis cam lagi. Entah apalah bentuk dialog yang diciptanya bila melihat gambar. Sesekali tertawa, sesekali bercakap sendiri,seolah-olah faham akan cerita dalam buku. Ada yang bertolak-tolak, berebut warna.

Fikiranku pusing. Kebetulan waktu itu adalah slotku, masa untukku mengajar. “Ada cikgu suruh lari-larikah lepas makan?” aku bersuara, selantang mungkin. Semua diam seketika, memandangku. “Tiada cikgu” jawab mereka, juga dengan lantang. “ Jadi, kenapa berlari-lari? Nanti jatuh, luka kaki..mau kah?”

“Tidak cikgu..” lagi jawapan yang lantang kuterima. Belum sampai lima minit, mereka berlari-lari lagi. Habis kerusi meja ditolak supaya ada laluan untuk berlari. Aku bergerak ke depan kelas, menuju ke papan putih. Sebahagian dari mereka hanya memandangku kosong. Entah terbang ke mana lagi fikiran mereka. Aku kembali ke mejaku. Mencari-cari sesuatu. Kelihatan Farish, murid baruku yang masih ‘baby talk’ sibuk bermain permainan ala sempoa. Aku sendiri tidak dapat memahami sepenuhnya bahasa Farish. Dengan loghat Semenanjung, baby talk pula tu, percakapannya sering menjadi tumpuan rakan sekelasnya.

Hah..jumpa. Aku pantas mencapainya. Pembaris kayu sepanjang satu meter. (Mana-mana guru baru tidak digalakkan memegang sebarang alat seperti ini semasa mengajar, apa lagi guru prasekolah sepertiku, tapi kali ini keadaan berbeza buatku).

Aku mengangkat pembaris itu ke bahuku. Suasana kelas masih hingar bingar. Aku membuat aksi penembak handalan, dengan membayangkan pembaris itu adalah Snipper Rifle seperti dalam C.Zero atau C. Strike. Aku menghala pembaris tersebut ke setiap penjuru kelas. Tindakanku berjaya menarik perhatian beberapa orang murid yang duduk di kerusi masing-masing. Ada yang tersenyum-senyum. Tapi, yang lain, masih asyik dengan peranan pelari olimpik yang tidak kenal erti penat untuk berkejaran di dalam kelas.

“Siapa yang masih tidak duduk dikerusinya, cikgu tembak..” lantas ku hala hujung pembaris kea rah seorang murid yang masih terlompat-lompat, Wan Aniel. Valerie, Rodney, Fedlie dan yang lain bergegas ke kerusi masing-masing. Kedengaran beberapa orang muridku tertawa melihat suasana yang berlaku. Mereka seronok pula melihat aku menjadi ‘polis’. Rodney tersenyum simpul. “ Cikgu jadi polis. Cikgu, saya pun pandai jadi polis”ujarnya. Aku menghalakan pembaris ke arahnya pula. Dia terdiam tapi masih tersenyum.

Wan Aniel Daniel-antara murid yang sangat aktif

Rodney - antara murid yang sangat pandai melakonkan watak..pantang disuruh berlakon

“Semua duduk di kerusi masing-masing. Siapa yang masih berjalan ka berlari, cikgu tembak saja”aku mengulangi arahan. Suasana mula terkawal walaupun kebisingan masih menguasai kelas.

“Irfan..duduk. “ Irfan tersengih-sengih kembali ke tempatnya. Dia turut membuat aksi penembak dan menghala senapang anginnya kepadaku. Aku tersentak, ingin tertawa namun segera kukawal.

“Cikgu..si Farish…dia tidak mahu duduk” lapor seorang murid lagi. Aku memandang Farish. ‘Senapang’ ku hala kearahnya pula. Dia tersentak , lantas bersembunyi di balik rak-rak permainan. “Farish..duduk” aku memperlahankan nada suaraku, tapi masih dalam nada yang tegas. Dia membuat aksi sorok-sorok pula.

“Farish sayang..” “Hahahahaha..” murid-murid lain tertawa mendengarku memanggilnya ‘sayang’. Aku bergerak ke arahnya. Kes istimewa. Aku memegang tangan nya, lalu membawanya kembali kekerusi. Rakan-rakan kumpulannya masih tertawa. “Farish duk kat sini, boleh?” Dia menggangguk .

Farish - murid baru yang masih 'baby talk'


Aku kembali bergerak ke depan kelas, masih dengan senapang Rifleku. Semua mata menuruti langkahku. Lega. Akhirnya dapat menyelesaikan satu cabaran.Aku menarik nafas seketika. Baiklah..sekarang tiba masa untuk belajar pula, bisik hatiku.

Kini, apabila mengenang semula kenangan semasa berpraktikum, aku akan tertawa sendiri. Walau hanya sebulan,pelbagai perkara baru ku pelajari, dan sebagai seorang pelatih, pasti ada lebih banyak cabaran dan ujian yang menanti dalam sesi praktikum yang seterusnya pada semester hadapan.

Anak muridku memang sempoi, suka bergambar dan pandai bergaya..

Pengajaran : Tidak semua murid (prasekolah khususnya) dapat memberikan fokus terhadap apa yang mereka dengar semata, tapi biasanya mereka lebih tertarik dengan apa yang mereka lihat. (Pembelajaran melalui deria auditori, visual dan kinestetik) . Nampaknya, lepas ni, aku kena berlatih untuk watak-watak lain selain polis.

Sunday, April 17, 2011

Catatan Praktikum : Rezeki (Bersyukur pada Allah, berterima kasih pada manusia)

Bismillahirrahmanirrahim

Ketika menjalani praktikum, adalah normal dan biasa bagi mana-mana guru pelatih menghadapi kekangan kewangan, apatah lagi yang berdiri atas kaki sendiri, mengharapkan sepenuhnya elaun dari pihak kerajaan.

Mungkin bagi yang masih disokong dan dibantu oleh keluarga dari sudut kewangan, tidak merasa kesukaran tersebut dan masih boleh bergerak dengan selesa. Untunglah bagi mereka yang demikian, dan bersyukurlah atas kemudahan itu.

Bagi yang berdiri atas kaki sendiri, orang kata, alah bisa tegal biasa. Mula-mula mungkin terasa sangat kepayahannya, namun apabila dilalui berkali-kali sepanjang waktu, ia menjadi suatu kebiasaan. Dan bersyukurlah juga kerana berpeluang merasai kesusahan itu. Tidak semua orang mempunyai peluang itu. Dan situasi itu pasti akan memberi kelebihan dalam masa-masa yang tidak kita jangka.

Kata naqibahku, rezeki orang yang belajar ilmu Allah, pasti ada. Tidak kira di mana. Khasnya pada bulan ramadhan. Tapi bulan ramadhan belum menjelma lagi. Namun begitu, aku pasti apa yang dikatakan oleh naqibahku itu memang benar. Tidak kiralah pada bulan ramadhan atau bulan apa sekalipun. Rezeki Allah ada di mana-mana.

Dalam menghadapi kesempitan hidup didunia, pasti ada kelapangan di sebaliknya yang kita akan dapat lihat dan rasai jika kesabaran dan kesyukuran masih bertapak di dasar hati.

Beberapa hari lalu, beberapa orang rakanku bertanya, “ Kau betul-betul tiada duitkah ani?” tanya salah seorang dari mereka. Aku tersentak seketika. Terhenti suapan makananku. Ketika itu, kami sedang makan bersama dibilik mereka. Aku tertawa kecil. “Kalau betul-betul tiada duit, ndala aku makan lagi..”jawabku, dalam hati.

Beberapa ketika selepas itu, salah seorang dari mereka ke bilikku dan bertanya lagi soalan yang sama. Wah..aku rasa sangat beruntung dan bertuah mereka ‘caring’ denganku. Dalam hati, aku memanjat kesyukuran kerana Allah mengurniakanku rakan-rakan yang prihatin dan mengambil berat.

Aku tersenyum simpul mendengar pertanyaan rakan itu. “Nak cakap banyak duit tu tidak, nak cakap betul-betul tiada duit pun tidak. Tapi syukur....duit untuk makan..masih ada juga..cuma macam biasa, kena jimat..” ujarku dalam nada berseloroh. Dia memandangku, meminta kepastian. Aku tersengih lagi.

“Pasal makan, aku tak risau. Rezeki Allah tu sentiasa ada. Bila rasa sempit ja, ada ja rezeki yang Allah bagi tanpa aku jangka. Ada kawan belanja makan, ada yang bagi duit..tak terfikir semua tu. tapi Allah bagi.” Kataku dalam senyuman. Dia turut tersenyum sambil mengangguk. “Syukur Alhamdulillah kalau macam tu” balasnya.

Ya..rezeki kita Allah yang tentukan. Sedangkan ulat di sebalik batu boleh hidup, inikan pula kita manusia di luar batu, yang ada empat kerat, ada akal dan keupayaan tenaga yang dikurniakanNya. Kadang-kadang tengah selak-selak buku, periksa pakaian yang nak dicuci, kemas loker, ada saja jumpa duit yang entah bila terselit dan tersimpan

Pengalaman yang pernah kulalui sendiri sepanjang hidup ini mengajarkanku banyak perkara tentang kebesaran kuasaNya dan keluasan rahmatNya. Seperti yang kukatakan tadi, soal rezeki, bukanlah soal utama yang perlu difikirkan. Ingatlah padaNya. Selagi kita tahu dan ingat untuk bersyukur padaNya dan berterima kasih pada manusia, insyaAllah, Dia akan sentiasa menjaga kita.

Cuma persoalannya, bagaimana untuk menginterpretasikan lafaz dan rasa syukur itu. Kalau dengan manusia, mungkin kita boleh ucap terima kasih, peluk kawan dan jabat tangannya. Tapi dengan Yang Maha Pemberi dan Maha Pengurnia? Macamana agaknya kita boleh zahirkan rasa syukur itu?

Masing-masing fikirkan…

Cuma pesanku, dalam keadaan sempit atau senang, jangan berat hati, jangan lokek untuk membantu orang lain yang lebih susah dari kita. Dan paling penting jangan sesekali lokek untuk menyumbang sesuatu dalam nilai kewangan untuk agama,meski hati berat kerana sebenarnya di saat paling berat dan sempit itulah nilai sumbangan itu menjadi paling besar untuk akaun kita di ‘sana’. Sumbangan itu, walau dalam nilai yang kecil, akan memberi pulangan yang besar untuk kita tanpa kita sedari

p/s Jangan takut sedekah kerana miskin, jangan takut miskin kerana sedekah.

Wassalam..:)