Tuesday, December 2, 2014

Cerita Pulau Banggi : Air oh air..

Air.

Keperluan asas yang tidak boleh dinafikan. 

Ketika zaman kanak-kanak riang dulu, kesulitan berkaitan air tidak begitu terasa. Kami membesar di kampung yang serba kekurangan, bekalan letrik pun dapat dirasa ketika aku berusia 12 tahun(kalau tak salah)..apatah lagi air paip. Bagai menunggu bulan jatuh ke riba lagaknya. Aku berpeluang merasa tinggal di rumah yang berlainan ‘level’ orang bilang. Dari rumah bambu, atap nipah ke atap zink (hehe..serius niii) ke rumah papan, seterusnya konkrit seperti sekarang. Walaupun tinggal (makan minum tidur) di rumah bambu atap nipah..perasaannya amat istimewa. Sejuukkk bila malam beb. Lebih-lebih lagi bila hujan turun…dengan irama titisan hujan ke lapisan atap nipah kami..(tulis sambil feeling ni..hehe)..aku sangat BERBANGGA dengan pengalaman tersebut dan MENGHARGAI saat itu. Bukan semua orang berpeluang merasainya.

Berbalik pada topik air. Dari zaman rumah bambu sampai rumah papan, masalah air tidak pernah selesai. Bukan saja kampung kami..bahkan kampung yang di dalam-dalam lagilah…bergantung dengan perigi, hujan dan sungai sepenuhnya. Bapa dan pakcikku sentiasa update perigi. Perigi untuk kami sekeluarga sentiasa berubah tempat. Ada di atas bukit, ada di bawah bukit dekat rumah (rumah kami di kawasan agak tinggi, dan satu-satunya rumah atas bukit di Kampung Saga Laut..haha, sebab itulah juga perigi kami spesel..haha). Adakalanya, berkongsi anak sungai dengan orang kampung sebelah. Ada masanya, bergilir beb atas jalan raya tunggu giliran masuk sungai (kau adeerr?? Hehehe). Mandi di parit tepi jalan raya juga sudah kurasai..pengalaman..memang guru terbaik.

Aku ingat lagi, dulu ada citer Power Rangers kat TV2. Aku agak minat juga (padahal penonton setia ..haha). oleh kerana siarannya agak lewat, kadangkala aku sanggup mandi sendirian di atas bukit sebab mo tengok Power Rangers dulu. Mak bebel panjang bukan main..dan bapa lazimnya tak balik rumah selagi malam belum berlabuh..aku senyum saja dalam dunia Power Rangersku. Masih budak-budak kan..bila Power Rangers dah habis…mak dan yang lain dah balik ke rumah pun..dan aku terkontang kanting belum mandi. Selagi cahaya masih ada di ufuk senja..aku sanggup berlari meredah deretan pisang dan pokok getah menuju ke perigi atas bukit.  Itu kalau mandi. Untuk masak makan minum cuci pinggan mangkuk…kami adik beradik bergilir menyorong kereta sorong berisi gelen air yang kalau sekarang aku sendiri tak mampu angkat. Dari rumah ke perigi, dan dari perigi ke rumah. Bila perigi sudah kering..terpaksa ke anak sungai. Dan susah macamana pun masa tu, kehidupan berjalan lancar. Syukur Alhamdulillah, komen dan protes tidak terbit dalam hati kami..kerana kami merasakan semuanya seronok. Percaya atau tidak..hingga kini, masalah air masih membelenggu kami? Walaupun dah improved dengan paip gravity dan paip kerajaan (orang kampung bilang paip kerajaan..jadi ikut saja sebut begitu..haha) masalah air tetap ada. Lebih-lebih lagi kami yang di atas bukit..air payah nak naik.

Bila masuk ke IPG..sama juga. Bekalan air selalu terputus sebab saluran paip selalu pecah (menurut yang pakar). Oleh kerana dah terbiasa dengan ketiadaan air di kampung..alhamdulillah..ia tak menjadi masalah besar buatku menyesuaikan diri di IPG dengan masalah sedemikian rupa. Tapi tidak kunafikan..bila dah berminggu masih belum ada air, tangki dah kering..di masjid pun bekalan dah surut..memang naik sebal juga perasahhan jiwa raga.

Bila dah posting pula…masalah yang ………sama juga. Oleh kerana tangki di rumah guru tempatku menginap merupakan tangki lama, jadi faham-fahamlah mendapan istimewa dalam tangki tersebut. Dengan saluran paip dari tangki ke rumah juga sudah evergreen..dan saat menulis entri ini..tangki tersebut kosong sebab mungkin paip bocor. Dan memang bocor pun. Dan kebocoran itu sebenarnya dari tahun lepas, Cuma Alhamdulillah ia berjaya diatasi setelah kebocoran disumbat dengan potongan selipar. Heheh…(korang adeerr?) Apapun, ini belum masuk level macam dalam rancangan realiti tv, Law of the Jungle versi Kim Byung Man and the geng. Ini versi Cikgu Ani..Law of the Pulau Banggi..heheh. (Bila renung balik..nampak jelas bukan, aturan hidup yang begitu cantik. Allah memberiku peluang kehidupan berbeza dari rakan-rakan yang lain, yang hidupnya lebih senang..sedari dulu..supaya aku berada pada saat ini, melalui saat ini dengan kekuatan terkumpul sejak dulu. Andai saja aku hidup senang dari dulu..tidak mustahil aku sanggup turun naik JPN dan KPM mintak tukar segera. Oleh itu, bersangka baiklah dengan semua ketetapan Allah. Kita mungkin tak suka, sebab tak nampak baiknya pada diri. Adakah kita merasa kita sudah cukup mengenali diri sendiri berbanding Dia yang menciptakan?)

Itu refleksi diri…..muhasabah diri. Sewajarnya ia perlu kita lakukan sentiasa supaya tidak hanyut dalam timbunan emosi dan perasahan. 

Baiklah..berbalik kepada cerita air. Tahukah anda..apabila ketiadaan air di rumah, aku terpaksa merajinkan diri pergi ke prasekolah yang terletak di seberang jalan untuk amalan kebersihan diri harian. Dan oleh kerana tahun ini adikku turut serta ke pulau menjadi bodyguard tak rasmi..terpaksalah dia juga melalui keadaan yang sama. Jauh di sudut hati, aku simpati padanya. Adikku yang seorang ini tidak melalui kesusahan seperti mana kami (adik-adik terawal) rasa semasa zaman kanak-kanak kami. Adikku ini generasi baru yang lahir dan membesar dalam suasana yang agak berbeza. Angkat air dari perigi ke rumah atau dari anak sungai..dia tidak melaluinya. Paling susah pun angkat air dari tangki di luar rumah ke dalam rumah. Adik lelaki sulungku..aku masih ingat memandikannya di perigi dengan hanya sebekas tin cat kilat yang seingatku..muatan cat 7 liter. Penjimatan air yang agak efisien walaupun mandi air perigi.

Dalam masa yang sama, aku berharap adikku ini belajar sesuatu dari kehidupan di pulau.  Justeru, aku sering mengungkit cerita lama ..cerita hidup dulu-dulu, semasa kami berbual tentang kehidupan di pulau sekarang. Aku selalu berkata padanya, “Kalau kita tidak rasa hidup susah, kita takkan tahu macamana rasanya susah tu, macamana hidup orang yang susah dari kita. Bila kita rasa susah, baru tau nikmatnya senang.” 

Well..sebenarnya taklah juga susah. InsyaAllah kalau kita mahu melapangkan dada..Allah akan bantu bagi kekuatan supaya rasa senang. Sebab itu ke mana pun kita, kena ingat Allah. Tawakal dan rasa bergantung kepada Allah kena ada, dalam sekecil-kecil perkara hingga ke sebesar-besar perkara. Jangan mau temberang perasan diri kuat dan campin padahal Allah yang bantu dalam segenap hal. Bercakap begini, mengingatkanku pada kata-kata seseorang, yang amat kuhormati.  Lebih kurang begini…

‘Ayah kata dengan saya, ayah tak dapat kesenangan pada kamu..ayah cuma dapat bagi agama. Dengan agama, insyaAllah kamu akan hidup walau di mana juga.’

Demikian kata-kata beliau dalam salah satu programnya yang aku turut serta. Orang hebat..teringat kata-katanya saja cukup merangsang semangat, apatah lagi bila mendengar ‘tazkirahnya’ baik secara langsung atau tidak. Heheh…(insyaAllah, jika berkesempatan, aku akan menulis entri tentang insan-insan hebat di sekelilingku, termasuklah beliau)

Baiklah..demikianlah cerita yang berlarutan dari isu air. Heheh..kepada rakan-rakan guru yang cukup keperluan asasnya walau di mana jua anda berada…alhamdulillah..banyak-banyak bersyukur. Tahukah anda itu satu nikmat yang amat besar. Bayangkan saudara-saudara kita di Sudan, Afrika dan di seluruh dunia. Bukan setakat kais pagi makan pagi, untuk  kais pagi pun bekakai-kakai..tidak terbayang mampukah kita untuk berada di tempat mereka. Jangan juga dilupa saudara-saudara kita di Syria, Palestin dan serata dengannya, yang mana ketika ini dilanda musim sejuk. Sejuknya mereka di sana bukan macam sejuk di Kundasang. Kita yang tinggal selesa dalam rumah papan, rumah bata yang lengkap dengan tingkap dan dinding serta atap sedangkan mereka ada yang tinggal hanya beratapkan plastik, berdindingkan runtuhan rumah. Ada juga yang berdindingkan kain beratap langit. Dalam suasana yang amat sejuk, dapatkah anda bayangkan betapa sukarnya keadaan tersebut? Ditambah lagi dengan sumber makanan yang terhad? Yang majoritinya adalah bantuan dari luar? So..put ourself together, tahap kesusahan kita di Malaysia ini jauh sekali dibandingkan dengan mereka.

Moga Allah memguatkan kita. Moga Allah bagi kita kesabaran dan kesyukuran atas ujian dan nikmatnya. Moga kita sentiasa ingat saudara-saudara kita di luar sana. Moga Allah bagi kita kelapangan dan kemampuan hati dan fizikal untuk bantu mereka.

Sedar tak sedar cuti sekolah pulak sudah kan… lambatnya nak siapkan satu entri ni saja. Sampai cuti dah mula baru siap..apapun……Selamat bercuti semua. Moga cuti ni dapat kita isi dengan perkara-perkara bermanfaat.

Have a nice holiday!!!

Assalamualaikum.

Tuesday, September 9, 2014

Cerita Pulau Banggi (3)



Kecomelan mereka.

Kisah 1.

Sesi perbualan pagi bersama murid-murid. Kali ini, aku mahu ‘test’ pengetahuan dan pemahaman semasa murid-murid cilikku.

“Siapa yang selalu tengok berita dalam tv di rumah?”

Hampir semua angkat tangan. Penuh semangat. Tangan lurus 90 darjah ke atas. Beberapa kerat ja yang terkebil-kebil, angkat tangan tidak, bersuara pun tidak. Wajah penuh kekeliruan dalam kecomelan. Haha..(mong mong bilang orang korea)

“Waaahh..bagus-bagus. Rajin tengok berita..”pujiku sambil bertepuk tangan. Murid tersipu-pilu malu. Berpandangan sesama sendiri sambil tersenyum-senyum.  Tak ku nafi..murid-muridku ini memang rajin tengok berita. Isu kehilangan pesawat MH370 dan tragedi MH17 menjadi topic hangat sesama mereka. Adakalanya, berbual seperti beliau-beliau.

“Dalam berita tu..sapa pernah nampak berita pasal Palestin sama Israel?”

Lagi laju tangan di angkat. Aku semakin teruja sendiri. Soalan dinaikkan ke tahap seterusnya. 

“Siapa tau…..mana satu yang jahat? Mana yang kita mesti sokong? Israel ka Palestin?”

“Israel jahat..” jawab muridku. Hanya beberapa orang yang menjawab demikian. Mungkin mereka sedikit keliru dengan soalanku.

“Siapa yang bagus?” soalku sekali lagi. “Palestin cikgu…” kali ini lebih jelas, mereka menjawab beramai-ramai. Paling ketara ialah Fakrul dan Saudi kerana mereka betul-betul di hadapanku. Aku tepuk tangan lagi. Terharu dengan jawapan murid sendiri.

Kisah 2. 

Murid-murid baru lepas makan. Selesai membaca doa lepas makan, ku arahkan mereka duduk beratur di lantai di ruang belajar. Laptop dihidupkan dan kuletak di sebuah kerusi berhadapan dengan murid. Mereka mula bersorak. Gembira kerana tahu bakal tengok kartun. Tapi aku sudah ingat-ingat lupa kartun apa yang kupasang ketika itu. (hehe..) Sama ada Upin Ipin (kegemaran utama mereka) atau kartun animasi Indonesia (6Rukun Iman). Sedang asyik menonton, seorang murid (Fakrul) tiba-tiba berpaling padaku. 

“Cikgu..semalam kan..aku tengo bwita, ada cwita pasal iswael..aku tengo kan..dia..bla..bla…aku tembak..bla..bla…”ceritanya panjang, tapi aku tidak faham butir bicaranya. Terasa geli hati bila teringat, tapi dalam kesannya bila difikir semula berkali-kali. Fakrul masih pelat bicaranya tapi sangat ‘talkative’. Antara semua murid lelaki, dia yang paling kental hati dan tidak pernah menangis (sehingga entri ini ditulis), kecuali pada satu hari, ketika perutnya sakit dan dia tertidur selepas makan. Ibunya berpesan padaku, “Fakrul ini lain sikit cikgu..nda macam abang-abangnya. Susa sikit mau kawal..tapi kalau dia nakal, kau pukul saja dia cigu..” Alhamdulillah, setakat ini..Fakrul dapat dikawal dan memang dia nakal, tapi nakalnya menghiburkan.
Berbalik kepada cerita tadi. Aku tertawa kecil mendengar ulahnya. Tidak faham tapi terhibur hati mendengar ceritanya tentang berita ‘Iswael’.

Kisah 3.

Sesi belajar membaca dan menghafaz surah pendek dari juzu’Amma. 

Alhamdulillah, surah al-Fatihah telah dikuasai oleh hampir semua murid. Begitu juga surah al-Asr kerana ia dijadikan bacaan harian. Surah al-Ikhlas juga dihafal dengan baik. Alhamdulillah…Alhamdulillah. Kini surah al-Falaq dan surah an-Nas dalam proses penghafalan yang serupa.

Apa yang menarik, acapkali selesai membaca surah an-nas secara beramai-ramai, pasti ada yang bertanya, “ Kenapa ada kita sebut ‘jin’ cigu?” andainya surah itu di baca 5 kali..lima kalilah mereka akan bertanya soalan yang sama. Dan aku kena menerangkannya semula, berkali-kali. Dan mereka akan bertanya semula selepas itu.

“Sebab…kita minta Allah lindung kita dari kena kacau ‘jin’..jin ni ada yang suka kacau orang..apalagi budak-budak macam kamu..bila kita baca surah ni, Allah jaga kita dari jin yang suka kacau orang..”
“ooooooo…” sahut mereka ramai-ramai. “Cigu..semalam kan..aku mimpi..ada hantu pocong!” sampuk seorang.
“Cigu..semalam kan..ada hantu di rumah kami..”

“ Cigu…” “Cigu..”  “Cigu…”

Naaa..kalau sudah sorang mula cerita pasal hantu, yang lain pun nda mau ketinggalan. Macam-macam versi cerita hantu dari setiap pencerita. Last2..

Okey..habis cerita pasal hantu. Kita ulang balik baca surah tiga Qul..” putusku. Muktamad.

Kisah 4.

Semasa di ambang bulan ramadhan yang lepas, aku berusaha menjadikan ramadhan sebagai tema mingguan yang tidak rasmi. Sengaja mau menimbulkan suasana puasa lebih awal supaya murid-murid bersemangat untuk menyambut bulan puasa.

Cerita tentang syaitan dibelenggu, pahala berganda dan sebagainya menjadi bual bicara yang diulang-ulang. Ketika dalam ‘mood’ menyiapkan kerja yang kuberikan pada mereka, salah seorang murid tiba-tiba bertanya. 

Cigu..cigu bagitau dulu kan..dalam bulan posa ba..syaitan kena ikat kan?”

“Iya Azril..syaitan kena ikat. “ aku mengiyakan. Dahinya berkerut seketika. Seakan memikirkan sesuatu. 

“Jin? Jin kena ikat juga ka cigu?” soalnya semula. Aku terpaku. Tidak sangka dia akan terfikir soalan itu.

“Kenapa tanya begitu?” tanyaku semula. Sambil menulis sesuatu, dia menjawab,”Ndala..cigu cakap dulu syaitan kena ikat, jadi jin macamanala..”sejenak dia berkalih padaku.

Dia masih ingat akan cerita kami sebelum itu. Aku pernah memberitahu, syaitan dan jin tidak sama, walaupun keduanya dicipta dari api. Jin ada yang baik, ada yang jahat. Ada yang kacau orang..ada yang tidak kacau orang. Tapi syaitan dan iblis selalu kacau orang.

“Em…nanti cigu tanya cigu punya cigu ah..” jawabku akhirnya. Aku tidak tahu macamana untuk bagi jawapan mudah yang senang difahami olehnya. Azril mengangguk lalu meneruskan kerjanya. 

Pendek kata, idea budak-budak ni serba serbi. Ready saja kekreatifan untuk menjawab setiap persoalan mereka. Honestly..aku masih dalam proses meningkatkan kekreatifan diri. hehe..

Kecomelan mereka bakal bersambung.

Assalamualaikum.
10 0gos 2014 - 9 September 2014

Saturday, August 23, 2014

Cerita Pulau Banggi (2)


Bismillahirrahmanirrahiim..
Bicara pasal jodoh. 

Tipulah kalau aku kata aku tak pernah fikir pasal ni, (well…im human too..not robot..hehe). Cuma ia tidak menjadi agenda utama fikiran atas alasan banyak lagi perkara lain yang menjadi prioriti untuk difikirkan.

 Ketika mula-mula sampi di sini (Pulau Banggi), memang tak lepas soalan macam ni..

1.       Dah kahwin?

2.       Dah ada calon?

3.       Dah tunang?

4.       Bila lagi…tak sabar mo makan nasi minyak.

Ataupun…..

1.       Jangan tunggu lama-lama..kahwin awal lagi bagus.

2.       Bah..apalagi..dah kahwin senang minta pindah..(amboi..macamla perubahan status diri tu jaminan dapat pindah 100%)

Dan..macam biasala, jawapan ala retis bak kata SaifulNang..”bila sampai masanya, insyaAllah”
 tak pun….. “Tak da yang berani jumpa en. Sapin” ujarku selamba. Hehe…. 

Tidak ingin didesak dengan jawapan rasmi, maka jawapan selamatlah diberi. (Uina jo…ingat kahwin senang macam makan chewing gum. Mengkali makan chewing gum pun susah..penat mengunyah air liur sendiri.. Menanya sampai naik kebas telinga yang mendengar dan naik penat mulut yang menjawab). Kata ustaz..jangan tanya orang bila dia nak kahwin..lebih baik doakan dia kahwin cepat. Nanti dah kahwin pun tanya lagi bila nak berisi..da kuar sorang..tanya lagi bila nak menambah. (Rilek jo..pelan-pelan..hehe)

Di awal tahun pertama di sini, seorang pakcik (orang tempatan pulau) secara peribadi bertanya padaku seandainya aku sudah punya mana-mana calon. Rasa hormat yang meninggi terhadap pakcik ini (kerana beliau merupakan kakitangan bukan mengajar di sekolah..jadi biasa jumpa pakcik ni..) membuatkan aku berusaha untuk tidak memberi jawapan yang mengecewakan hatinya secara mendadak. Beliau bertanya kerana ingin mengenalkanku dengan anaknya…ANAKNYA..bukan dirinya ya..hehe. Sambil kata-kata  ustaz terngiang-ngiang di kotak ingatan, ‘setiap antara kita sudah Allah tetapkan jodohnya masing-masing…’ pantas aku menjawab, “ada pakcik..insyaAllah”..dengan penuh berhemah. Mungkin kerana aku tidak memakai cincin di mana-mana jari, membuatkan pakcik beranggapan sebaliknya. Nampaknya lepas ni..kena beli cincin…takpun pinjam cincin adik lelakiku di rumah. Heheh…


“Dah tunang?” soalnya lagi. ‘Gulp…’ ambik kau ani..sembarang menjawab. Aku tersenyum. ‘Secara adat men cincin2 tu takda pakcik..tapi insyaAllah suda.’..(dengan jodoh yang Allah dah tetapkan, yang aku sendiri tidak tahu siapa..dalam hati aku bergumam sendiri). 

Mungkin tidak puas hati dengan jawapanku, pakcik menambah..”fikir-fikirlah dulu. Kalau setuju, bagitau pakcik..pakcik nak jumpa keluarga cikgu secepatnya” (ooo...tidakkk...hati kecilku bersuara..)
Pantas aku menjawab, “Jodoh ni Allah yang tetapkan. Anak pakcik masih muda. Masa depan masih luas. Kalau dah jodoh, takkan ke mana pakcik. ” Pakcik tersenyum dalam anggukan, lalu meminta izin untuk meneruskan tugasnya. 

Fuhhh..aku menarik nafas lega. Harap-harap cukup setakat itu. Beberapa ketika selepas itu, aku benar-benar meminjam cincin adikku. Hahah…bukan ingin mengaburi sesiapa, tapi memandangkan situasiku di pulau, mungkin ada baiknya tindakan spontanku ini. Kata-kata ustaz masih kuat melekat di ingatan, 'jodoh kita semua sudah Allah tetapkan..'. Ya...walau tak tahu siapa dia..dan aku juga tidak mahu menjerumuskan diri ke dalam kancah persintaan perkapelan muda mudi zaman ini. Istilah bercinta zaman sekarang sudah jauh dari landasan yang sepatutnya. Bukan mau bajet bagus tunjuk diri baik..tapi sebab nda cukup baik la tidak mau ikut-ikutan budaya sinta dan romen zaman sekarang. Ada yang terasa? Minta maaf..ini hanya pendapat peribadi. Bab cari jodoh, aku lebih senang serahkan pada insan yang ku percayai atas dasar agama dan akhlaknya. Selebihnya, aku mohon kemudahan semua urusan dari Allah yang Maha Mengetahui segalanya.

Okey..mari kita serius sikit..

Berbicara dengan insan-insan yang lebih awal mendirikan rumahtangga sedikit sebanyak membentuk persepsi peribadiku tentang perkahwinan. Sememangnya ramai rakan-rakan sekolahku yang sudah berumahtangga. (Yang tinggal berapa kerat ja, termasuk aku..hehe). Menghayati dan menyelami kisah rumahtangga insan-insan hebat membuatkanku berfikir berkali-kali tentang pengorbanan,kesabaran, kepahitan dan kemanisan berkongsi hidup dengan pasangan.

“Jangan sesekali mengharapkan kesempurnaan..terima dia seadanya. Kalau kita mencari kesempurnaan ikut pandangan kita, selamanya kita tak kan dapat cari..” kata seorang. Iya..sememangnya benar bukanlah kesempurnaan itu yang perlu dicari. Sempurna itu bukan sifat seorang manusia yang hakikatnya cuma hamba.


“Mungkin aku belum punya kesabaran yang cukup untuk hadapi karenah dalam rumahtangga, sebab tu Allah lambatkan masa untuk aku kahwin banding ko kan..”ujarku bila satu ketika, mendengar cerita manis pahit seorang sahabat lamaku di zaman sekolah dulu.

“Ko bijak dari dulu ani..untuk fikir macam tu. Aku cepat kahwin bukan sebab cukup sabar..tapi memang tak cukup sabar, gatal mo kahwin awal!” tukas sahabat ini di sambut tawa kami bersama.

Seandainya memilih pasangan hidup itu semudah memilih jawapan objektif dalam soalan aras pengetahuan, mungkin keadaannya berbeza. Tapi..bila kita sudah menetapkan secara peribadi misi dan visi dalam hidup berumahtangga, maka ia akan menjadi sebaliknya. Bukan setakat nikah, kenduri…ok..sudah. no! nehi..andwaee…

“paling kurang..carilah yang cukup rukun islamnya..” pesan ustaz.

“Paling tidak..yang cukup 5 waktu..”pesan pensyarah merangkap ‘ayahku’ di IPG.

“Aku mau berubah..tapii..perlu ada yang aku segan..heheh..”ujar adikku. Demikian alasannya acapkali aku membebel untuk mengajaknya solat sama. “iyaaaa..kalau gitu, aku kawin sama ustat nanti, baru kali kamurang ni segan bila nda mo solat” jawapanku hanya mengundang tawa sang adik. Walau dalam nada bergurau,aku mahu merealisasikannya. Bukan untuk berkahwin dengan ustat..tapi dengan seorang yang boleh bersama-samaku mengajak ahli keluargaku memperbaiki diri ke arah menjadi hamba Allah yang lebih baik…honestly..aku tak mampu sendirian..im not good enough..:(

Pesan UAI(Ustaz Azhar Idrus), tak semestinya mencari yang berkopiah berjubah berpurdah segala. Cukuplah yang membimbing kita bersama-sama mencari redha Ilahi. Iya..benar jo..ukur baju di badan sendiri orang bilang. Diri ini bukan ustazah (tak pernah masuk sekolah agama pun)..dengan peribadi muslimah ala rookie..amat tidak wajar memasang angan dan impian menjadi pasangan ustat yang hafiz, ilmu seluas lautan, peribadi seindah mutiara dan permata. Demikian juga dengan mamat-mamat rookie yang kurang poyo di luar sana.  (uhukk..tersedak sikit..minum air dulu). Cukup yang menjaga agamanya (dapat ustat atau ustajah itu bonus namanya), dekat dengan quran (dapat hafiz atau hafizah itu bonus namanya), menyenangkan paras fizikalnya (dapat hensem ala so ji sub, lee dong wook atau cantik ala pretty zinta, han hyo joo..itu bonus namanya) baik ekonominya (tak semestinya kaya raya atau bekerja tetap..tapi kalau iya, itu bonus namanya). Ehemmm..pendek kata sederhana apa adanya, yang penting terjaga agamanya. Yang lebih tu bonus namanya. Allah Maha Pemurah, jika dapat bonus..alhamdulillah. Bersyukurlah pada Allah.

Misi dan visi untuk membentuk keluarga yang bersuasana Islam itulah target dalam mendirikan rumahtangga. Supaya Allah redha dan melimpahkan rahmatnya atas keluarga kita. Bilamana Saidina Umar mengatakan, kita dimuliakan dengan Islam..dan siapa mencari kemuliaan selain dengan Islam maka dia tidak mendapat apa-apa..hatiku sebak. Sedih beb..Bila Islam tidak hadir dalam kehidupan, bagaimana kemuliaan sebagai manusia itu dapat diraih, bukan saja di mata manusia, bahkan pada pandangan Allah. Sebagai generasi yang membesar dalam suasana kurang islamik..aku tidak mahu generasiku juga sepertiku. Mahu mulia pada pandangan Allah…maka dengan Islam. Sekaligus akan mulia pada pandangan manusia. insyaAllah. 

“Kenal-kenal dulu…” demikian anjuran insan-insan di sekelilingku. Mentaliti masyarakat sekarang..kenal-kenal is same to couple. “bianeyo..i cant..” (uhukk..uhuk..). Sorry to say. Aku ada sejenis simptom. Simptom rasa nak pengsan bila dengar dan baca sms, “rindu pula rasanya” antara adam dan hawa bukan muhrim yang berkemungkinan punya chemical reaction. Atau “luv you..”. heheh..antara sesame jantina tak mengapa, (selagi ia di batas fitrah yang normal..faham kan? Kalau da gay or lesbian..nehhiii..) 

Ringkasnya..penerimaan apa adanya diri kita terhadap pasangan kita, dan begitu juga sebaliknya..adalah keperluan utama. Persamaan dan keserasian visi dan misi adalah main point yang sangat penting. Sangat mustahak. Tanggungjawab dan amanah dalam rumahtangga menjanjikan separuh dari agama, ia bukan sesuatu yang remeh. Kita bukan sebaik mana, tapi usaha untuk memperbaiki diri itu perlu ada. Kata orang hebat, hidupkan dan tegakkan Islam dalam diri dulu, barulah Islam tertegak di dunia ini. Ya…jomm..sama-sama berusaha memperbaiki diri, menghidupkan..menyuburkan..menegakkan selurus-lurusnya Islam dalam diri kita, semampunya kita. Pada yang berstatus ‘single’ sepertiku ini…yakin pada Allah..insyaAllah Allah akan hadirkan pasangan yang terbaik untuk agama kita, terbaik untuk diri kita di dunia dan di akhirat. Yakin beb..insyaAllah..jauhilah kapel-kapel yang menimbulkan simptom mual dengan bahasa cintan cintun..(bahasa itu menjadi indah dan mulia andainya sudah termeterai ikatan ijabkabul antara adam dan hawa..berjiwannglah sehingga kehabisan idea..^-^..)

Salam sayang dari Pulau Banggi… (uhukk..uhukk..)

Palestin di hati..Gaza will never be defeated..!!

Mohon maaf kalau ada sebarang butir bahasa yang menyinggung rasa. Moga kita semua tetap dalam ketaatan pada Allah.

Assalamualaikum

10 Ogos 2014.

Cerita Pulau Banggi (1)



Bismillahirrahmanirrahiim..
Angin petang menyapa lembut.

Menikmati hujung minggu di pulau sedikit ‘membosankan’. Mahu berjalan di psisir pantai, namun agak risau dengan ‘gangguan’ belia yang rajin ‘bermesyuarat’ berhampiran rumah. Tidak mahu menyesakkan fikiran dan mara dengan karenah bukan-bukan mereka.

Tidak berapa jauh dari rumah, kelihatan astaka padang sekolah semakin meriah dengan kunjungan kanak-kanak riang. Entah apa permainan mereka, sukar dipastikan. Hanya suara membingit singgah di pendengaran. Tanpa bantuan kaca mata, hanya bayangan berwarna warni yang samar-samar mampu kulihat. Namun, mendengar jeritan mereka sudah cukup menghiburkan. Terimbas kembali semua kenangan zaman kanak-kanakku yang boleh dikatakan agak nakal. Masuk belukar, masuk hutan cari kayu api, cari bijih getah, cari ubi kayu (berguling-guling jatuh dari lereng tanah tinggi ‘time’ cabut ubi), mandi kolam (kolam ikan bapa! Curi-curi beb..bila Nampak kelibat bapa dari jauh, bertempiaran kami keluar dari kolam dengan basah kuyup), panjat pokok, main kejar-kejar..main masak-masak (he..hee). cerita dulu-dulu….

“Palestin..! Palestin..!” jerit sekumpulan kanak-kanak. Teralih perhatianku. Aku tertawa kecil. Macam main perang-perang pula budak-budak ni, desis hati kecilku.

“Yaaa….israelll..!” jeritan bersahutan. Aku makin tertarik. Seketika kemudian, ……, “Palestin..!!” aku mengukir senyum.
Satu perkembangan yang baik andainya isu Palestin sudah diketahui dan difahami kanak-kanak di kawasan pulau yang kata orang, ‘serba serbi ketinggalan’. Walau jauh beribu batu,itu bukan alas an untuk tidak cakna dengan isu Palestin lebih-lebih lagi pada zaman teknologi di hujung jari.

Palestin sentiasa di hati..

Salam rindu dari kejauhan di pulau Banggi kepada saudara yang dikasihi di Palestin.

Gaza will never be defeated!
Assalamualaikum.

9 Ogos 2014.