Tuesday, July 6, 2010

Pelayaran

Angin malam yang dingin menyapa lembut wajahku. Rasa sebak mula menjengah lubuk hati. Nadhira masih lagi asyik melagukan kalam Allah di sudut tepi ruangan muslimah. Aku menapak keluar ke koridor masjid. Untuk seketika, aku khayal dengan keindahan alam ciptaanNya.

“Hm..termenung jauh nampak..” suara lembut menyapa di cuping telingaku. Aku berpaling ke belakang. Nadhira tersenyum. Mempamerkan lesung pipitnya yang tajam menyucuk pipi. Sungguh, Nadhira sangat cantik pada pandanganku. Cukup lengkap dengan pakej sebagai seorang muslimah. Dan aku berasa sangat bertuah dapat mengenalinya. Aku juga berbangga menjadi sahabatnya.

“ Aku selalu terfikir satu perkara, dan aku risaukannya “ kataku lalu membuang pandangan ke dada langit yang indah dihiasi gugusan bintang berkerlipan. Nadhira memeluk bahuku. “ Risau pasal apa?” tanyanya lembut. Aku tersenyum. Kami senyap untuk seketika. Sejurus itu, aku tertawa.

“ Kenapa?” tanyanya. Aku menggeleng. “ Luculah. Kau rasa kalau orang nampak kita macam ni, orang tak takut? Dahlah dua-dua bertelekung, main peluk-peluk pula..”.

Lantas Nadhira memukul lenganku. Dia turut tertawa sama. “Dah..jangan nak mengarut. Risau pasal apa tadi?”.

Aku menarik nafas panjang lalu menghembuskannya perlahan-lahan. Aku memandangnya seketika seraya menggeleng sekali lagi. Suasana senyap kembali menguasai. “Aku takut kalau-kalau apa yang aku ada sekarang berubah..” ujarku perlahan. Nadhira memeluk bahuku semula. “Kadang-kadang perubahan itu sesuatu yang perlu. Kadang-kadang perubahan tu baik untuk kita..”

“Em..tapi perubahan yang macam mana juga tu?” dia menyambung semula kata-katanya dengan soalan.

“Aku selalu terbayang satu hari nanti kita tak macam ni lagi. Aku terbayang bila tiba satu masa, kita terpisah, aku pasti tak kuat berseorangan..”

Suasana kembali sunyi. Masing-masing tenggelam dalam perasaan hati sendiri. “ Tiap pertemuan pasti ada perpisahan. Aku bukan siapa-siapa Dania. Tapi kalau kita bersahabat kerana Allah, berpisah jauh mana pun kita, hati takkan gelisah. InsyaAllah..” Nadhira bersuara lembut sambil menggosok belakangku. Eh, bermadah pula dia, hatiku berbisik. Aku tersengih sendiri.

“Jangan buat babak sedih camni. InsyaAllah, ada masa cuti nanti, aku balik sini juga.” Aku hanya membatu. Bukan ingin melakonkan babak sedih seperti dalam filem, cuma aku tidak tahu hendak berkata apa. Kata-kata seniorku satu ketika dulu terngiang-ngiang di telingaku. “ Kita mesti tahu hidup atas kaki sendiri. Kalau ke mana pun asyik nak berkepit dengan rakan, sampai bila boleh berdikari? Nanti masuk kubur pun bukan boleh ajak kawan masuk sama. Tidur sendiri juga dalam lubang kubur. Kena belajar untuk berdikari. Bumi Allah ni luas dik”

“Kau terlalu baik Nadhira..” ujarku dalam nada perlahan. Tapi cukup kuat untuk didengari. “Tapi ada lebih ramai lagi yang lebih baik dari aku. Kau akan jumpa dengan mereka. InsyaAllah..” Pintas Nadhira. Aku tersenyum. Nadhira turut tersenyum. Dia mendakapku. Dakapan seorang sahabat yang telah membawaku ke sebuah daerah baru, yang sering ingin kutuju sebelum ini namun kandas apabila tersekat oleh ujian kehidupan.

“Dania..Dania..” Aku tersentak. Serentak dengan itu, kacamataku terlepas dari tangan. Aku menoleh ke sisi. Alia berdiri sambil bercekak pinggang. Dia memandangku tajam. Nurul muncul dihadapanku lalu mengutip kacamataku yang terjatuh.

“Asyik berkhayal. Kalau ada pertandingan ratu khayal, memang sah kau juara.” Tukas Alia dalam nada menyindir. Aku hanya tersenyum. Telingaku sudah lali dengan gelaran tersebut. Nurul menggelengkan kepalanya.

“ Prof Ismail pesan, nanti jumpa dia selepas Zohor. Bawa sekali kajian kau. Jangan asyik mengelamun. Nanti cepat tua..” Alia berlalu setelah menyampaikan pesanan. Aku terpana seketika. Cepat tua kalau asyik mengelamun? Nurul merapatiku.

“ Dania, apa yang asyik kau fikir? Tentang perkara yang sama?” Aku hanya mengangguk, dalam senyuman yang bersisa. Suasana sunyi seketika.

“ Mesti Nadhira sangat istimewa, kan? “

“Sangat istimewa. Kalau tak jumpa dia, aku tak macam ni sekarang. Jum pergi makan..” aku cuba mengalihkan topik dan menapak keluar dari bilik kuliah. “Em..selain dia, kau tak da sahabat lelakikah?” soalan Nurul belum berakhir. Aku tersenyum lagi. Sahabat lelaki? Fikiranku ligat memutar kotak rakaman di minda. ‘ Ada..Ryan, yang juga tidak kutemui bertahun-tahun lamanya..’ jawab hatiku. Nurul menanti jawapan disebalik senyumanku. Dan aku terus tersenyum, meninggalkan teka teki buatnya.