Monday, April 5, 2010

Pelayaran (Part I)

Kehidupan ini penuh dengan kejutan. Penuh dengan jangkaan. Penuh dengan andaian. Penuh dengan khayalan dan bayangan. Kehidupan memerlukan pengorbanan, kesakitan dan kepayahan kerana tanpa itu semua, ia bukanlah suatu ‘kehidupan’ sebenar yang perlu dilalui di dunia ini.

Aku menghela nafas panjang, seraya menghembusnya perlahan seiring dengan keluhan kecil. Jauh di hatiku mengucap takbir, cuba mencari titik ketenangan dalam keresahan yang kian menjengah lubuk hati.

Tanganku berhenti menaip untuk seketika. Ilhamku untuk menulis mula lenyap dari bayangan minda. Aku berusaha untuk menghabiskan penulisanku selagi ada waktu yang tersisa. Mengimbas jadual waktu seharian yang padat dengan kuliah, aktiviti luar, kerja kursus, gerakan kokurikulum, dan bermacam lagi yang tidak mampu untuk diungkapkan, aku tidak tahu apakah aku akan berjaya menyiapkan penulisanku ini tepat pada waktunya.

Rakan-rakan menggelarku ‘the silent writer’ atau ‘penulis senyap’ kerana aku sememangnya tidak gemar berbicara banyak seperti kebanyakan daripada mereka. Wadah bicaraku lebih jelas dalam setiap hasil penulisanku yang akanku bukukan sendiri atau kumasukkan dalam webku. Apabila bertemu dengan sesiapa jua, aku hanya gemar berbicara tentang sesuatu yang akan menambahkan input pengetahuan, memberikan kesedaran atau mencetuskan idea pemikiran. Aku kurang gemar bergelak ketawa hanya kerana memperkatakan suatu perkara yang remeh atau kecil atau dalam istilah yang lebih tepat, perkara ‘lagho’.

Angin malam menerobos masuk ke dalam bilikku melalui celah tingkap yang terbuka sedikit. Terasa kedamaian meresap jauh ke dalam diri apabila hati mengungkapkan rasa syukur tatkala berpeluang merasa nikmatNya ketika ramai insan yang lain tidak memiliki peluang yang sama. Aku memandang dinding langit. Gelap gelita. Hanya cahaya rembulan dan gugusan bintang yang bertebaran menghiasinya, membuatkan aku terpesona dengan keagungan kuasa Tuhan menciptakan itu semua.

Rasa kantuk mula menguasai diri. Aku memandang jam pada telefon bimbitku. Jam sebelas setengah malam. Masih awal, dan aku tahu di luar sana, ramai belia yang beranggapan waktu ini adalah permulaan hari mereka kerana pada waktu sebeginilah mereka akan keluar ke bandar, melepak bersama kawan-kawan dan mengelilingi pusat bandar tanpa tujuan yang jelas. Hanya ingin berseronok. Seringkali terlupa keseronokan itu boleh ditarik pada bila-bila masa. Aku ingin merehatkan diri, agar minda aku juga mempunyai ruang waktu untuk ‘tidur’ supaya pada esok hari, ia lebih cerdas dan mampu membantuku untuk berfikir dengan baik bagi menghadapi hari yang baru. Dalam masa yang sama, aku mampu membawa tubuhku untuk bangun di penghujung malam untuk sujud kepadaNya.

Lantas kumatikan komputer ribaku. Rasa kantuk semakin mendorongku untuk merebahkan tubuh saat itu juga. Kugagahkan kaki, menapak ke arah bilik air untuk membersihkan diri dan mengambil wudhuk.

“ Eh, tak tidur lagi?” Teman sebilikku, Izah menegur dalam keadaan yang masih terpisat-pisat. Dia keletihan setelah pulang dari kampungnya petang tadi. Perjalanan yang sangat jauh dan memenatkan sememangnya menuntut tenaga yang banyak. Usai solat isyak, dia sudah terlena.

“ Nak tidurlah ni. Sorry, nanti kumatikan lampu.” Ujarku. Terbit rasa bersalah kerana tidak mematikan lampu lebih awal. “Hmm..” sahutnya lalu kembali meneruskan pengembaraannya di alam buana.

Aku menguak daun pintu perlahan-lahan. Tiupan bayu malam menyapa wajahku serta merta. 'Sejuknya..' bisik hatiku. Andai diturut kata hati, pasti aku terus merebahkan tubuh saat ini juga namun kugagahkan hatiku yang mulai diselabungi kemalasan untuk melangkah...