Monday, August 2, 2010

Mati

Bismillahirrahmanirrahim..

Aku berfikir beberapa kali sebelum menjadikan entri ini satu perkongsian untuk tatapan semua. Ia mengandungi sentimen tertentu yang bersangkut paut dengan perjalananku selama ini. Namun, aku berharap perkongsian ini memberi satu pengajaran buat diri kita semua walau hanya sebesar zarah.

*************************************************************************************************************************************************
Cuti semester lalu berlalu begitu pantas. Terasa baru semalam bercuti, walhal kini sudah masuk beberapa minggu sesi interaksi untuk semester baru berlangsung.

Semasa cuti tempoh hari, aku mengambil kesempatan menyelongkar semula kotak-kotak yang memuatkan buku-bukuku semasa di zaman persekolahan. Serta merta, kenangan zaman sekolah menerobos masuk ke kotak ingatanku.

Aku merasakan diriku ketika itu adalah orang lain, dan aku juga merasakan diriku pada ketika itu berfikiran agak kehadapan berbanding usiaku.

Helai demi helai mukasurat ku selak. Banyak sekali karanganku yang tidak siap. Kuakui, aku memang suka menulis dan mengarang sejak dulu, sejak di bangku sekolah rendah. Dan sehingga kini, tabiat itu masih melekat.
Sedang asyik menyelongkar, aku terjumpa beberapa pucuk surat, kiriman seorang saudara yang hanya seketika dapat kukenali. Anak kepada keluarga angkat kakakku. Seorang remaja yang periang, beradab, tidak sombong dan sangat menghormati orang tua.

Oleh kerana jarang bertemu, dan ketika itu, hubungan melalui telefon terbatas, kami hanya berutus surat, dan tentunya ia atas dasar persaudaraan yang terbina. Ketika itu, aku juga seorang remaja yang masih dalam lingkung pergaulan ‘bebas’, masih di awangan, masih dalam pencarian hakikat hidup.

Suatu ketika, kakakku menerima panggilan telefon dari keluarga angkatnya. Dari riak wajahnya, aku dapat mengagak ‘sesuatu’ telah berlaku. “Kenapa?” ajuku. “ Awang(bukan nama sebenar) meninggal” ujarnya. Pada masa itu, fikiranku kosong. Aku tidak tahu apa yang kufikir atau rasakan.

Kini, peristiwa itu sudah beberapa tahun berlalu. Aku sendiri tidak ingat pada tahun berapa beliau dijemput pergi. Dan aku hampir terlupa nama saudara itu, hinggalah aku melihat semula surat-surat yang pernah dikirimkannya suatu ketika dahulu. Aku seperti tidak merasa kehilangannya. Apabila melihat surat dan foto beliau, aku merasakan beliau masih hidup tika ini. hakikatnya..adalah sebaliknya.

Aku mula berfikir, bagaimana agaknya beliau di alam sana? Tentu Allah menyayanginya hingga menjemputnya dalam usia yang sangat muda. Pada usia belasan tahun.

Seketika tadi, aku membaca pula kisah pengakhiran perjalanan seorang pendakwah muda. Terasa diri sangat jauh beza dengan insan tersebut. Anda boleh membacanya (disini). Allah Maha Berkuasa. Dia boleh menunjukkan kekuasaan dan kebesaranNya pada bila-bila masa pada diri hamba-hambaNya yang terpilih.

Husnul khatimah. Itu yang kita harapkan sebagai pengakhiran kepada kehidupan di dunia ini. Persoalannya, layakkah kita? Cukup ikhlaskah hati kita selama ini bekerja untuk agamaNya? Cukup banyakkah amal kita untu dipersembahkan kepadaNya? Berjayakah kita mencapai anugerah husnul khatimah tatkala bayangan syurga dan neraka bermain di pandangan saat nyawa di hujung tanduk?

Takut mati. Cintakan dunia, takutkan mati. Penyakit ummat manusia hari ini. Ummat islam umpama buih-buih di lautan. Semasa dalam kuliah subjek perkembangan kerohanian pagi tadi, kisah mati, akhirat dan hidup selepas mati diutarakan oleh pensyarah subjek tersebut. Banyak perkara bermain di mindaku kala itu.
Macamana keadaan kita saat malaikat Izrail datang menyapa? Bagaimana keadaan kubur kita nanti? Bagaimana cara kita disoal dalam kubur? Dapat jawab atau tidak?

Hidup ini sangat singkat. Itulah kesimpulan yang dapat kunyatakan. Dalam usaha mendekatiNya, adakalanya kita akan menjauhiNya tanpa kita sedari. Moga kita terpelihara dari semua perkara yang akan menjauhkan kita daripadaNya.

Al-fatihah buat allahyarham Maslizam Sidek. Moga Allah menempatkan beliau di dalam golongan hamba-hambaNya yang beriman dan beramal soleh.

Antara tanda husnul khatimah :
1) Mengucapkan kalimah syahadah ketika hampir mati.
Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : " Sesiapa yang akhir kalimahnya 'Lailaha illah' nescaya masuk syurga "

2) Mati dalam keadaan percikan peluh di dahi .
Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : "Mati orang yang beriman itu adalah percikan peluh di dahi."

3) Mati di malam Jumaat atau harinya.
Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Tiada orang muslim yang akan mati pada hari Jumaat atau malamnya melainkan Allah pelihara akan dia dari fitnah kubur.

4) MAti syahid di medan perang menegakkan agama Allah.

5) Mati kerana sakit taun, sakit perut, ditenggelami air atau di timpa kemalangan.

6) Perempuan yang mati di dalam nifas dengan sebab melahirkan anak, orang yang mati terbakar, mati kerana sakit paru-paru dan sakit cirit birit.

7) Orang yang mati mempertahankan hartanya yang hendak dirampas.

8) Mati kerana mempertahankan agama dan nyawa.

9) Mati kerana bertugas di dalam perjuangan islam.

10) Mati ketika beramal soleh, yakni ketika melakukan amal ibadat menyembah Allah seperti berpuasa, solat dan sebagainya.