Sunday, July 4, 2010

Kal Ho Na Ho

Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah, setelah beberapa ketika terulit dengan kesibukan dunia yang tak seberapa, aku akhirnya berpeluang menaip bait-bait kata yang tersimpan sejak tempoh hari. 'Kal Ho Na Ho' tajuk entri kali ini sedikit unik. Aku memilih tajuk ini bukan kerana tayangan filem ini, tetapi kerana maksud disebalik tajuk itu sendiri.

Beberapa hari lalu, aku memasuki perpustakaan institut yang telah kutinggalkan sejak cuti semester. Aku berjalan melewati beberapa rak. Apabila tiba di suatu rak, hatiku tertarik pada sebuah buku yang agak lama namun tajuknya begitu menarik padaku. “Lambaian Wajah-wajah Kematian dan Amalan-amalan Bekalan Akhirat : Ekspedisi ke alam Ghaib” yang ditulis oleh Ustaz Jaafar Salleh. Meski hati sedikit gementar untuk menelaah isi kandungannya, namun tanganku terus mencapai buku tersebut.

Kematian itu adalah pasti bagi setiap yang bernyawa. Bukanlah bererti dengan mengingati mati, kita hanya tertumpu kepada ibadah khusus semata, dan melupakan bahagian hidup di dunia. Apabila seseorang asyik dengan usaha mengingati kematian sehingga melupakan urusan kehidupan, dia seperti melupakan firman Allah dalam surah al-Qasas (28:77),

“ Dan carilah (pahala) negeri akhirat dengan apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu, tetapi janganlah kamu lupakan bahagianmu di dunia dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan dibumi. Sungguh, Allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakan”

Dunia ini ladang akhirat. Di dunia ini tempat untuk bercucuk tanam, sehingga tiba waktunya, hasilnya akan dituai untuk kegunaan di dunia satu lagi. Jika tanaman kita baik, baiklah hasilnya dan demikianlah juga sebaliknya. Sebagaimana sukar untuk bercucuk tanam dan mendapat hasil yang baik di dunia ini, begitu juga sukarnya untuk tetap istiqamah dalam kebaikan dan ketaatan padaNya agar perjalanan kita mudah di dunia satu lagi.

Mudah untuk mengatakan, tetapi sukar untuk melaksanakan. Kerana itu, sering dikatakan, orang yang banyak bercakap itulah yang paling rugi. kita boleh menyuruh orang berbuat baik, dan bersiap sedia untuk menghadapi kematian, namun adakah kita turut sama bekerja untuk menghadapi hari tersebut? Kebanyakan antara kita takut untuk memikirkan perkara tersebut walau untuk sesaat, kerana tahu mati itu sakit, sangat sakit sekali, tapi hairannya ramai juga yang tidak ingin mengambil pengajaran darinya.

Rasulullah SAW bersabda, “Secerdik-cerdik manusia adalah yang paling banyak ingatnya kepada kematian serta banyak bersiap untuk kematian. Mereka itulah orang yang benar-benar cerdik dan mereka pergi ke alam baqa dengan membawa kemuliaan dunia serta kemuliaan akhirat” (Ibnu Majah dab Ibnu Abiddunya)

Umpamanya seseorang yang ingin bermusafir. Pastinya orang tersebut bersiap sedia dengan bekalannya sepanjang perjalanan menuju destinasi. Orang ini sudah menjangka apa bakal berlaku jika dia berkelakuan seperti ini dan ini, dan bagaimana untuk menempuh perjalanan dengan selamat. Tentunya dia banyak mengkaji dan berfikir untuk hidupnya di masa akan datang. Demikianlah kita yang hidup di dunia ini, seperti musafir dalam perjalanan ke suatu destinasi yang jauh. Bekal yang cukup perlu disediakan agar tidak membawa kemudaratan di masa depan.

Justeru itu bersama-samalah kita berusaha dan berdoa agar Allah memudahkan segalanya untuk kita dan mengakhiri segalanya dengan baik juga untuk kita. Kerana musuh utama kita tidak akan pernah berhenti untuk menyesatkan Bani Adam, walau sehingga saat sakaratulmaut sekalipun, dan disitulah rahmat Allah akan mengatasi segalanya, samaada kita akan termasuk dalam kalangan orang Islam atau sebaliknya. Ini kerana amal seribu tahun belum tentu dapat menjamin kita dapat melepasi ujian getir saat itu, melainkan dengan izin dan rahmatNya. Tapi itu bukan alasan untuk tidak beramal langsung. Teruslah berusaha selagi boleh. Entah esok masih ada untuk kita atau tidak.

“ Ya Allah, akhirilah umur kami dengan kesudahan yang baik dan janganlah kiranya Engkau akhiri umur kami dengan kesudahan yang tidak baik. ”

“ Ya Allah ya Tuhan kami, janglah Engkau pesongkan hati kami setelah Engkau kurniakan petunjuk kepada kami. Anugerahkan kami rahmatMu, sesungguhnya Engkaulah Maha Pengurnia”

“ Ya Allah, ringankanlah bagi kami akan sakaratulmaut. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang..”

Semoga kita semua berjaya melepasi ujian di dunia ini sebaiknya, agar kita tergolong dalam kalangan hamba-hambaNya yang beruntung di akhirat sana. InsyaAllah.