Monday, May 10, 2010

Coretan Tinta Hati

Aku ingin menulis entri ini sejak beberapa ketika yang lalu...Cuma, ia tertangguh kerana aku tidak tahu bagaimana hendak memulakannya..Dan kini, aku mulakan dengan ketidaksengajaanku melupakan hari lahir seorang adik.

" Kak tiada mau cakap apa-apa dengan saya?" seorang junior merangkap adik usrah, bertanya usai sesi pertama kem jom solat pada suatu malam. Dia tersenyum penuh harap. Dari pandangan matanya, aku dapat merasakan ada sesuatu yang penting bermain di benaknya. Aku tersenyum.
" Cakap pasal apa?" aku cuba berbasa basi, saja untuk menangkap isi utama yang ingin disampaikan. " Eii..kakak ni..betul ba tak da pa-pa kak nak cakap?" Dia semakin membuatkanku tertanya-tanya.
"Em.."aku tidak dapat menangkap katanya. Serentak dengan itu, azan isyak berkumandang.
" Ada apa ya?" aku bertanya semula padanya.
" Tak palah, solat dulu.." ujarnya dalam nada sedikit kecewa. Rasa bersalah timbul dihatiku. Pasti ada sesuatu yang penting, dan aku tidak tahu apakah yang penting itu. Sehingga selepas solat isyak pun, dia mengajukan soalan yang sama. Membuatkan rasa ingin tahuku semakin menguasai diri. " Kak tahu hari apa hari ni?"
" Em..hari selasa" jawabku, lurus. Keesokannya, selepas solat isyak, adik ini kembali bertanya. Kali ini, aku membawanya duduk seketika lalu bertanya sebaik mungkin.
" Jadi, saya tak da hak nak kecewa la ni?" Aku semakin bingung. Kecewa? Kenapa pula kecewa? Rakannya di sebelah menyampuk, " Dia sedih semalam.."
" Sedih kenapa?" ajuku semula. " Tak da sorang pun kakak yang wish birthdaynya..".
'Ya Allah..hari lahirnya pula semalam..' aku terdiam seketika dengan senyuman yang masih terukir dibibir. Senyuman yang membawa bersama perasaan bersalah. Sememangnya banyak perkara yang terlepas pandang sejak kebelakangan ini. Sambil mengucap kata maaf, aku hanya mampu memberikan ucapan selamat ulang tahun dan memeluknya seketika.

Harapan dan doaku padanya, ' semoga adik ini akan menjadi lebih tabah, kuat dan matang dalam menghadapi resam dunia yang semakin tidak dapat dijangka. Semoga perjalanannya dipermudahkan, dan Allah sentiasa melindungi dan meredhainya...insyaAllah..'

Itu secebis kisah bersama adik usrah yang tersemat di hati. Banyak lagi yang terpendam, banyak lagi yang ingin dikongsi namun lebih banyak yang ingin disimpan kerana ia satu kenangan yang amat berharga buatku. Dalam melalui perjalanan hidup yang semakin singkat, semakin banyak perkara yang membuka hatiku apabila hati semakin rapat dengan insan-insan baru dalam hidupku.

Semakin masa berlalu, semakin besar tanggungjawab, semakin banyak amanah yang perlu dilaksanakan, dan semakin banyak kewajipan yang perlu ditunaikan. Jika dahulu, aku hanya perlu risaukan diriku, ahli keluargaku, saudara maraku, kini perasaan risau semakin melebar, semakin meluas terhadap adik-adik baru...Hatiku senang apabila melihat mereka gembira, dan hatiku runsing apabila melihat mereka tidak seperti selalu. Rinduku pada adik-adik di rumah terubat dengan adanya adik-adik di institut. Senyuman, semangat dan sikap ceria mereka menguatkanku untuk terus bertahan hari demi hari.

Apabila seorang adik mengadu dalam tangis kerana semangatnya jatuh dek keadaan, "Kak, saya tak boleh, saya bukan macam dorang..", hatiku sedikit rapuh. Bagaimana aku dapat menguatkan mereka sedangkan merekalah yang dihadirkan oleh Allah untuk menguatkan semangatku? Adik ini yang biasanya hadir di depanku dengan senyuman dan tawa riang kini sebaliknya, hadir dengan wajah kesuraman dan kesedihan.

Adikku, kita lahir di dunia, membesar di dunia dan berjalan di dunia ini hanyalah dengan izinNya. Demikianlah setiap ketentuanNya pada kita, semuanya berlaku dengan izinNya juga. Andai kita merasa tidak layak akan sesuatu, memiliki sesuatu, namun ia tetap menjadi milik kita, itu tandanya Allah mengizinkannya berlaku kerana itulah yang terbaik untuk kita. Ada sesuatu yang ingin Dia tunjukkan, ada sesuatu yang perlu kita pelajari dari semua itu. Setiap yang terjadi ada hikmahnya, bukan sekadar berlaku begitu sahaja. Jika kita merasa layak dan mampu mendapatkan sesuatu, namun sebaliknya kita tidak memilikinya, itu tandanya, ia bukan untuk kita, dan Allah tidak mengizinkan ia untuk kita.

Jangan dikisahkan apa kata orang, apa harapan orang, apa penilaian orang pada kita, kerana kita hidup bukan kerana mereka. Kita hidup kerana Allah. Jika ada yang ingin kita menjadi 'A' atau 'B' atau 'C'..biarlah kita menjadi yang terbaik mengikut kemampuan kita. Perubahan kita, tindakan kita biarlah didasari niat untuk mendekatkan diri padaNya, mencari redhaNya. Dalam sisa kesempatan yang masih ada, sebaiknya digunakan untuk mencari hakikat diri di persada duniawi ini. Tidak ada manusia yang sempurna, justeru kita semua memerlukan orang lain untuk melengkapi kehidupan kita.....

Sungguh, aku kehilangan kata apabila berdepan dengannya dalam keadaan itu. Saat aku menghantarnya ke kelas, dia menangis lagi. Hanya Allah yang tahu betapa aku ingin lari saat itu juga kerana air mataku juga ingin tumpah bila-bila masa. Ya Allah..begitu sukarnya untuk mengatakan padanya, hidup ini tidak seindah lukisan yang kita boleh lakarkan di kanvas putih..Apabila Allah inginkan kita menjadi lebih baik, Dia akan memberi kita kefahaman agama dan ujian yang tidak disangka-sangka..Setiap yang dikurniakanNya pada kita adalah satu bentuk ujian untuk menjadikan kita lebih baik dari semalam. Kuatkan hatimu adikku...

Aku tidak tahu apa lagi yang harus aku coretkan...Segala yang bersarang di dalam hati tidak mampu untukku luahkan. Banyak kenangan, pengalaman dan kisah yang baharu terlakar sejak bersama-sama dengan mereka semua. Harapanku, dan doaku, semoga Allah memudahkan semuanya, dan semoga Allah tetap memelihara tautan hati antara kami semua...


Kesimpulannya...aku sayangkan mereka semua..dan aku berharap akan ada lagi masa dan peluang yang dipinjamkanNya untuk kami bersama-sama merasai kemanisan ukhwah atas nama Islam..