Sunday, October 31, 2010

Kisah Exam

Bismillahirahmanirrahim.


“Susah oh..mau paksa diri pun tak dapat.” Dia muncul di muka pintu bilikku dengan wajah sugul, suram dan kelam. Seakan tertekan dengan suasana. Lalu mula berbicara tentang exam yang bakal menjelang beberapa hari sahaja lagi.

Aku diam. Menanti ayat seterusnya. Aku tahu bicaranya belum habis.

“Saya tak suka oh begini. Saya mau push, tapi…” Bicaranya terhenti lagi. “Saya sayang diri saya.. saya tak mau begini.” sambungnya dalam nada lirih lalu mengelap matanya. Aku melihat ada titis mutiara yang cuba disekanya. Menangis kerana mengingatkan diri yang terlalu lemah melawan rasa malas. ‘Kuatkan saudaraku ini ya Allah. Kuatkan kami..’ bisik hati kecilku, memanjatkan doa.

“Susah kan mau lawan rasa malas? Bila dekat exam tulah rasa malas datang..”ujarku pula. Dia menggangguk perlahan mengiyakan kata-kataku.

“Kena lawan rasa malas tu..”ujarku lagi. “Kalaulah saya ketagih belajar macam ketagih main game kan bagus..” aku merasa sedikit lucu dengan kata-katanya, namun ia sememangnya benar.

Sudah namanya pelajar. Pasti mengalami keadaan seperti itu. Aku juga mengalaminya. Cuma bila dia berbicara sedemikian rupa, aku tersentuh. ‘Hati keras’ku tersentuh. Berapa ramai orang (khasnya yang bergelar pelajar) mempunyai kesedaran seperti itu? Melihat senario zaman pelajar zaman moden, hanya segelintir sahaja yang seperti itu rasanya. Kebanyakan pelajar masa kini hanya mahu belajar untuk lulus exam. Aduh..kemanalah generasi Malaysia satu hari nanti kalau penyakit tu berlarutan. Apatah lagi jika penyakit itu melanda ummat Islam. Tanpa kesedaran tentang roh ilmu sepertimana roh ibadah yang lain, tidak ke manalah kita. Makin ramailah ummat Islam yang akan kita jumpa bergelandangan di sana sini, dilanda pelbagai permasalahan, di tindas, ketinggalan dan dipandang serong. Nauzubillahminzalik. Janganlah sampai begitu.

Dalam Program Bicara Siswa baru-baru ini, ada audien bertanya kepada panel, bagaimana peperiksaan boleh menjamin penguasaan ilmu sedangkan rata-rata pelajar belajar untuk lulus peperiksaan, bukan menguasai ilmu. Aku sukakan soalan itu. Jawapannya, terlalu panjang untuk diulas di sini. Tapi cukuplah untuk kukatakan, hanya pelajar yang benar-benar tahu tujuannya belajar akan menganggap belajar bukan untuk lulus peperiksaan semata.

Pernah seorang hamba Allah berkata padaku, “Aku tak mahu belajar begitu-begitu sahaja. Kita ni, orang Islam, patut jadi ummat paling cemerlang macam cendikiawan Islam dulu-dulu, yang terkenal satu dunia. Itu kalau orang Islam betul-betul tahu pentingnya belajar, tuntut ilmu. Aku mau belajar supaya satu hari nanti, aku dapat tolong sedarkan ramai masyarakat Islam yang masih tidur, bagi pendidikan pada siapa ja, supaya satu hari ummat Islam bangun jadi ummat yang berilmu, disegani seluruh dunia.”

Katanya lagi, “Kita diberi peluang oleh Allah untuk tuntut ilmu, gunakan peluang itu sebaiknya.. tidak semua dapat peluang yang sama. Kita perlu bantu saudara kita dengan peluang yang kita ada. Aku tak mau tengok ummat Islam jadi masyarakat yang ketinggalan, diperkotak-katik orang lain sampai orang lain cakap masyarakat paling mundur ialah orang Islam..”

Kata-kata itu aku pegang, aku simpan elok-elok dalam hati semasa mula-mula mendapat tawaran menjadi guru pelatih. Aku tidak tahu sejauh mana sudah usahaku untuk melaksanakan impian kata-kata itu, namun aku sentiasa berharap aku dan saudara-saudaraku yang lain dapat mencapainya. Selagi ada impian, pasti ada harapan. InsyaAllah.

Memandangkan peperiksaan semester ini bakal bermula pada Selasa depan, tidak kunafikan hati gementar, risau dan bimbang kerana kuakui semester kali ini dirasakan berlalu sangat singkat, dan aktiviti kelasku khususnya sangat banyak. Namun itu bukan alasan untuk tidak berjaya dalam peperiksaan.

Justeru, berusahalah kita selagi boleh untuk menggalas impian dan kewajipan sebagai pelajar merangkap bakal-bakal pembangun masyarakat khususnya masyarakat Islam. Penilaian kita bukan pada keputusan yang tertera pada sekeping kertas, tetapi pada usaha yang telah dicurahkan untuk mendapat keputusan itu. Selebihnya, serahkan padaNya yang Maha Kuasa dan Maha Mengetahui untuk menentukan apa yang terbaik untuk kita, kerana kejayaan yang sebenar itu datang hanya daripadaNya .

Sebelum exam tu..hubung-hubunglah keluarga, khasnya ibu bapa kita. Minta maaf (minta maaf bukan masa raya saja), minta restu dari mereka dan pohon doa dari mereka serta ahli keluarga lain. Doa ibu bapa, insyaAllah makbul.

‘InsyaAllah, bapa doakan moga kau dapat jawab peperiksaan dengan bagus. Jangan fikir bukan-bukan” mesej dari bapaku dalam exam UAK lepas. Semangatku yang hampir jatuh naik semula dengan kata-kata itu. Untuk anak yang jarang berpeluang berbicara dengan sang bapa, memang terasa gembira dan bersemangat setelah mesej dibalas seperti itu. Antara lain mesej dari ahli keluargaku,

“ok..insyaAllah..gudluck sis!” (dari adik lelaki sulungku)

“InsyaAllah, jawab soalan bagus-bagus” (mesej dari abang)

“InsyaALLAH, abg doakan adik ani dan adik-adik abg yang lain dipermudahkan menjawab,dilapangkan hati, dipenuhkan ilmu di dada,dijauhkan dari penyakit lupa masa jawab exam nanti. Jawab sehabis baik ya, kita dah berusaha, nanti selebihnya serahkan pada Allah s.w.t. Good luck and all the best to ani and friends. Semoga nanti dapat result yang cemerlang. InsyaAllah..amin..=)” (pesanan dari senior untuk exam lepas juga.)

Terima kasih untuk semuanya. Untuk itu, dengan rendah hati, aku juga ingin meminta maaf kepada sesiapa juga yang mengenali diriku, kot-kot pernah kata-kata atau perbuatanku menyinggung anda. Sejujurnya, aku tidak berniat untuk menyinggung atau menyakiti sesiapa pun, kerana aku juga tidak suka disinggung dan disakitkan. Jika ada hutangku yang belum terlangsai, silakan berjumpa atau hubungiku secepatnya. Sama-sama kita saling mendoakan untuk kebaikan dan kesejahteraan bersama.

Akhir kalam, jadilah hambaNya yang sebaik mungkin, jadilah ummat Islam yang sebaik dan secemerlang mungkin Selamat belajar, selamat menduduki peperiksaan dan selamat berjaya kepada semua. Apa yang penting, tetapkan niat dan harapan kita dengan jelas, dan berusahalah untuk ke arah itu. InsyaAllah, pasti ada kebaikan dan hikmah untuk setiap yang telah, sedang dan bakal berlaku.

Assalamualaikum..