Thursday, February 17, 2011

Warkah Pena yang Sekian Lama Beku

Bismillahirrahmanirrahim...

Banyak yang bermain di minda. Banyak yang ingin dikongsikan. Tapi untuk mengeluarkannya ke dalam bentuk huruf, amat sukar dan payah. Mungkin menghidapi sedikit masalah disfasia Banyak befikir, kurang bercakap, mungkin antara punca kepada masalah seperti ini. Memahami apa yang diperkatakan adkalanya lebih mudah daripada memahami apa yang dikatakan oleh diri sendiri.

Banyak yang berlaku kebelakangan ini. Kebanyakannya berlaku secara mengejut. Dan banyak juga perkara yang sukar dijelaskan logik akal berlegar disekeliling.

Agak lama aku bercuti dari menulis. Tangan mulai keras dan kekok untuk menaip. Minda juga semakin sukar menterjemahkan isinya ke dalam bentuk lambang-lambang bahasa tulisan.

Aku terfikir. Apakah tulisanku selama ini ada memberi manfaat kepada yang membacanya? Atau sekadar mengisi masa kosong mereka? Ataupun hanya menimbulkan rasa tidak puas hati, ataupun membosankan? Atau penuh dengan kata-kata leteran yang tidak ada noktah akhirnya? “Ada aku kisah?” pasti ayat ini berlegar dalam sanubari sebahagian dari anda. Ayat yang amat popular masa kini. Ayat gurauan yang semakin melekat. Ya..memang perlu kisahkan semua itu. Dan terpulanglah pada kita untuk menilainya.

Hujung minggu lalu, aku balik ke kampung dan membawa bersama tiga orang rakan sekelas. Diana, Ibah dan Bell. Hanya tiga orang, tapi sudah cukup menggambarkan perangai untuk 24 orang. Cukup riuh dan gawat suasana rumah di kampung. Apa yang pasti, keluargaku senang dengan mereka dan aku sempat mencuri pandang tawa bapa semasa mendengar celoteh mereka bertiga. Begitu juga dengan senyum dan tawa emak serta adik beradikku. Ia sesuatu yang amat berharga pada pandanganku. (Aku tahu coretanku ini akan dibaca oleh mereka yang berkenaan, justeru itu, secara peribadi..segunung penghargaan dan jutaan terima kasih buat kalian)

Hujung minggu pada minggu cuti tempoh hari pula, aku berkesempatan menziarahi ibu Bell di Penampang. Sudah lama berkeinginan ke rumahnya, namun belum ada peluang. Dan akhirnya, berbekalkan tawakal dan setelah menetapkan niat, aku memberanikan diri memandu buat pertama kali untuk memenuhi undangan dan peluang yang ada. Mujurlah ada sahabiah yang menemani. Dan Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar dan perjalanan dipermudahkan walaupun kebarangkalian untuk sesat agak tinggi setelah tiba di Penampang. (Jutaan terima kasih juga buat Bell dan keluarga atas layanan baik sepanjangku berada di rumah kalian. Tidak dilupakan para sahabiah yang menemani sepanjang perjalanan)

“Wah..azam barukah ni?” tanyaku dalam nada mengusik pada seorang rakan sekelas tempoh hari semasa dia menyatakan ingin membelanjaku makan tengahari..heee. Ketika itu, kami berjalan seiringan menuju kafetaria. “ Saya mau jadi orang baik tahun ini..” jawab rakan sekelasku ini sambil tertawa kecil.

Mau jadi orang baik. Ayat yang rakan ini ucapkan terngiang-ngiang di kotak mindaku sehingga kini. Siapa yang mahu jadi orang jahat? Rasanya semua pun mahu jadi baik. Yalah..jadi berusahalah jadi sebaik mungkin walau diri tidak sebaik mana. Itulah pesanku buat diri sendiri dan buat semua. Bukan jadi baik untuk masa tertentu sahaja, tapi untuk sepanjang masa. "Saya bukan orang yang cukup baik tapi saya tidak jahat" Itu ayatku suatu ketika dulu. Terasa lucu apabila diingat tapi ada benarnya. Siapakah yang cukup baik dan sempurna akhlaknya antara kita? Tidak ada, kecuali Rasulullah.

"Dan sesungguhnya engkau benar-benar berbudi pekerti yang luhur" (Surah al-Qalam, 68 :4)

Berbuat baik dan lakukan apa yang bermanfaat buat semua. Bukankah manusia yang baik itu sentiasa memberi manfaat kepada yang lain, walau dalam suatu perkara yang dianggap kecil dan remeh.

Semoga ada manfaatnya bicara kali ini.

Wasalam.

Salam Maulidur Rasul.