Thursday, July 29, 2010

Di keheningan malam


Bismillahirrahmanirrahim

Jam sudah bergerak menghampiri angka satu pagi. Aku mengambil keputusan untuk balik seorang diri memandangkan rakan-rakan lain masih tetap tidak berganjak dari tempat mereka. Setelah memaklumkan pada yang lain, aku bergerak ke muka pintu. “Beranikah aku?” aku bertanya pada diri sendiri. Tombol pintu kupulas perlahan lalu menguak daun pintu. Gelap gelita. Hujan renyai-renyai. Sunyi sepi. Tidak ada bayangan seorang manusia pun yang kulihat pada waktu itu. Hanya cahaya lampu malam menerangi suasana gelap yang menyelubungi institut.

Aku menarik nafas. Dengan lafaz bismillah, aku mula menapak langkah demi langkah. Sangat sunyi. Dengan desiran angin pagi, hanya tapak kakiku menjadi peneman bunyian unggas malam. Untuk seketika, aku berasa tenang. Tenang dalam kesunyian itu. Aku merasa jauh dari hiruk pikuk suara manusia yang lebih banyak menyakitkan dari menyenangkan.

Acapkali, aku terpaksa bermanis muka menahan semuanya. Acapkali, aku terpaksa menurut yang lain yang bukan kehendakku. Acapkali, aku merasa sesak dengan semuanya. Acapkali, aku berasa bingung dengan semuanya. Acapkali, aku merasa dihimpit dengan semuanya bila tiba saatnya semua hadir secara mendadak. Tertekan? Hipokrit? Ingin lari? Ingin menangis? Ingin menjerit? Ingin apa lagi? Aku berada dalam semua situasi itu sejak mula mengenal dunia. Jadi, apalah ertinya ungkapan bermadah dipinggir bibir? Biarlah Dia yang mengetahui semuanya. Tidak perlu dihebohkan ada makhlukNya.

Aku memandang persekitaran institut yang sunyi, kelam dan suram. Aku meneruskan langkahku. Ketika itu, hatiku berkata, ‘ tak takut? Bukan jam 8 malam ni. Dekat jam satu. Kau seorang ni.’ Aku tersenyum dalam hati sendiri. ‘Untuk apa takut? Kan kita ada Allah yang sentiasa melihat dan melindungi kita?’ hatiku puas dengan jawapan itu, seraya menguatkan lagi akar ketenangan dalam hatiku untuk terus bergerak di awal pagi seorang diri.

Aku tiba dihadapan rumahNya. Juga gelap dan suram. Fikirku, mereka masih ada di dalam. Rupanya, tanggapanku meleset. Sunyi dan tidak ada kedengaran suara manusia dari dalam. Mungkin mereka tertidur? Aku melangkah masuk ke rumahNya. Kosong. Nampaknya semua sudah berangkat pulang ke hostel. Tak mengapalah, bisik hatiku. Setelah mencapai telekung yang kutinggalkan selepas isyak tadi, aku bergerak keluar dan meneruskan perjalanan balik ke hostel.

Mataku masih melilau di sekitar. Benarlah, alam mempunyai kaedahnya yang tersendiri untuk berzikir padaNya. Dan kita akan tenang bila dapat merasai suasana alam itu kerana alunan zikirnya. Memang sunyi. Dan begitulah sunyinya hatiku, bila aku dalam kebisingan. Sebaliknya, bila berada dalam suasana sunyi, itulah waktu paling tepat untukku berfikir dan bermuhasabah. Mungkin kerana itu jugalah, aku 'tidak pandai bergaul' dengan orang. Gemar menyendiri agar boleh berfikir lebih jauh dan dalam. Mungkinlah....

“Tak da orang yang tak pernah buat silap dan dosa, De..”

“Nabi?” usul adik bongsuku lagi. “Nabi tu maksum. Nabi terjaga dari dosa sebab apa yang nabi buat, semua ikut apa yang Allah suruh. Kalau Allah tak suruh, nabi tak buat.” Jelasku. Harap-harap dia faham.

“Oh, jadi semua manusia ada dosalah, kecuali nabi sebab nabi tu terjaga dari dosa?” Aku mengangguk. Ade juga mengangguk.

Apakah erti hidup anda? Apakah hakikat hidup anda? Tahniah kepada yang telah menemui jawapannya dan berusahalah menemukan jawapan itu bagi sesiapa yang belum menemukannya. Aku juga masih dalam pencarian. Mencari titik utama kepada semuanya. Bukan mudah untuk menemuinya. Bukan senang untuk mempertahankannya. Dan sangat sukar untuk menemui yang benar-benar memahami kita, selainNya. Hanya Dialah sebaik-baik tempat mengadu da berserah.

Aku tiba di pagar hostel. Alhamdulillah, pagar belum berkunci. Aku mencuri pandang bilikku. Alhamdulillah, lampu bilik belum terpadam, menandakan ‘roomate’ku belum berlayar ke alam buana. Anak tangga ku daki satu persatu. Aku tiba di muka pintu bilik. Ku kuak daun pintu seraya mengucapkan salam. “ Waalaikumussalam..” sahut ‘roomate’ku.

Aku menarik nafas lega. Alhamdulillah, perjalanan yang seketika cuma, secara bersendiri, hanya ditemani alam ciptaanNya melalui izin dan redhaNya, akhirnya aku selamat tiba.

Aku terfikir sesuatu. …ya..aku rindukan adikku. Aku ingin balik bertemu dengan mereka. InsyaAllah…