Tuesday, October 26, 2010

Kata Hati

Bismillahirrahmanirrahim

Hatiku ingin menyatakan sesuatu. Tangan mencapai 'laptop'. Dengan lafaz bismillah, aku mula menterjemahkan kata hati dalam bentuk huruf.

************************************************************************************************************************************************

Angin malam menderu laju. Titik-titik hujan mulai jatuh ke bumi. Aku membuka pintu bilikku. Terasa sapaan angin yang kuat menampar wajahku. ‘Kuatnya angin’ bisik hatiku.

‘Napa berubah?’ soalan itu masih menari-nari di mindaku. ‘Berubah?’ aku bertanya semula. ‘Siapa? Akukah?’ aku bertanya lagi pada diri sendiri.

Kebelakangan ini, suasana malam terasa semakin dingin. Bahkan, di sebelah siang pun kedinginan turut terasa. Penghujung tahun. Biasanya musim hujan, kalau di laut, musim tengkujuh gelarannya. Betul? Musim ombak bergelora kuat, ikan makin sukar diperoleh, natijahnya, harga ikan melambung tinggi. Fikiranku melayang jauh sudah nampaknya. Sampai ke tengah lautan, menyusuri kepayahan nelayan mencari sesuap rezeki dalam cuaca sebegini.

Ya.. aku memang mengalami perubahan. Aku sedar itu. Tapi aku kurang pasti perubahan apa. Aku cuba kembali ke titik asal. Mencari punca masalah, kalau ada. ‘Kau memang bermasalah. Kau sakit!’ kata-kata insan itu menerjah kotak fikiranku.

‘Siapa yang tidak ada masalah? Orang yang tidak bermasalah itu pun satu masalah’ pintasku.

‘Dah lah, cuba lembutkan hati tu sikit. Sampai bila nak begini?’ insan itu berkata lagi.

‘Hati aku terlampau keraskah?’ ‘Jangan terperangkap dengan apa yang sudah jadi. Bebaskan diri…’

Bebaskan diri..bebaskan diri…bebas yang macam mana? Aku berteka teki lagi.

Komander Emrullah, Komander Bilal, Komander Abdullah..nama-nama pejuang dalam 1511H (KOMBAT) karangan Faisal Tehrani muncul di kotak minda. Menelusuri perjuangan yang dirakamkan dalam sebuah novel, cukup membuat hati bergetar. Bebaskan diri dari belenggu ketakutan untuk tegap berdiri memegang panji kehidupan berteraskan peraturan dan ketetapanNya. Tanpa disedari, air mata menitis keluar dari takungannya tatkala diri memasuki alam perjuangan para pejuang yang dinukilkan penulis muda tersebut. Beginikah Islam pada masa depan? Fikirku…memulakannya cukup susah, apatah lagi mempertahankannya. Ditambah lagi dengan ketiadaan pemimpin agung sepanjang zaman yang telah dipanggil Sang Kekasih.

31. ‘Dan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) iaitu kitab (Al-Quran) itulah yang benar, membenarkan kitab-kitab yang sebelumnya. Sungguh, Allah benar-benar Maha Mengetahui, Maha Melihat (keadaan) hamba-hambaNya.’

32. ‘Kemudian kitab itu Kami wariskan kepada orang-orang yang Kami pilih di antara hamba-hamba Kami, lalu di antara mereka ada yang menzalimi diri sendiri, ada yang pertengahan dan ada (pula) yang lebih dahulu berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu adalah kurnia yang besar’

38. ‘Sungguh, Allah mengetahui yang ghaib (tersembunyi) di langit dan di bumi. Sungguh, Dia Maha Mengetahui segala isi hati.’

(Surah al-Fatir)


Apa yang aku fikirkan? Aku tergolong dalam kelompok mana? Yang menzalimi diri sendiri? Yang pertengahan atau yang lebih dulu berbuat kebaikan? Berat sungguh persoalan itu..

Mulakan kebangkitan Islam itu dari dalam diri sendiri. Kita model untuk menzahirkan apa itu Islam. Bukankah manusia belajar daripada peniruan dan permodelan? Apa bezanya jika kita tidak menunjukkan perbezaannya? Islam itu tinggi, dan tidak ada yang lebih tinggi darinya, demikian sabda Nabi.

Macam mana nak buktikan andai kita sendiri meremehkan dan merendahkan Islam. Nauzubilllahminzalik.


‘Ya Allah..kembalikan diriku kepada fitrah asalku sebagai hambaMu yang diciptakan hanya untuk beribadah dan mentaatiMu..’jauh dilubuk hati, aku memanjatkan doa.

Dunia ini terlalu membingungkan. Segala yang berlaku merupakan tarbiyyahNya. Ya..didikanNya..aku mengiyakan.

Pedulikan kata mereka yang tidak mengetahui..kerana cukuplah Allah bagiku.

'Izinkan hambaMu ini ya Allah..' bisik hati kecilku..