Sunday, January 15, 2012

Relasi Januari

Satu keluhan kecil terbit bersama helaan nafas yang panjang. Pandangan kuhamparkan jauh ke hadapan. Cuba mencari makna sebuah kehidupan dari gambaran pelbagai ragam manusia. Tidak tahu hendak ke mana. Lantas, stereng kereta kuputar, menuju ke suatu tempat. Tiba di muka pintu, salam ku ucap, namun tiada insan yang menyahut salamku secara zahir. Namun, alunan ayat-ayat suci al-Quran seakan menyambut salam dan kehadiranku. Usai duduk sebentar mendengar alunan merdu dari ruangan sebelah, aku berangkat, menuju ke destinasi berikutnya. Sememangnya al-Quran merupakan penawar terbaik yang dikurniakanNya kepada seluruh hambaNya. Meskipun tidak memahami apa yang dibaca dan dilagukan, ia memberi suatu perasaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Kadangkala, hanya dengan membaca sepotong ayat, membuatkan hati merasa sebak dan air mata keluar dengan sendirinya.

Kembali menyingkap sirah nabi di awal penyebaran Islam, al-Quran memainkan peranan penting dalam melembutkan hati para penentang kuat baginda semasa itu. Hati keras Al-Walid bin Al-Mughirah, Abu Sufyan, Abu Jahal dan Akhnas bin Syarik turut menjadi lembut bila mendengar alunan kalam Allah meskipun mereka menafikannya. Juga tercatat dalam sejarah bagaimana Abu Sufyan, Abu Jahal dan Akhnas mencuri-curi dengar baginda nabi membaca al-Quran dimalam hari walaunpun zahirnya mereka merupakan antara penentang hebat baginda. Ajaibnya mukjizat agung itu.

Tiba di destinasi berikutnya, aku mengambil tempat yang agak jauh dari orang ramai. Aku duduk dihujung padang sambil memerhati gelagat para manusia yang pelbagai. Ada yang beriadah bersama keluarga, ada yang membuat latihan sendiri, ada yang berjalan, dan ada juga kanak-kanak yang sibuk bermain pasir, membina istana pasir sambil berbicara sesuatu yang hanya difahami olehnya sendiri. Aku tersenyum sendiri. Gelagat kanak-kanak riang tersebut sedikit menghilangkan kerinduanku pada anak buahku.



Namun, satu perasaan yang sentiasa berbekas dihati, kembali merajai tapak sanubari tatkala langit yang membiru kupandang kosong. Aku menarik nafas panjang dan melepaskan perlahan. Teringat suatu ketika dahulu, ketika duduk disatu sudut padang kampus bersama senior. Senior dan senior. Duduk berbual soal kehidupan, dan soal ummat masa kini. Jauh disudut hati, aku merindui saat itu. Aku dan senior-seniorku. Rapatnya aku dan senior bermula di rumahNya, dan berpanjangan di padang kampus, walau jarang menghabiskan masa bersama. Walaupun kini dibatasi jarak, dan mereka berjuang dilapangan yang jauh lebih mencabar, doa yang dipanjatkan tidak akan pernah putus agar silaturahim yang terbina terus utuh dan teguh.

Kehilangan. Suatu kehilangan yang terasa di dalam hati mengajar kita untuk lebih menghargai dan mensyukuri apa yang dimiliki saat ini, itupun jika kita ingin memandang kehilangan itu dari sudut yang positif. Jika sebaliknya, mungkin saja kita akan menyalahkan takdir atas kehilangan itu. Suatu kehilangan itu merupakan didikan yang wajar dipertimbangkan dari pelbagai sudut yang berbeza.

Kita manusia yang diangkat darjatnya dengan kelebihan akal. Tanpa akal, kita boleh saja setaraf dengan binatang, bahkan dengan akal sekalipun, manusia lebih cenderung bersifat kebinatangan, apatah lagi tanpa akal yang mampu membantu kita menilai sesuatu. Dengan adanya akal, manusia perlu dididik, bukan saja diajar. Manusia lebih memerlukan didikan berbanding pelajaran, kerana itu para guru ditekankan untuk menjadi seorang pendidik, bukan hanya seorang pengajar.

Menelusuri erti sebuah persahabatan dalam nukilan Hilal Asyraf, ‘Relasi’, membuatkanku semakin tercari individu yang membawa gelaran ‘sahabat’ dalam hidupku selama ini. Kehilangan seseorang dalam hidup kita akan membuatkan kita merasa seakan sendirian. Namun, itulah tarbiyyahNya. Merasa sendirian itu bahaya kerana itu antara tanda awal bahawa kita semakin menjauhiNya, demikian antara konklusi salah satu watak yang dipamerkan oleh penulis muda itu.

“Kalimah sahabat, bukannya untuk orang yang rapat dengan kamu sahaja,” demikian antara petikan suatu dialog dalam novel tersebut. Aku tersenyum lagi. Namun dihati, terasa sebak. Air mataku mengalir perlahan. Aku tahu, aku sayangkan dia, dan mereka. Adakalanya perasaan sayang itu tidak perlu dizahirkan melalui kata-kata, tapi cukup dengan perbuatan. Namun begitu, adakalanya perbuatan itu disalahtafsirkan, kerana kita sebagai manusia, punya persepsi yang berbeza. “Ya Allah, izinkanku untuk menyayanginya , untuk menyayangi mereka semata-mata keranaMu..”hatiku berbisik perlahan.

Biarlah kalimah sahabat itu tersemat bersama rasa sayang yang terkunci di hati. Kerana apa yang penting bukanlah balasan dari mereka atas perasaan itu, tetapi keikhlasan dalam menjadikan perasaan itu sebagai langkah untuk sentiasa dekat denganNya.

Kadangkala,
Kita terpaku mencari jawapan kehidupan,
Berlari dan terus berlari,
Mengharapkan penghujung yang sejati,
Tercungap-cungap mencari nafas ketenangan hakiki,
Lantas kita berhenti sebentar,
Refleksi diri yang kian gentar,
Bertanya semula kepada kalbu yg keletihan,
Apa yang engkau lari-larikan?
Apabila hakikatnya,
Kebahagiaanmu tersuluh di depan mata,
Kemuliaanmu terpancar hatta di celah-celah kota,
Walau dunia penuh pancaroba,
Dirimu sentiasa menanti masa,
Mencari, dan terus mencari.

...Kerdipan Yang Hilang... (sumber : http://www.iluvislam.com/tazkirah/nasihat/1958-mencari-kerdipan-yang-hilang.html)