Saturday, January 22, 2011

Hargai insan yang tersayang

Bismillahirrahmanirrahiim..

Cuaca malam ini agak suram. Awan hitam tebal menghiasi dada langit. Cahaya rembulan samar-samar di pandangan. Berbeza dengan malam semalam. Malam yang cukup indah. Dengan cahaya bulan mengambang ditemani gugusan bintang yang berkelipan, cukup mendamaikan hati sesiapa jua yang memandangnya. Mampu untuk membuatkanku mengukir senyum di sepanjang perjalanan untuk menghadiri kuliah BIG mingguan. Cantiknya, tenangnya.. indahnya ciptaan Allah, tidak mampu diluahkan dengan kata-kata.

Minggu ini, aku tidak pulang ke kampung. 'Alang-alang..tinggal seminggu ja lagi lepas tu cuti CNY..'kata hatiku. Aku bertekad tidak balik. Tapi, petang tadi, adikku menghubungiku. "Tidak balikkah?" Soalan itu... Seakan menyuruhku untuk pulang. Untuk beberapa ketika, kami 7 beradik berkumpul di rumah sejak adikku bercuti sementara menunggu panggilan kerjanya yang baru. Dia mengkhabarkan dia akan 'merantau' lagi selepas cuti CNY. Kurang seorang pun sudah cukup sunyi kurasa. Tapi bila semua berkumpul, memang gawat dan riuh. Mak dan bapa pun senang sikit, ada yang boleh disuruh-suruh, boleh menolong sikit-sikit kerja dirumah, kerja kampung. Situasi yang jarang-jarang berlaku sejak aku menjadi warga IP. Apatah lagi abang dan kakakku kini sudah mempunyai keluarga sendiri. Bila sesuatu yang selalu di depan mata itu tidak selalu lagi kelihatan pada pandangan kita, barulah kita menyedari akan pentingnya kewujudannya.

Pesan salah seorang pensyarah suatu ketika dulu, "Baliklah jenguk mak bapak selagi dorang masih ada, kalau tiada apa-apa di IP.." Yalah..usia bukan makin muda. Sama-sama meningkat usia. Jadi, hargailah apa yang ada sekarang.

Hargai insan yang tersayang.

Wasalam.