Wednesday, January 5, 2011

Majlis itu..(Meriah tapi Merana) (Bhg 1)

Bismillahirrahmanirrahim

Bila sebut ja tentang kahwin, semua akan jadi segar bugar (khasnya kepada yang sedang hangat dilamun cinta dan mempunyai khayalan serta harapan yang tinggi untuk berkahwin dengan kekasih hati). Bila sedang 'angau' memang kaki sukar untuk berpijak di dunia nyata, tenggelam dalam dunia sendiri yang sering melalaikan.

Kenapa mesti cakap pasal hal kahwin-kahwin ni? Mesti ada yang berfikir sedemikian rupa. Dah nak kahwinkah? Hm...memang begitulah yang lazim muncul di minda bila sola kahwin yang disebut. Minda sering berfikir dalam ruang yang tertutup. Kenapa nak cakap pasal kahwin...Sebab.... kurasa, hari ini, tujuan kahwin itu semakin lari dari maksud asalnya.

Sedar tidak sedar, makin hari, erti dan maksud di sebalik sebuah majlis perkahwinan semakin tenggelam dek keinginan hati dan diri untuk menunjukkan majlisnya yang terhebat dan paling meriah, paling bergaya, paling elegan. Manakan tidak, segala persiapan menelan belanja melebihi apa yang sudah dirancang atau dalam erti kata lain 'off budget' atau lebih popular dengan istilah 'lari bajet'.

Sudah menjadi budaya masa kini (khasnya di tempatku sendiri), dalam setiap majlis perkahwinan, akan ada hiburan sama ada berbentuk 'karaoke' atau 'live band' yang dijemput khas. Dan itulah yang jadi penarik sehingga tengah malam sekalipun rumah pengantin masih bingit dengan suara para tetamu yang tidak berhenti menyumbang dan mensumbangkan lagu.

Jadi, apa masalahnya? Tentu tidak nampak masalahnya jika budaya yang terus mekar ini terus dan terus dihidupkan dalam kehidupan kita, dalam kalangan kita.Tidak ada masalah kalau semua itu masih ada batasnya. Masalahnya bila semua yang tidak patut dan tidak perlu itu 'dimestikan' dan 'diperlukan' hingga menyusahkan dan melalaikan.

Hari ini, orang takut nak berkahwin (khasnya lelaki) sebab belanjanya bukan sedikit. Jadi timbullah pelbagai masalah, dan wujud juga bermacam alternatif oleh para muda belia untuk merealisasikan impian mereka. Apakah contohnya...anda fikirlah sendiri.

Dalam usia sekarang, ku kira, berfikir segala berkenaan suatu perkahwinan bukanlah sesuatu yang ganjil. Malah ramai remaja di luar sana yang masih hingusan sekalipun sudah tahu berfikir soal kahwin. Ada yang masih beruniform sekolah pun tahu membicarakan impian hari perkahwinannya. Maka, perlunya kita sentiasa mempersiapkan diri dengan segala macam ilmu yang sesuai dengan peringkat umur masing-masing, supaya pandangan terhadap sebuah perkahwinan itu tidak setakat terhenti pada 'menghalalkan yang haram' semata.

Konteks sebuah perkahwinan itu terlalu luas untuk dikupas, dan kurasa, ayat ini juga sudah berulang kali kusebut dalam ruangan maya ini.

Kadangkala, bila mendengar jumlah wang hantaran yang ditetapkan pihak perempuan terlalu tinggi, timbul rasa kasihanku pada pihak lelaki. Nak kahwin pun jadi macam nak beli anak dara orang. Di Sabah, khasnya di sebelah kawasan Penampang, sebilangan masyarakat Kadazan menetapkan jumlah berian (kira macam wang hantaran juga) mengikut jumlah tiang rumah. Kalau dapat gadis yang tinggal di rumah batu, bolehlah bakal pengantin lelaki tarik nafas lega. Sebaliknya, bila gadis idaman tinggal di rumah yang tiangnya berpuluh-puluh..tidakkah sakit kepala. Andai kata si pengantin lelaki mempunyai pendapatan lumayan, ia tidak akan menjadi masalah, tapi kalau sebaliknya?

Namun, di sini, yang ingin kukupas ialah perkahwinan sesama umat Islam kerana jika individu terbabit masyarakat Penampang sekalipun, namun beragama Islam, pasti ada timbangrasa dan tolak ansur kerana pada dasarnya, semua urusan yang dilaksanakan menurut acuan agama itu mudah, ringan dan sederhana untuk semua.

Aku bukan pakar dalam bab kahwin dan aku bukan ingin mengupas dengan lebih terperinci tentang hal ini dari sudut perundangan agama.
Kursus kahwin pun belum 'join' lagi. Cuma ingin kubawa anda semua berfikir dalam ruang pandangan yang umum, khasnya yang bercita-cita ingin berkahwin dalam masa terdekat, sejauh mana dasar agama itu kita bawa dalam melaksanakan cita-cita yang satu ini, kerana kupercaya secara asasnya anda pasti mengetahui serba sedikit bagaimana pelaksanaan sebuah perkahwinan menurut agama.