Wednesday, May 5, 2010

Buat seseorang yang jauh di mata, dekat dihati

Bismillahirrahmanirrahim..


( Entri ini kutujukan khas buat seorang rakan, seorang kakak dan seorang saudara yang sedang menghadapi peperiksaan akhir disebuah kolej perubatan di Pulau Pinang..)


Dalam menjalani tempoh-tempoh kehidupan yang dipinjamkan di dunia ini, kita pasti akan menghadapi pelbagai perkara. Tidak semua perkara itu kita minta. Tidak semua perkara itu kita suka.Tidak semua perkara itu kita harapkan akan berlaku. Banyak yang tidak terjangka. Jika kita mengimpikan untuk hidup sebagai Islam sejati, akan ada banyak duka dari suka. Banyak sedih dari gembira. Banyak pahit dari manis. Banyak hempedu dari madunya...Kenapa begitu? Kerana dunia ini penjara bagi seorang mukmin..dan syurga bagi orang-orang yang lalai..

Tapi banyak dari kita tidak menyedari semua itu. Kerana kita sering mengimpikan kehidupan yang gembira, bahagia dan penuh kesenangan. Di zaman ini, cuba tanya siapakah yang sanggup berjuang untuk agama seperti nabi dan para sahabat? Hingga tinggal sekadar apa yang ada perlu untuk diri sendiri dan keluarga? Cuba tanya, siapa yang sanggup meninggalkan keluarga dan orang tersayang untuk keluar melawan musuh agama dengan hati yang benar-benar redha? Tidak ramai. Hanya segelintir. Hanya segolongan kecil.

Sahabatku, kita lahir di dunia bukan sekadar untuk mengecap kejayaan dalam hidup di dunia ini sahaja. Ramai yang cemerlang di dunia, tapi tidak ramai yang cemerlang di dunia satu lagi. Dan tidak semua yang kejayaan dan kecemerlangan itu diredhaiNya. Renung sahaja kisah Firaun dan Namrud. Mereka insan terpilih yang berjaya di dunia, ramai pengikut, ramai yang tunduk pada mereka, tapi apa kesudahannya? Adakah Allah meredhai apa yang mereka miliki? Tapi ramai antara kita yang kecewa tatkala keputusan peperiksaan dunia tidak seperti yang kita harapkan, termasuk diri yang menulis ketika ini. Walhal untuk mencapai satu kejayaan itu, kita perlu menghadapi kegagalan yang pelbagai. Kisah Thomas Edison menghasilkan mentol, yang mana dia menghadapi ratusan kegagalan sebelum berjaya melakar nama dibidang sains.

Kuakui, sebagai seorang yang bergelar pelajar, keputusan peperiksaan memberikan suatu harapan untuk kita bagi menjalani hari-hari seterusnya dengan lebih bersemangat, namun sebaiknya kita teliti semula niat disebalik semua itu. Kadang-kadang kita berusaha sebaik mungkin hanya kerana ingin lulus dalam peperiksaan, atau takutkan ibu bapa, atau takut gagal dan dibuang dari kolej atau universiti, atau terpaksa mengulang semula dan ia akan membuang masa yang seterusnya..Tanpa perlu menghadapi exam sekalipun, atau merebut peluang kerja sekalipun, kita..sebagai hamba Allah, para muslim muslimat..tetap kena belajar. Kena menuntut ilmu. Kerana itu tuntutanNya. Menuntut ilmu itu salah satu cara ke syurga jika diniatkan ikhlas kerana Allah.

Allah tidak menilai keputusan dalam slip yang kita miliki. Allah tidak menilai berapa banyak A, berapa banyak subjek mendapat markah 90 ke atas, atau berapa pointer yang tercatat. Allah menilai usaha kita. Walau teruk macammana sekalipun keputusan kita, jika kita sudah berusaha segenap daya upaya, markah kita tetap tinggi di sisiNya. Walau orang sekeliling memandang kita sebagai golongan yang 'gagal', Allah tetap mencatat kita sebagai orang yang berjaya...

Percayalah, kita akan berpuas hati dengan yang kita miliki andainya kita yakin kita telah berusaha sebaik mungkin dan menyerahkan semuanya pada Allah. Ada perkara yang kita tidak suka, tapi tetap terjadi pada kita..kerana ada hikmahnya disebalik semua itu. Allah tahu itu lebih baik untuk kita, justeru dikurniakanNya pada kita meskipun hati kita tidak menyukainya.. Demikian juga apabila keputusan tidak elok, hati kita sakit, tidak puas hati tapi percayalah itu yang terbaik untuk kita..

Jadi, kesimpulannya, apapun yang terjadi selepas peperiksaan akhir, hadapi dengan tabah, hadapi dengan tenang dan redha, serta senyuman. Setiap usaha kita pasti ada ganjarannya yang tersendiri..Bersabarlah..hidup diperantauan memang sukar, tapi jika kita merenung dalam-dalam kehidupan ini, kita sebenarnya sentiasa menjadi perantau, sentiasa menjadi musafir, sentiasa menjadi pengembara, walau tidak berjalan ke mana-mana destinasi yang jauh..

Semoga sentiasa tabah dan istiqamah diperantauan..dan ketahuilah, jauh mana pun kita terpisah, doaku tidak akan putus dalam mengiringi langkahmu..insyaAllah..Bersama kita saling mengingatkan dan mendoakan..Semoga berjaya..

Assalamualaikum..



" Ya Allah, kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia ini dan juga kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami daripada azab neraka.."