Wednesday, March 24, 2010

Hati manusia dipegang Allah

Bismillahirrahmanirrahiim..


Dalam kesempatan kali ini, ingin kubawakan suatu perkongsian tentang hati yang kuharap dapat memberi sesuatu kepada sesiapa jua, iaitu soal hati..

Soal HATI..tidak akan pernah habis untuk diperkatakan. Namun, pernyataan ini seringkali disebut oleh salah seorang pensyarahku dalam setiap kuliahnya. apa pernyataan itu? Katanya, "...hati kita ni dipegang Allah.."

Sebelum itu, izinkan aku memberi sedikit gambaran tentang pensyarahku ini. Aku gemar kelasnya. Aku menanti untuk berada dalam kelasnya sejak aku mendengar tentang caranya menyampaikan kuliah dan mengulas pembentangan pelatih lain tahun lalu. Beliau seorang yang mementingkan masa, dan penyampaiannya penuh dengan input semasa yang meluas, tidak mencakupi subjek yang diajarnya sahaja. Namun, apa yang membuatkan aku sangat menggemari kelasnya ialah pengetahuannya yang cukup luas berkenaan perbandingan agama. Dia seorang 'survivor'..Menganut pelbagai agama (cabang agama Kristian) sebelum ini dan akhirnya memilih Islam sehingga kini. Mungkin ada antara kalian yang mengenalinya dan mungkin juga tidak.

Setiap minggu, boleh dikatakan aku ternanti-nantikan kelasnya, dan jika beliau tidak dapat hadir dalam kuliahnya, aku merasakan suatu kerugian yang amat besar. Penyampaian beliau yang tegas, lantang dan penuh kecindan menjadikan suasana kelas gamat dan bising. Dalam setiap penyampaiannya, pasti akan terselit pengalaman hidupnya, pengetahuan agama dan nilai serta pelbagai isu semasa lain. Beliau juga gemar menyelitkan kata-kata hikmah atau mutiara kata disetiap penghujung kuliahnya. Pada minggu ini, sebelum meninggalkan kelas, beliau berkata, " Sebelum itu, macam biasa, saya ingin memberikan kamu semua mutiara kata..dan mutiara kata untuk minggu ini adalah..'manusia tidak pernah merancang untuk gagal, tetapi manusia sebenarnya gagal merancang'..okay..assalamualaikum.."

Sekuat mana iman kita, jika digoyang walau sedikit oleh Allah, pasti goyah keyakinan kita. Apatah lagi jika iman senipis kulit bawang. Kadangkala, kita lantang mengatakan hanya Allah yang patut ditakuti, bukan ciptaanNya, tetapi andainya terjaga di tengah malam, berjalan keluar kebilik air pun tidak berani kerana hati takut dengan benda halus yang mungkin akan mengganggu kita. Betul bukan? Kita kuat mengatakan Allah yang Maha Berkuasa, tetapi jika sakit, kita yakin ubat itulah penyembuhnya, doktor itulah perawatnya..Aneh bukan. Kita yakin Allah yang menentukan jodoh, ajal, rezeki dan seluruh kehidupan kita, tapi dalam masa yang sama kedekut untuk bersedekah kerana takut miskin, bercinta berhabisan kerana takut pasangan dirampas orang dan macam-macam lagi..Sungguh aneh..

Hati kita akan diuji dengan pelbagai situasi yang kita tidak dapat jangka. Kadangkala hati cukup goyah bila teruji sehingga mempertikaikan ketentuanNya pada kita. Boleh jadi satu ketika kita menyukai suatu perkara, tapi keesokannya, 5 minit selepas itu atau sesaat selepas itu, kita akan membenci perkara itu dan begitulah sebaiknya. Dengan sekelip mata sahaja, keyakinan kita boleh rapuh..

Bila memikirkan perkara ini, aku teringat pesanan Aa Gym dalam bicarawaranya, "..kembalikan semuanya pada Allah..". Memang benar, konsep berserah diri pada Allah amat penting dalam kehidupan manusia. Kita langsung tidak dapat menjangka sesuatu perkara itu setepat-tepatnya, kerana kita tidak memiliki hati kita, demikian juga aqal kita. Semuanya dipegang oleh Allah. Jika konsep ini dipegang, apa pun yang terjadi, kita tidak akan mempertikaikannya kerana kita percaya, Allah yang menentukan kehidupan kita.

Justeru, marilah kita bersama-sama memohon kepadaNya agar sentiasa memegang hati kita untuk terus istiqamah mengingatiNya, berharap padaNya, yakin pada ketentuanNya, teguh di jalanNya dan melakukan apa jua pun semata-mata keranaNya..

Semoga bermanfaat untuk semua..

Assalamualaikum..