Wednesday, May 18, 2011

Muhasabah Seketika

Pandangan kuhamparkan jauh ke hadapan. Mataku memerhatikan gerak geri para manusia yang lalu lalang di hadapanku. “Bila sudah bertambah usia, makin susah nak belajar, kan” ujarku, dalam pandangan yang tidak tertoleh.

“Hm..tapi sebenarnya bukan sebab kita main tua, tapi sebab macam-macam yang sudah kita tengok..” sambut rakanku. Aku tersenyum. Itulah maksud sebenarku. “Itulah yang tersiratnya..”balasku semula, masih dalam senyuman.

Rakan ini tertawa kecil. “Kita ni,makin hari… tengok itu ini, dengar macam-macam..lama-lama susah mo terima ilmu..”sambungnya. “Banyak dosa..”kataku, perlahan.

‘Hati sudah gelap, macam mana ilmu nak masuk..’bisik hatiku pula. Aku mengeluh dalam diam. Makin hari, terasa makin banyak dosa yang dilakukan. Yang segaja sudah tak terkira, apatah lagi yang tidak sengaja. Sedih, sayu dan kerdil rasanya kerana tidak menjalankan amanahNya sebaik mungkin. Dilahirkan sebagai manusia, yang diangkat menjadi khalifah bumiNya, namun lebih banyak melakukan kemungkaran dibumiNya. Tidak semua begitu, tapi kebanyakannya seperti itu.

Banyak perkara berlaku kebelakangan ini. Semuanya menguji diri. Membuatkanku merenung kembali, sampai ke mana sudah perjalananku selama ini. Sejauh mana sudahku berjalan dan berlari dalam pelayaran hidup di dunia ini. Apa yang sudah kulakukan sepanjang tempoh kehidupan ini.

“Walau apapun yang kita buat, jangan sampai menjadi fitnah buat diri, dan terutamanya buat agama. Kita orang agama, bawa agama. Orang tengok kita sehari-hari..” pesan itu terngiang-ngiang di kotak ingatanku. Orang agama? ‘Layakkah kau digelar orang agama?’ sinis soalan itu bertandang di sanubari, berkali-kali. Namun padaku, orang agama atau tidak, selagi beragama, memang akan membawa agama ke mana sahaja.

Mungkin aku bukan orang agama yang menepati kriteria yang ditetapkan untuk menjadi orang agama yang sebenarnya, tapi aku akui, sebagai seorang yang berpegang kepada kalimah Lailahilallah muhammadarrasulullah, agama Allah akan sentiasa kubawa walau ke mana juga aku berada dibumiNya ini. Tanpa status ‘orang agama’ itu sekalipun, aku juga sama mendapat amanah itu, membawa dan menegakkan agamaNya selagi masih bernafas.

Bila segalanya dipermudahkanNya, aku berasa malu padaNya. Malu untuk meminta-minta, kerana Dia sering memberikan apa yang kuperlu, tanpa sempat kutadahkan tangan memohon padaNya. Sungguh, Dia Maha Mengetahui segala isi hati hambaNya. Malu dan kerdil juga terasa bila diri sering melakukan tegahanNya, namun Dia masih mengurniakan kasih dan sayangNya. Nikmat yang dikurniakanNya tidak pernah berhenti , tapi diri masih kerap lalai, leka dan alpa. Berat rasanya mengenangkan semua itu.

“Banyakkan istighfar,jangan lupa doa..” pesan rakanku lagi. Aku tersentuh. Meskipun rakan ini, kalau dilihat dari luaran, mungkin orang berfikir beberapa kali sebelum menerima nasihatnya. Jangan menilai orang sebelah mata. Paling penting, jangan suka menilai orang dari luaran. Siapalah kita untuk menilai sesama manusia. Apakah diri sendiri bersih dari dosa, hingga boleh menilai orang itu layak atau tidak bercakap soal nasihat? Apakah diri sendiri sahaja yang betul dan tahu soal dosa pahala, syurga dan neraka?

Semakin hari, semakin berat rasanya perjalanan ini. Kehidupan adalah ujian. Ujian adalah kehidupan. Hanya padaNya tempat kubergantung untuk segalanya. Tanpa izinNya, tidak mungkin aku sampai ke sini hari ini.

Lafaz istighfar kuucap dalam hati. Perasaan sebak bertandang di sanubari.

‘Ampunkan hambaMu ini ya Allah, kerana tidak melaksanakan amanahMu sebaik mungkin. Janganlah Engkau biarkan setiap apa yang kulakukan menjadi fitnah buat diriku, dan agamaMu. Peliharalah agamaMu ya Allah. Pimpinlah hambaMu ini dengan petunjukMu, permudahkan segala urusanku, dan tetapkanlah diriku dalam ketaatan padaMu.

Ya Allah, hidupkan dan matikan kami dalam iman dan Islam. Hidupkan dan matikan jua kami dalam ketaatan padaMu…’

Minggu peperiksaan akhir semester sudah tiba. Peperiksaan bakal bermula Khamis ini. Isu peperiksaan, isu yang lebih besar dari tsunami, buat sesiapa yang bergelar pelajar, kata salah seorang pensyarah. Ya..memang isu yang sangat besar. Buat semua di luar sana, selamat menduduki peperiksaan. Semoga berjaya melalui peperiksaan dengan sebaiknya.