Tuesday, September 9, 2014

Cerita Pulau Banggi (3)



Kecomelan mereka.

Kisah 1.

Sesi perbualan pagi bersama murid-murid. Kali ini, aku mahu ‘test’ pengetahuan dan pemahaman semasa murid-murid cilikku.

“Siapa yang selalu tengok berita dalam tv di rumah?”

Hampir semua angkat tangan. Penuh semangat. Tangan lurus 90 darjah ke atas. Beberapa kerat ja yang terkebil-kebil, angkat tangan tidak, bersuara pun tidak. Wajah penuh kekeliruan dalam kecomelan. Haha..(mong mong bilang orang korea)

“Waaahh..bagus-bagus. Rajin tengok berita..”pujiku sambil bertepuk tangan. Murid tersipu-pilu malu. Berpandangan sesama sendiri sambil tersenyum-senyum.  Tak ku nafi..murid-muridku ini memang rajin tengok berita. Isu kehilangan pesawat MH370 dan tragedi MH17 menjadi topic hangat sesama mereka. Adakalanya, berbual seperti beliau-beliau.

“Dalam berita tu..sapa pernah nampak berita pasal Palestin sama Israel?”

Lagi laju tangan di angkat. Aku semakin teruja sendiri. Soalan dinaikkan ke tahap seterusnya. 

“Siapa tau…..mana satu yang jahat? Mana yang kita mesti sokong? Israel ka Palestin?”

“Israel jahat..” jawab muridku. Hanya beberapa orang yang menjawab demikian. Mungkin mereka sedikit keliru dengan soalanku.

“Siapa yang bagus?” soalku sekali lagi. “Palestin cikgu…” kali ini lebih jelas, mereka menjawab beramai-ramai. Paling ketara ialah Fakrul dan Saudi kerana mereka betul-betul di hadapanku. Aku tepuk tangan lagi. Terharu dengan jawapan murid sendiri.

Kisah 2. 

Murid-murid baru lepas makan. Selesai membaca doa lepas makan, ku arahkan mereka duduk beratur di lantai di ruang belajar. Laptop dihidupkan dan kuletak di sebuah kerusi berhadapan dengan murid. Mereka mula bersorak. Gembira kerana tahu bakal tengok kartun. Tapi aku sudah ingat-ingat lupa kartun apa yang kupasang ketika itu. (hehe..) Sama ada Upin Ipin (kegemaran utama mereka) atau kartun animasi Indonesia (6Rukun Iman). Sedang asyik menonton, seorang murid (Fakrul) tiba-tiba berpaling padaku. 

“Cikgu..semalam kan..aku tengo bwita, ada cwita pasal iswael..aku tengo kan..dia..bla..bla…aku tembak..bla..bla…”ceritanya panjang, tapi aku tidak faham butir bicaranya. Terasa geli hati bila teringat, tapi dalam kesannya bila difikir semula berkali-kali. Fakrul masih pelat bicaranya tapi sangat ‘talkative’. Antara semua murid lelaki, dia yang paling kental hati dan tidak pernah menangis (sehingga entri ini ditulis), kecuali pada satu hari, ketika perutnya sakit dan dia tertidur selepas makan. Ibunya berpesan padaku, “Fakrul ini lain sikit cikgu..nda macam abang-abangnya. Susa sikit mau kawal..tapi kalau dia nakal, kau pukul saja dia cigu..” Alhamdulillah, setakat ini..Fakrul dapat dikawal dan memang dia nakal, tapi nakalnya menghiburkan.
Berbalik kepada cerita tadi. Aku tertawa kecil mendengar ulahnya. Tidak faham tapi terhibur hati mendengar ceritanya tentang berita ‘Iswael’.

Kisah 3.

Sesi belajar membaca dan menghafaz surah pendek dari juzu’Amma. 

Alhamdulillah, surah al-Fatihah telah dikuasai oleh hampir semua murid. Begitu juga surah al-Asr kerana ia dijadikan bacaan harian. Surah al-Ikhlas juga dihafal dengan baik. Alhamdulillah…Alhamdulillah. Kini surah al-Falaq dan surah an-Nas dalam proses penghafalan yang serupa.

Apa yang menarik, acapkali selesai membaca surah an-nas secara beramai-ramai, pasti ada yang bertanya, “ Kenapa ada kita sebut ‘jin’ cigu?” andainya surah itu di baca 5 kali..lima kalilah mereka akan bertanya soalan yang sama. Dan aku kena menerangkannya semula, berkali-kali. Dan mereka akan bertanya semula selepas itu.

“Sebab…kita minta Allah lindung kita dari kena kacau ‘jin’..jin ni ada yang suka kacau orang..apalagi budak-budak macam kamu..bila kita baca surah ni, Allah jaga kita dari jin yang suka kacau orang..”
“ooooooo…” sahut mereka ramai-ramai. “Cigu..semalam kan..aku mimpi..ada hantu pocong!” sampuk seorang.
“Cigu..semalam kan..ada hantu di rumah kami..”

“ Cigu…” “Cigu..”  “Cigu…”

Naaa..kalau sudah sorang mula cerita pasal hantu, yang lain pun nda mau ketinggalan. Macam-macam versi cerita hantu dari setiap pencerita. Last2..

Okey..habis cerita pasal hantu. Kita ulang balik baca surah tiga Qul..” putusku. Muktamad.

Kisah 4.

Semasa di ambang bulan ramadhan yang lepas, aku berusaha menjadikan ramadhan sebagai tema mingguan yang tidak rasmi. Sengaja mau menimbulkan suasana puasa lebih awal supaya murid-murid bersemangat untuk menyambut bulan puasa.

Cerita tentang syaitan dibelenggu, pahala berganda dan sebagainya menjadi bual bicara yang diulang-ulang. Ketika dalam ‘mood’ menyiapkan kerja yang kuberikan pada mereka, salah seorang murid tiba-tiba bertanya. 

Cigu..cigu bagitau dulu kan..dalam bulan posa ba..syaitan kena ikat kan?”

“Iya Azril..syaitan kena ikat. “ aku mengiyakan. Dahinya berkerut seketika. Seakan memikirkan sesuatu. 

“Jin? Jin kena ikat juga ka cigu?” soalnya semula. Aku terpaku. Tidak sangka dia akan terfikir soalan itu.

“Kenapa tanya begitu?” tanyaku semula. Sambil menulis sesuatu, dia menjawab,”Ndala..cigu cakap dulu syaitan kena ikat, jadi jin macamanala..”sejenak dia berkalih padaku.

Dia masih ingat akan cerita kami sebelum itu. Aku pernah memberitahu, syaitan dan jin tidak sama, walaupun keduanya dicipta dari api. Jin ada yang baik, ada yang jahat. Ada yang kacau orang..ada yang tidak kacau orang. Tapi syaitan dan iblis selalu kacau orang.

“Em…nanti cigu tanya cigu punya cigu ah..” jawabku akhirnya. Aku tidak tahu macamana untuk bagi jawapan mudah yang senang difahami olehnya. Azril mengangguk lalu meneruskan kerjanya. 

Pendek kata, idea budak-budak ni serba serbi. Ready saja kekreatifan untuk menjawab setiap persoalan mereka. Honestly..aku masih dalam proses meningkatkan kekreatifan diri. hehe..

Kecomelan mereka bakal bersambung.

Assalamualaikum.
10 0gos 2014 - 9 September 2014