Thursday, May 27, 2010

Pelayaran (Part III)

Pagi yang ceria. Tidak suram. Tidak terang. Sangat mendamaikan. Hujung minggu kembali menjengah dengan membawa ketenangan yang sekian lama ingin dirasai. Teman sebilikku masih lena dibuai mimpi. Usai solat subuh, dia kembali meneruskan pengembaraannya ke alam buana yang masih bersisa akibat terlebih ‘bertarung’ dengan ‘muvie’ Koreanya malam semalam.

Triit..triitt’ Telefon bimbitku berbunyi menandakan ada mesej baru masuk ke dalam rangkaian nomborku.

‘ Salam..hve a gud day..:) Any plan today?’ Mesej dari Amira. Aku tersenyum. Ada sahaja rancangannya tiap minggu.

‘ Tak ada. Tengah tunggu sesiapa yang nak mengajak.’

Aku saja berbasa basi dengannya. Aku tahu dia ingin mengajakku ke suatu destinasi. Sambil menanti balasan mesej dari Amira, aku menekan punat komputerku untuk menghidupkannya. Teringin untuk menghabiskan sisa-sisa cerita yang belum sempat kusiapkan sejak dua minggu lalu. Kehidupan di kampus sangat padat dengan aktiviti, jika kita ingin menyertai mana-mana aktiviti yang bersesuaian dengan minat. Aku sedaya upaya memenuhkan jadualku dengan menyertai aktiviti yang bermanfaat. Program kemasyarakatan antara pilihanku. Dalam keseronokan rakan lain balik ke kampung, aku menyertai kumpulan lain masuk ke perkampungan orang asli atau nun jauh di pedalaman. Berjalan kaki di laluan lori balak, menaiki bot menyusuri sungai dan hutan.

‘Triit..Triitt..’ Aku lantas mencapai telefon bimbit. “ Hee..Siapalah insan yang ditunggu tu? Hm..kalo kak tak da plan, Mira nak ajak p tengok tilawah saudara baru..’

Hatiku berbunga. Majlis tilawah saudara baru. Pasti banyak yang boleh dipelajari. Malu rasanya dengan mereka. Aku sendiri tidak tahu bertaranum dengan baik, bayangkan sahaja mereka yang bergelar muallaf. Menyertai pertandingan pula.

“ Ok..insyaAllah..jam berapa?’ Sementara menanti jawapan balas, aku membuka pula peti masuk emelku. Hampir dua minggu juga aku tidak membuka emelku. Biasanya para pensyarah dan teman yang berada di luar negara lebih gemar menghubungiku melalui emel. Nampaknya semua sibuk dengan ‘assignment’ masing-masing.

Getaran telefon sekali lagi mengejutkanku. ‘ Dalam masa setengah jam lagi Mira sampai. Get ready ..’‘ K, insyaAllah..’. Setengah jam? Aku mengerling jam di meja seketika. Jam 8. 15 pagi.

Setelah menghantar jawapan balas, aku lantas bangkit dan mencapai tuala di dalam almari. Langkah kuatur ke bilik air.