Thursday, February 24, 2011

Adakah saya jahat?

Bismillahirrahmanirrahiim..

Suasana hening seketika. Kereta terus menderam laju membelah arus angin di tengah jalan raya.

“Ani, saya jahatkah?” pertanyaan itu memecahkan kesepian yang bertandang antara kami. Aku memandangnya sekilas. Nada suaranya seperti kelam dan tenggelam dalam emosi. Diam seketika. Mencari jawapan. “Tiada manusia yang dilahirkan jahat..” jawabku, cuba memberi gambaran kasar tentang jawapanku.

“Yalah..tapi saya rasa apa yang saya buat, ramai yang tidak suka..” Aku tersenyum. Terasa agak geli hati dengan pernyataannya. “ Tidak semua yang kita buat semua orang akan suka. Kita tidak dapat puaskan hati setiap orang..”jawabku, masih dalam senyuman. Suasana kembali hening. Masing-masing melayan fikiran sendiri.

“Saya pula?”. Rakan ini mengalihkan pandangannya ke arahku. “Saya jahatkah?” tanyaku. Mataku masih mengarah ke hadapan, melihat deretan kenderaan yang berjela di hadapan kami.

Tidak. Kau tidak jahat. Tapi kau jadi jahat bila sama saya. Saya kan nakal.” Sungguh lurus dan jujur jawapannya. Sejurus itu, kami tertawa bersama. Kenangan itu masih utuh di ingatanku. Pertanyaannya petang itu seringkali berputar di dalam kotak ingatanku. Pernyataan jujur itu juga membuatkanku berfikir, apakah dengan tidak bersamanya, berkawan dengannya, aku akan menjadi baik pada pandangan rakan ini? Dan apa sebenarnya takrifan ‘baik’ pada pandangan beliau?

“Saya jahatkah?”

Tidak ada manusia yang dilahirkan sebagai orang jahat. Setiap insan dilahirkan dalam keadaan fitrah. Suci dan bersih. Jahat atau baik adalah pilihan peribadi yang dicorakkan melalui didikan yang diterima sepanjang proses tumbesaran.

Kita akan cenderung menjadi kepada apa yang kita rasakan dan apakah pilihan kita. Jika merasa diri jahat, kecenderungan untuk menjadi jahat adalah sangat tinggi. Justeru, positifkan diri kita. Positifkan diri untuk melihat sesuatu berpandukan mata hati, bukan melalui pandangan mata kasar semata dan tidak didasari logik dan rasionalnya. Bercakap memang mudah, namun untuk mempraktikkannya, adalah jauh lebih sukar. Oleh itu, kita sangat memerlukan kekuatan dalaman untuk tetap istiqamah dan terus bertahan, bersabar dan berserah dengan segala ujianNya agar mata hati kita menjadi tajam dan dapat membantu kita untuk menelusuri segala hikmah di sebalik ujianNya.

Setiap hari, kita akan menghadapi dan mempelajari banyak benda dan perkara baru. Dan, jika kita berlapang dada menerimanya, pasti ada sesuatu yang indah menanti kita. Sedih, perit, sakit, jerih dan payah, adalah sebahagian daripada asam garam kehidupan. Itulah nikmat kehidupan. Tidak terasa nikmat hidup jika kita hanya mengetahui dan merasai segala yang menggembirakan tanpa yang menyedihkan.

Kebelakangan ini, perasaan sayu dan tidak sedap hati sering menguasai diri tanpa kuketahui apa puncanya. “Kerana Allah cipta dalam hati kita pelbagai emosi. Mungkin ada perkara yang buat kak sedih” Ujar salah seorang saudaraku.

Mungkin perasaan ini juga merupakan teguran dariNya. Kesibukan dengan hal duniawi seringkali melalaikan hati para insan untuk mengingatiNya.

Diri perlu bermuhasabah, bermuhasabah setiap saat dan menanamkan sifat muraqabah dalam hati dan diri, agar diri sentiasa berada dalam landasanNya.

Semoga Allah menetapkan hati-hati kita di jalanNya di sepanjang tempoh pelayaran di lautan dunia penuh gelora ini.

Wassalam.


P/s : Walau diri tidak sebaik mana, namun perlu sentiasa berusaha untuk menjadi lebih baik dari semasa ke semasa.