Monday, August 30, 2010

Perkara yang sama..

Bismillahirrahmanirrahiim..

Bila tiba bulan ramadan, biasanya masjid akan lebih meriah khasnya pada sebelah malam kerana orang berpusu-pusu untuk menunaikan solat sunat terawih. Demikian juga dengan Masjid Jamek IPG Kampus Keningau yang pasti akan meriah dengan kehadiran penduduk kampung berdekatan untuk sama-sama berterawih. Tapi, masalah dan cabaran yang sama setiap tahun akan timbul berikutan ramai kanak-kanak yang hiperaktif mendominasi suasana. Mungkin agak lewat untukku membawa isu ini kerana kita sudah di ambang akhir ramadan, tapi rasanya ia masih relevan kerana ramadan itu akan datang setiap tahun..dan insyaAllah tahun depan, kita akan melaluinya lagi..

Antaranya :
1. Kemungkinan ruang tengah masjid menjadi agak tidak terurus dan kotor kerana kanak-kanak akan berebut mendapatkan makanan semasa moreh dan ia memerlukan kawalan yang sangat ketat oleh para pelatih yang bakal dan mempunyai bakat menjadi 'guru disiplin'.

2. Para pelatih kehabisan moreh. Adalah perasaan tidak puas hati yang timbul tu..Tapi apapun saudara-saudariku..kita ke masjid bukan untuk menjamu perut semata, jadi tak palah tak sempat menjamu moreh biarpun hati teringin sangat (kata orang kampung, tidak ampit..hehe) kena banyak bersabar..

3. Ramai penduduk luar yang datang hanya untuk solat terawih, tapi isyak tak pula.Yang ni di mana-mana masjid pun pasti terjadi. Yang wajib ditinggal, yang sunat dikejar. Dah terbalik pula. Kalau begitu, lebih baik orang yang tak terawih tapi tak tinggal solat isyak. Biarpun dah diingatkan berkali-kali dalam tazkirah, solat isyak itu lebih utama dan wajib,tapi macam takda
kesan.

4. Saf tidak teratur. Percampuran saf antara kanak-kanak dan orang dewasa. Kadang-kdang kanak-kanak akan hilang tiba-tiba untuk bermain dengan rakan-rakannya dan wujudlah ruang kosong antara saf. Dan pastinya perkara ini tidak sedap dipandang kerana nampak saf tidak seimbang, tidak cantik dan ada yang berkata putus saf.
Semasa membaca sebuah buku (Solusi Isu Perdana), ada persoalan berkenaan putus saf yang diutarakan, dan kukira wajar untuk dikongsi agar kita lebih jelas akan hal ini

Soalan : Sering kita dengar tegahan membariskan kanak-kanak dalam satu saf dengan orang dewasa, kata mereka nanti putus saf. Saya tidak fahamapa yang dimaksudkan dengan putus saf itu, adakah batal solat atau tak dapat pahala jemaah?

Jawapan : Masalah putus saf kena lihat kanak-kank itu sama ada mumaiyiz atau belum. Jika belum mumaiyiz maka putus saf tetapi jika sudah mumaiyiz maka tidak putus. Cuma timbul masalah jika kanak-kanak itu sudah berkhatan atau belum. Jika kanak-kanak itu sudah berkhatan maka dikira bersih, maka tidak putus saf. Tetapi jika belum berkhatan dan belum mumaiyiz maka putus saf. Putus saf disini bukanlah bermakna tidak dapat pahala atau tidak dapat fadilat berjemaah, itu semua dpat. Cuma dia tidak dapat fadilat saf sahaja. Dalam solat berjemaah dua yang berbeza antara fadilat berjemaah dengan fadilat saf. Jadi bila dikatakan putus saf maka dia tidak dapat fadilat saf, fadilat berjemaah tetap dapat.

(Jawapan diberi oleh Ustaz Fadzli al-Yamani-Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani)

Persoalan ini juga pernah kuutarakan sebelum ini pada seorang hamba Allah, dan jawapan yang sama ku perolehi.

Mungkin ada pendapat lain yang anda diluar sana boleh kongsikan dan itulah yang sebaiknya, iaitu berkongsi sama ilmu yang ada agar kita boleh sama-sama meluaskan pengetahuan khasnya dalam bab agama yang kini terdapat banyak perselisihan antara satu pendapat dengan pendapat yang lain.

InsyaAllah, pada masa akan datang, kita berkongsi ilmu baru pula..

Assalamualaikum.

10 Akhir ramadan

Bismillahirrahmanirrahimm.

Alhamdulillah..masih dipanjangkan umur untuk melalui hari ke 20 pada bulan mulia ini. Berlalu sudah 19 hari, tidak terasa masa begitu cepat berlalu. Jika difikir-fikirkan, entah adakah lagi peluang yang sama untuk ramadan akan datang.

Sabtu dan Ahad lepas, aku berpeluang mengikuti kemK2R (Kami Raikan Ramadan) di SK Pekan Tambunan. Ya...Tambunan mari...3 minggu berturut-turut (pada hujung minggu) berkampung di Tambunan untuk program bersama kanak-kanak di sana. Antara slot yang terkandung dalam program ini ialah Bijak Solat, Kami peduli, Games dan Kuiz, tadarus, qiam, bacaan yasin bersama ibu bapa, solat hajat, terawih dan sahur serta berbuka bersama. Nampak ringkas dan santai tapi besar pengertiannya.

Setiap prgram ada kelebihan dan kekurangannya. Apa yang penting, kita melihat semua itu dari sudut yang positif agar ia memberi manfaat dan nilai tambah buat kita. Dalam program ini, aku bertemu lagi dengan adik-adik 'KBS' ku iaitu Sazali, Aidih dan Ismat. Sebaik turun dari bas, Sazali menjadi yang pertama menyambutku. Terasa dihargai pula...Sewaktu bertemu dengan Aidih pula, dia berkata, "Saya fikir kakak tidak ingat saya lagi.." Hehe..InsyaAllah, kalian semua akan kak ingati selagi Allah masih mengizinkan. Meskipun kali ini, aku tidak sekumpulan dengan mereka, namun ia tidak mengubah perasaanku pada mereka. Jiwang pula...

Dalam program K2R, aku menjadi fasilitator kepada sekumpulan puteri yang comel, lincah, dan aktif (tidak jauh beza dengan kumpulan Sazali). Semuanya baik-baik belaka, petah, dan gemar mengikutiku kemana juga. Nampaknya, kali ini juga aku sangat beruntung kerana mendapat kumpulan kanak-kanak yang baik-baik dan tidak banyak songeh. Namun, apapun, aku paling terkesan dengan adik Wafa, yang sangat sopan dan lembut dan halus bicaranya.
"Kak, saya minta halal semua ilmu yang kakak bagi kami..saya sayang kakak.." ucapnya semasa slot terakhir 'amanat akhir ramadan' sambil memelukku erat. Bila seorang kanak-kanak yang suci bersih fitrahnya dari sebarang dosa berkata-kata, kata-kata itu adalah bicara hati mereka yang tulus lahir dari dalam hati. Bila mendengar kata-katanya, hatiku sebak. Bukan kerana apa, cuma merasa diri sangat bertuah. Walau sejujurnya , aku merasa tidak memberi apa-apa tapi terlalu banyak yang aku perolehi...

Terima kasih pada semua yang memberikanku peluang menyertai program ini dan program-program selainnya. Terima kasih juga kepada rakan-rakan pelatih yang sudi menyumbangkan masa menyertai program ini meskipun terikat dengan kesibukan masing-masing. Ingatlah segala pesanan yang telah diberikan oleh mereka yang berpengalaman selama berprogram dan ambillah iktibar dari apa yang telah diperolehi..

Hari ini, PBS fasa 4 bermula. Aku tidak tahu samaada kami yang berPBS di SK Biah beruntung atau sebaliknya kerana tidak ke sekolah hari ini (sekolah cuti sehingga esok). Namun apa yang pasti, pastinya tugasan PBS semakin sukar dilaksanakan dalam tempoh pemerhatian selama 3 hari bermula Rabu ini. Ini adalah sesi PBS yang terakhir sebelum mula berpraktikum semester hdapan. Bahang cabaran semakin terasa. Berbaur perasaan di hati bila terbayang saat praktikum. Semoga semuanya dipermudahkan..insyaAllah..

Hujung minggu ini, cuti raya akan bermula. Cuma tinggal beberapa hari sahaja untuk merasa saat berpuasa bersama bersama keluarga. Sepanjang tempoh ramadan ini, baru sekali aku berbuka dan bersahur bersama keluarga meskipun jarak antara rumah dan ip tidaklah sejauh mana. Apa yang pasti, aku tidak boleh lewat-lewat balik seperti selalu, kerana adikku berpesan dalam smsnya, " Jangan pulang lewat, ingat belikan baju raya warna hijau..." peringatan berbaur permintaan dan arahan kepada si kakak yang jarang balik ke rumah. Ya..insyaAllah..akan cuba balik seawal mungkin setelah semuanya selesai di sini...

Selamat berPBS kepada rakan-rakan pelatih ambilan Januari 2009 dan 2010..

Selamat meniti 10 akhir ramadan kepada saudara saudari semuslim...

Salam aidilfitri buat semua...mohon maaf atas keterlanjuran kata, kekasaran bahasa, dan halalkan segalanya di dunia dan akhirat kelak..

Assalamualaikum...

Monday, August 23, 2010

13 Ramadan

Bismillahirrahmanirrahim..

Cetusan peringatan untuk kita yang mudah alpa dan leka (khasnya diriku)...

"Dalam menjalani ibadah puasa ini, suatu formula tercipta tentang betapa nilai berpuasa ini dan ibadah di bulan ini sangat tinggi untuk kita 'cari dan gali'...

Sabar + Syukur + Ikhlas +Jujur + Istiqomah + Besederhana = Intipati Ramadhan

Sememangnya terlalu banyak hikmah Ramadhan andai kita benar-benar melakukan beserta dengan amalan-amalan sunat lain. Kita semua tahu tentang kelebihan amalan di bulan mulia ini. Justeru, mengapa tinggal-tinggalkan? Betapa ruginya andai puasa itu hanya menjadi kunci lapar dan dahaga semata.

Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa berpuasa Ramadhan dengan sepenuh iman dan kesungguhan, maka akan diampuni dosa-dosa yang pernah dilakukan.” (HR. Bukhari, Muslim, dan Abu Dawud)

Selama kita berpuasa, jangan lupa berdoa sebanyak-banyaknya. Doa orang berpuasa adalah doa yang mustajab. Rasulullah SAW bersabda, “Ada tiga kelompok manusia yang doanya tidak ditolak oleh Allah. Yang pertama ialah doa orang-orang yang berpuasa sehingga mereka berbuka.” (HR. Ahmad dan Tirmidzi)

Nah...ini baru sedikit ganjarannya. Betapa Allah sayangkan kita dengan memberikan pelbagai ganjaran di bulan ini. Disamping itu, pintu ampunan Allah terbuka seluas-luasnya di bulan keberkatan ini. Justeru itu, hidupkanlah malam.. Perbanyakkanlah taubat..kembalilah pada fitrah kita sebagai hamba yang berTuhan. Ambillah masa sebanyak-banyaknya bersama kekasih terAgung kita di bulan Ruhiyah penuh barokah ini..."
(http://hanzsensei.blogspot.com/)

"Ya Allah tolong sampaikan hajatku untuk berpanjangan, nafasku hingga pengakhiran.." (Rindu Ramadhan-AbdHalim Devotees)

Pernah terbit perasaan di hati yang merasakan ramadan hanya bulan yang biasa seperti bulan-bulan lain?

Pernah merasa kelebihan ramadan berbanding bulan-bulan yang lain?

Pernah merasa sangat letih dan penat di bulan puasa namun tidak ada penambahbaikan dalam diri?

Pernah merasa sayu melepaskan pemergian ramadan?

Saban hari, titik-titik noda dan dosa semakin mengelabui hati, menjadikan hati yang jernih menjadi keruh dan akhirnya gelap hingga kedasarnya. Sedar atau tidak, kita sentiasa berpotensi untuk ke arah itu. Hati sentiasa berbolak balik dalam setiap keadaan kerana gelojak nafsu sentiasa menekan iman yang senipis kulit bawang, ringan seperti debuan pasir meski di bulan para syaitan durjana dibelenggu.

Susah...susah sekali untuk istiqamah andai hati tidak cekal..Moga Allah menguatkan hati-hati kita dan mempermudahkan semuanya untuk kita..

" Wahai Tuhan yang membolak balikkan hati. Tetapkan hati-hati kami pada agamaMU dan ketaatan padaMU..."

di kesempatan ini, ku ingin memohon kemaafan andai pena dan tutur kata ada berbicara sumbang kepada sesiapa jua..kerana diri ini juga insan biasa..tidak memiliki kesempurnaan dalam diri...punya khilaf dan punya salah..sesungguhnya yang terbaik dan yang sempurna itu adalah hak milik kekal Allah Yang Maha Esa.

Friday, August 20, 2010

Pen dan pena

Bismillahirahmanirrahim.

Alhamdulillah, hari ini kita sudah menjangkau ke hari yang ke 10 dalam bulan penuh kemuliaan ini. Berakhirnya puasa hari ini, kita akan beralih kepada peringkat kedua dalam bulan ini yakni, fasa keampunan. Sama-sama kita manfaat segala kelebihan dalam bulan ini untuk terus memperbaiki diri dan membersihkan hati.

Aku tergerak untuk meneruskan perkongsian berikutan pertanyaan dan permintaan yang diaju tentang penghasilan blog dan kandungannya. Bila ditanya, bagaimana menghasilkan blog yang menarik, menghasilkan penulisan yang baik, aku sebenarnya tidak tahu apa jawapan yang sesuai kerana aku bukanlah seorang blogger yang pakar mahupun penulis professional. Aku tidak tahu pada sudut pandang yang mana rakan-rakan dapat menilai penulisanku berada pada tahap yang baik.

Untuk menjawab persoalan itu, aku tidak mempunyai sokongan dari pendapat mana-mana sarjana seperti menjawab soalan ‘assignment’. Justeru, aku ingin memohon maaf untuk itu. Jika ada yang ingin mempelajari cara atau tips menghasilkan karangan yang baik, mungkin boleh meminta pandangan daripada pakar bahasa yang dapat membantu anda dari segi tatabahasa, laras bahasa, semantik, linguistik dan sebagainya. Apa yang pasti, aku tidak dapat membantu dari segi itu, kerana ia bukan bidangku. Minta maaf sekali lagi.

Namun, ingin kukongsikan sesuatu yang mungkin dapat membantu mencetuskan idea atau ilham kepada anda tentang bagaimana sebenarnya sesuatu ilham itu dapat diterjemahkan dalam bentuk lambang-lambang bahasa.

Mungkin ada yang sudah maklum, aku minat menulis. Tabiat ini muncul sejak di bangku sekolah rendah. Dan aku juga gemar membaca. Juga sejak di bangkusekolah rendah. Dahulu, aku sering dimarah abang dan kakakku kerana mencuri baca buku teks mereka dan acapkali mereka berkata, “Satu hari nanti kau dapat buku yang sama juga”. Namun aku tetap degil dan terus mencuri baca buku mereka. Semasa si tahun enam, guru bahasa Melayuku, Cikgu Roslan, akan mempamerkan setiap karangan yang kami hasilkan. Kesempatan itu aku ambil dengan menulis banyak cerita-cerita pendek dan aku merasa senang melihat ia dipamerkan dan di baca oleh rakan-rakan lain. Ia seakan memberi suatu kepuasan padaku dan rakan lain yang turut sama menulis sepertiku. pada mulanya, ia sekadar untuk latihan bagi menghadapi UPSR, namun lama kelamaan, ia menjadi habit dan hobi.

Sehingga kini, aku sangat teruja dengan buku. Sejujurnya, aku lebih teruja pada buku berbanding pakaian ataupun makanan. Dan aku merasa sangat ‘bahagia’ tatkala memasuki kedai buku (hehe..). Kadang kala, melihat tajuk sebuah buku yang belum kubaca sekalipun, akan tercetus pelbagai idea untuk menulis. Jadi, tips yang pertama adalah kita suka dengan apa yang kita buat. Jika kita tidak gemar menulis, perasaan itu akan lahir melalui tulisan anda. Aku masih ingat kata-kata seorang pensyarah bahasa berkenaan siapakah anda melalui tulisan anda. Beliau berkata, melalui buku atau penulisan mereka, kita sudah dapat mengecam siapakah mereka, bagaimana sikap mereka, fikiran mereka dan di mana tahap pemikiran mereka. Dulu, aku tidak memahami mengapa beliau berkata demikian, dan kini, barulah aku dapat menangkap serba sedikit apa yang beliau maksudkan. Pendek kata, jika kita menulis dengan hati yang lapang, ditambah dengan minat yang mendalam, pasti kita dapat menghasilkan sesuatu yang datangnya dari ‘hati’ untuk disampaikan ke dalam ‘hati’ orang lain. InsyaAllah.

Seterusnya, kita tahu apa tujuan kita menulis. Ramai yang menulis sekadar untuk suka-suka atau melepaskan perasaan di hati yang terbuku dan tidak dapat diluahkan. Ramai juga yang ingin membawa pembaca berfikir dan merasai apa yang dirasainya. Dan ada juga yang menulis untuk berkongsi pengalaman dan ilmu. Pokoknya, kita jelas akan tujuan kita menulis. Sebaiknya, kita tetapkan niat untuk menulis bagi memberi suatu nilai tambah dan pengajaran dalam hati setiap pembaca, agar apa yang kita kongsikan dapat mencetuskan sesuatu dalam hati mereka. Sesuatu yang boleh menjadi pemangkin untuk perubahan yang baik.

Aku menulis mengikut pengalaman dan pemerhatian. Kehidupan yang serba mencabar sejak dulu hingga kini, banyak mendewasakan pemikiranku biarpun aku belumlah dapat mencapai tahap dewasa yang sebenarnya. Jika pemikiran kita masih kebudak-budakan, maka hasil tulisan kita akan nampak kebudak-budakkan. Bagaimana untuk menjadikannya nampak matang? Kita kena belajar membuka hati dan minda untuk mempelajari apa jua yang kita lihat, dengar dan buat. Kita tidak sedar, adakalanya melihat orang tua melintas jalan sudah cukup memberi pengajaran yang besar buat kita. Melihat sampah yang bertaburan, melihat orang bergelak ketawa, mendengar rakan-rakan berbual, mendengar kuliah yang disampaikan, malah menonton wayang dan bersukan juga ada pengajarannya tersendiri. Kesimpulannya, setiap perkara ada hikmah dan pengajaran di sebaliknya jika kita memang ingin mempelajarinya. Meskipun ia nampak remeh di mata kasar kita.

InsyaAllah..bakal bersambung.

Assalamualaikum.

Friday, August 13, 2010

Salam Ramadhan

Bismillahirrahmanirrahim

Hari ini hari ketiga seluruh umat Islam menjalankan ibadah puasa. Syukur Alhamdulillah, masih dipanjangkan usia olehNya untuk sama-sama meraih segala kelebihan yang telah dijanjikanNya dalam bulan yang penuh kemuliaan ini. Kesibukan semakin memagari diri, namun aku tidak sampai hati membiarkan ruangan mayaku ini tanpa perkongsian terbaru. Tanganku gatal untuk menaip. Akhirnya..terhasillah entri ini.

Bulan yang penuh dengan segala satu macam ujian untuk mendidik jiwa. Hari pertama berpuasa, terselit kesayuan didalam hati. Entah kenapa. Mungkin berasa diri terlalu bertuah hingga kerana masih berpeluang melalui hari-hari dalam bulan ini. Mungkin juga terlalu malu denganNya kerana begitu banyak dosa yang telah dilakukan saban hari, masih jua Dia memberikanku peluang membasuh segala kekotoran yang melekat pada diri secara zahir dan batinnya.

Hari kedua berpuasa terasa sedikit ringan di hati meski rasa terkilan wujud di pertengahan hari disebabkan suatu peristiwa. Aku juga tidak tahu kenapa tapi biarlah…bukankah bulan ini akan disediakn bermacam mehnah untuk mendidik hati?. Tatkala melihat wajah-wajah saudara saudari, adik-adik di kampus yang penuh keceriaan, perasaan sayu terhakis sedikit demi sedikit. Mungkin juga kerana pada hari ini, banyak kata-kata motivasi dan semangat yang dapat kukutip dari pensyrah di dalam kelas. “Jika kamu dapat lawan perasaan mengantuk dan malas khususnya di bulan puasa ni, saya percaya, pasti besar ganjarannya..” kata beliau, seorang pensyarah non muslim. Melihat yang berpuasa rata-ratanya kurang bersemangat, beliau menambah, “ Hari-hari pertama berpuasa memang agak macam tu, masuk minggu depan okay sudah tu, badan sudah adaptasi perubahan.” Aku mengiakan dalam hati. Ia mengingatkanku tentang puasa sunat sebelum ramadhan. Andai sudah berlatih dengan berpuasa sunat di bulan Rejab dan Sya’ban, pasti puasa di bulan Ramadhan dapat dilalui dengan mudah. Itulah salah satu hikmah puasa sunat. Aku terfikir juga, jika beliau tahu yang bukan Islam tahu akan kelebihan bulan ini, dan mengakuinya, mengapa ramai umat Islam sendiri yang tidak ingin meraih kelebihan itu? Dan meremehkannya?

Hari ketiga berpuasa, yakni hari ini. Perasaan berat wujud di sanubari. Dan aku masih tidak tahu kenapa. Banyak perkara yang aku tidak fahami. Aku cuba mencari ketenangan, lalu aku menapak kerumahNya. Hanya Dia yang mengetahui segalanya. Tidak ada perkataan mahupun ayat yang dapat menamsilkan apa yang kurasakan. ‘Ya Allah, kurniakan hambaMu ini petunjuk dari ilmuMu..’ pintaku dalam kecamuk perasaan. Sesungguhnya, aku tidak tahu apa yang harus ku fikirkan. Diri sudah terlalu banyak dosa. Berat rasanya tidak terkira. ‘ Ya Allah, kuatkan diriku untuk melalui hari-hari di bulanMu yang penuh mulia ini..’ bisik hatiku lagi. Aku menarik nafas panjang. Mungkin ada sesuatu yang Allah ingin tunjukkan padaku, hatiku berbisik lagi.

Entahlah, itulah kesimpulanku kali ini. Aku tidak tahu. Harapanku, ramadhan kali ini membuka sinar baru dalam hidupku dan keluargaku. InsyaAllah. Dan aku juga berharap agar dapat menziarahi sahabatku, allahyarham Maslizam selepas ramadhan ini. “Sedekahkan fatihah padanya banyak-banyak” ujar kakakku tempoh hari apabila aku berkata aku teringatkannya. Aku belum pernah menziarahi pusaranya sejak pemergiannya. Semoga Allah permudahkan semuanya dan aku mohon juga kepada anda di luar sana untuk turut sama berdoa agar segalanya dipermudahkan khasnya di bulan yang amat mencabar ini.

Selamat menjalani ibadah puasa, dan lapangkanlah hati serta dada kita untuk menghadapi segala kemungkinan di bulan ini. Dan semoga bulan ini memberi sesuatu yang berharga untuk kita jadikan renungan bagi meneruskan perjalanan yang seterusnya.

Salam ramadhan dariku untuk semua.

Assalamualaikum..

Thursday, August 5, 2010

Imam muda- mencetuskan gelombang program realiti bercorak agama

Bismillahirrahmanirrahim..


Dewasa ini, teknologi dan hiburan begitu sinonim dengan dunia masyarakat. Sehinggakan mana-mana pihak yang tidak mengikuti perkembangan dunia hiburan dianggap ketinggalan. Wajarkah? Dunia hiburan inilah yang menerobos masuk ke minda para belia dan remaja, malahan kanak-kanak dan dijadikan santapan intelek dan rohani saban hari.

Kehadiran banyak program reality di media bak cendawan tumbuh selepas hujan. Akademi fantasia, Malaysian idol, One In a million, keynote, sehati berdansa, jangan lupa lirik dan banyak lagi. Semuanya menurut jejak langkah hiburan dunia barat. Padaku, ia lebih kepada penjajahan minda dan budaya dan bakal merosakkan generasi hadapan.

Syukur Alhamdulillah, dalam banyak-banyak program reality yang muncul, wujud satu program bercorak keagamaan yang mampu menarik perhatian ramai. Imam muda. Kemunculan program ini mencetuskan gelombang baru dalam dunia program reality di kaca televisyen. Ia meneruskan legasi program agama lain seperti akademi al-Quran.

Ramai anak muda kita mampu jadi imam, jadi pemimpin. Tapi kita tidak nampak di mana mereka selama ini. Buktinya, untuk menghadiri sesi uji bakat bagi program ini, terdapt beribu orang peserta mencuba nasib. Sambutan orang ramai terhadap program seperti ini menunjukkan masyarakat kehausan hiburan bercorak agama dan sentiasa menanti akan wujudnya sesuatu yang mampu memberi nilai tambah dalam jiwa rohani mereka.

Nak cakap pemuda-pemuda kita tidak ada didikan agama, ramai pula yang berjaya mencuba nasib. Jadi, di mana dan apa masalahnya hingga anak muda menjadi golongan minoriti di kebanyakan rumah Allah masa kini?

Sejujurnya, aku menyokong program Imam muda. Ia tidak memerlukan khidmat sokongan melalui sms, tidak perlu menyanyi lagu yang lebih memuja manusia, tidak perlu menari di atas pentas dengan peserta bukan muhrim dan sebagainya. Ia membawa para peserta terus ke kancah masyarakat yang sakit dan parah dengan pelbagai penyakit dunia. Ia terus mendedahkan peserta terhadap tanggungjawab sebenar seseorang yang bergelar imam. Ia menjadi medium pendidikan bagi melahirkan seorang imam, pemimpin yang memiliki wibawa, memegang agama dengan utuh dan dalam masa yang sama, tetap mengamalkan gaya hidup sosial secara positif. Inilah yang masyarakat kita perlukan. Seseorang yang mampu bersosial dengan semua peringkat khasnya golongan muda remaja untuk membwa mereka dekat dengan agama.

Harapanku, program ini dapat menjadi perintis dan nafas baru kepada perubahan masyarakat Malaysia amnya dan seluruh ummat Islam khasnya. Biarlah segala teknologi yang ada dimanfaatkan sepenuhnya untuk membangunkan agama Allah.

Monday, August 2, 2010

Mati

Bismillahirrahmanirrahim..

Aku berfikir beberapa kali sebelum menjadikan entri ini satu perkongsian untuk tatapan semua. Ia mengandungi sentimen tertentu yang bersangkut paut dengan perjalananku selama ini. Namun, aku berharap perkongsian ini memberi satu pengajaran buat diri kita semua walau hanya sebesar zarah.

*************************************************************************************************************************************************
Cuti semester lalu berlalu begitu pantas. Terasa baru semalam bercuti, walhal kini sudah masuk beberapa minggu sesi interaksi untuk semester baru berlangsung.

Semasa cuti tempoh hari, aku mengambil kesempatan menyelongkar semula kotak-kotak yang memuatkan buku-bukuku semasa di zaman persekolahan. Serta merta, kenangan zaman sekolah menerobos masuk ke kotak ingatanku.

Aku merasakan diriku ketika itu adalah orang lain, dan aku juga merasakan diriku pada ketika itu berfikiran agak kehadapan berbanding usiaku.

Helai demi helai mukasurat ku selak. Banyak sekali karanganku yang tidak siap. Kuakui, aku memang suka menulis dan mengarang sejak dulu, sejak di bangku sekolah rendah. Dan sehingga kini, tabiat itu masih melekat.
Sedang asyik menyelongkar, aku terjumpa beberapa pucuk surat, kiriman seorang saudara yang hanya seketika dapat kukenali. Anak kepada keluarga angkat kakakku. Seorang remaja yang periang, beradab, tidak sombong dan sangat menghormati orang tua.

Oleh kerana jarang bertemu, dan ketika itu, hubungan melalui telefon terbatas, kami hanya berutus surat, dan tentunya ia atas dasar persaudaraan yang terbina. Ketika itu, aku juga seorang remaja yang masih dalam lingkung pergaulan ‘bebas’, masih di awangan, masih dalam pencarian hakikat hidup.

Suatu ketika, kakakku menerima panggilan telefon dari keluarga angkatnya. Dari riak wajahnya, aku dapat mengagak ‘sesuatu’ telah berlaku. “Kenapa?” ajuku. “ Awang(bukan nama sebenar) meninggal” ujarnya. Pada masa itu, fikiranku kosong. Aku tidak tahu apa yang kufikir atau rasakan.

Kini, peristiwa itu sudah beberapa tahun berlalu. Aku sendiri tidak ingat pada tahun berapa beliau dijemput pergi. Dan aku hampir terlupa nama saudara itu, hinggalah aku melihat semula surat-surat yang pernah dikirimkannya suatu ketika dahulu. Aku seperti tidak merasa kehilangannya. Apabila melihat surat dan foto beliau, aku merasakan beliau masih hidup tika ini. hakikatnya..adalah sebaliknya.

Aku mula berfikir, bagaimana agaknya beliau di alam sana? Tentu Allah menyayanginya hingga menjemputnya dalam usia yang sangat muda. Pada usia belasan tahun.

Seketika tadi, aku membaca pula kisah pengakhiran perjalanan seorang pendakwah muda. Terasa diri sangat jauh beza dengan insan tersebut. Anda boleh membacanya (disini). Allah Maha Berkuasa. Dia boleh menunjukkan kekuasaan dan kebesaranNya pada bila-bila masa pada diri hamba-hambaNya yang terpilih.

Husnul khatimah. Itu yang kita harapkan sebagai pengakhiran kepada kehidupan di dunia ini. Persoalannya, layakkah kita? Cukup ikhlaskah hati kita selama ini bekerja untuk agamaNya? Cukup banyakkah amal kita untu dipersembahkan kepadaNya? Berjayakah kita mencapai anugerah husnul khatimah tatkala bayangan syurga dan neraka bermain di pandangan saat nyawa di hujung tanduk?

Takut mati. Cintakan dunia, takutkan mati. Penyakit ummat manusia hari ini. Ummat islam umpama buih-buih di lautan. Semasa dalam kuliah subjek perkembangan kerohanian pagi tadi, kisah mati, akhirat dan hidup selepas mati diutarakan oleh pensyarah subjek tersebut. Banyak perkara bermain di mindaku kala itu.
Macamana keadaan kita saat malaikat Izrail datang menyapa? Bagaimana keadaan kubur kita nanti? Bagaimana cara kita disoal dalam kubur? Dapat jawab atau tidak?

Hidup ini sangat singkat. Itulah kesimpulan yang dapat kunyatakan. Dalam usaha mendekatiNya, adakalanya kita akan menjauhiNya tanpa kita sedari. Moga kita terpelihara dari semua perkara yang akan menjauhkan kita daripadaNya.

Al-fatihah buat allahyarham Maslizam Sidek. Moga Allah menempatkan beliau di dalam golongan hamba-hambaNya yang beriman dan beramal soleh.

Antara tanda husnul khatimah :
1) Mengucapkan kalimah syahadah ketika hampir mati.
Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : " Sesiapa yang akhir kalimahnya 'Lailaha illah' nescaya masuk syurga "

2) Mati dalam keadaan percikan peluh di dahi .
Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : "Mati orang yang beriman itu adalah percikan peluh di dahi."

3) Mati di malam Jumaat atau harinya.
Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Tiada orang muslim yang akan mati pada hari Jumaat atau malamnya melainkan Allah pelihara akan dia dari fitnah kubur.

4) MAti syahid di medan perang menegakkan agama Allah.

5) Mati kerana sakit taun, sakit perut, ditenggelami air atau di timpa kemalangan.

6) Perempuan yang mati di dalam nifas dengan sebab melahirkan anak, orang yang mati terbakar, mati kerana sakit paru-paru dan sakit cirit birit.

7) Orang yang mati mempertahankan hartanya yang hendak dirampas.

8) Mati kerana mempertahankan agama dan nyawa.

9) Mati kerana bertugas di dalam perjuangan islam.

10) Mati ketika beramal soleh, yakni ketika melakukan amal ibadat menyembah Allah seperti berpuasa, solat dan sebagainya.