Monday, April 12, 2010

di sebalik tirai KBS Fasa 1

Bismillahirrahmanirrahiim..

Alhamdulillah..berlalu satu minggu yang cukup meletihkan dan merundumkan jiwa seperti yang telah ku nyatakan pada entri sebelum ini. Fikiranku lekat di rumah...aku sering teringatkan adikku, dalam keadaan yang penuh konflik dan tidak berpeluang balik ke rumah, aku cuba menghilangkan semua perasaan yang berserabut dengan pelbagai perkara ..Hujung minggu lalu, pada hari Sabtu, hatiku terubat dengan karenah kanak-kanak yang sangat mencuit hati apabila berpeluang menyertai program KBS(Kem Bestari Solat Fasa I di Sk Pekan Tambunan).

Pada perjumpaan terakhir khusus untuk program tersebut, hati dan perasaanku sangat berat. Bukan kerana tidak ingin menyertai program tersebut, bahkan aku tidak sabar menanti hari bertemu kanak-kanak Tambunan..tapi kerana bebanan dunia yang menyesakkan fikiran ... Kata-kata seorang akhi pada malam itu menusuk jauh ke dalam hatiku dan secara tidak langsung menguatkanku untuk mengenepikan semua itu sementara waktu.

Pda pagi hari Sabtu, kami bertolak awal. Dlm perancangan, kami ingin bertolak seawal 6.15 pagi, tetapi disebabkan beberapa kesulitan, masa tersebut teranjak beberapa ketika. Aku agak gementar kerana buat pertama kalinya, aku memandu dalam jarak yang agak jauh dan membawa 4 penumpang lain yang juga merupakan fasilitator jemputan dalam program tersebut.
Aku tidak cukup yakin sebenarnya untuk memandu dalam keadaan diri masih dalam kategori pemandu dalam pemerhatian...namun sokongan, kata-kata semangat dan keyakinan fasi yang lain terutamanya Yati ( fasi KBS Sk Pekan Keningau )..menjadikan aku sedikit berani..tawakal saja..

Perjalanan bermula setelah semua fasi berkumpul dan bersedia untuk bergerak. Kumpulan fasi muslimat bergerak dihadapan sementara fasi muslimin mengekori kami di belakang dengan kereta yang dipandu oleh akhi Amir. Alhamdulillah, walaupun melalui perjalanan yang sangat mendebarkan, akhirnya kami berjaya sampai ke destinasi dengan selamat.

Mendengar suara adik-adik sudah cukup membuatkanku teruja untuk bertemu dengan bakal ahli kumpulanku. Dalam hati, aku membayangkan apa akan terjadi sekiranya ahli kumpulanku adalah pria muda seperti dalam KBS di Sk Patikang Laut tahun lalu. Dan bayanganku menjadi realiti apabila aku mendapat adik-adik tahun 4 yang mana semuanya para pria muda yang aktif. Kali prtama mereka bertemu denganku dipintu dewan setelah pembahagian kumpulan, adik Ali (Sazali ) sudah mula bercerita tentang kisahnya dibelanja oleh salah seorang fasi muslimin yang juga bersama kami. Melayani adik lelaki bukan mudah, namun pengalaman membesar bersama 3 orang adik lelaki di rumah, apatah lagi adik bongsuku juga lebih kurang sebaya dengan mereka, ia memberi sedikit kemudahan bagiku.

Mereka semua iaitu Ismat Aqil (Aqil), Md. Aidih (nama manjanya lucu sikit..dia akan malu bila aku memanggilnya dengan nama tersebut ), Md Khairul Anuar (Abang ), Md Sazali ( Ali ), AK Khairi Shah (Shah ), Mohd Ahjizul ( Ajizul ) dan Mohd Khairul Nizam (Nizam ) membuatkanku habis modal untuk bercakap..Walaupun semuanya aktif dan petah, aku senang bersama mereka kerana tingkah mereka tak ubah seperti adikku juga...

Keinginan mereka untuk belajar sememangnya sangat tinggi. Meskipun modul disediakan, aku tidak dapat melaksanakan sepenuhnya modul tersebut. Bukan sahaja kerana kekangan masa, tetapi juga disebabkan mereka ingin mempelajari benda lain. Apabila melihat modul tersebut yang terkandung slot azan dan iqamah ( untuk tahun 5 ) mereka tidak henti-henti bertanya bilakah slot itu dimulakan. Justeru aku cuba untuk melaksanakan sebaik mungkin modul yang diberikan dan dalam masa yang sama, turut berusaha untuk tidak mengecewakan mereka.

Namun begitu, sejujurnya, padaku, apa yang telah aku usahakan tidak mencapai pun apa yang aku sendiri harapkan. Dalam masa yang cukup singkat, aku merasakan aku tidak mengajar apa pun pada mereka kerana rata-rata sudah mengetahui perkara asas yang hendak difokuskan dalam KBS tersebut. Ini adalah disebabkan sebahagian ahli kumpulanku merupakan murid sekolah agama Tambunan (SUI Tambunan). Namun disebalik semua itu, jika dilihat dari sudut ukhwah, ia sememangnya berjaya, pada pandanganku..Dan segala masalah hilang apabila bercerita dengan mereka meskipun topik yang dibicarakan kadang2 tidak logik...


Kata-kata mereka, cerita mereka dan tingkah mereka membuatkanku lupa seketika segala masalah yang bersarang di minda.

" Kak, saya mau belajar sampai Mesir.."

" Kak, saya suka belajar agama.."

" Kak..saya suka matematik. Matematik bidang saya.."

" Kak, lepas ni kita belajar azan ah.."

" Kak, saya pandai azan..."

" Kak, bila mau belajar doa qunut?"

" Kak..saya belum dapat hafal tahiyat awal.."

" Kak..baligh tu apa?"

Itu sebahagian soalan dan pernyataan yang mereka utarakan sehinggakan aku tidak mampu menjawab semua soalan dan merespon kata-kata mereka.

Semasa permainan treasure hunt, rakan-rakan fasi memberitahu mereka mencariku di check point mana satu aku bertugas. Apabila tiba di check point 4, iaitu tempat ku ditugaskan, mereka tersenyum girang.

" Kak..kami tinggal dua stesen lagi..Disini mau buat apa?" Sazali bertanya penuh semangat. Apabila aku memberitahu mereka perlu melakukan perlakuan solat jemaah, dia dan Aidih berebut menawarkan diri menjadi imam. Semangat mereka menguatkan semangatku. Aku rasa amat bertuah mendapat mereka sebagai adik kumpulanku. Padaku, antara semua program seperti ini, merekalah kumpulan terbaikku..

Pendek kata, aku tidak puas untuk bersama mereka dalam tempoh lebih kurang setengah hari sahaja. Selesai majlis perasmian, mereka berjumpa denganku. " Kak, kakak mau balik sudah?" Tanya Sazali. " Belum lagi..kamu mau balik sudahkah?"
" Belum..kakak jangan balik dulu ah..nanti lepas makan, kita jumpa ah.." katanya.

Betul-betul mengingatkanku pada adiku di kampung. Apabila aku berkata akan balik ke asrama lebih awal, dia akan membuat wajah protes. Apabila aku tidak menaip balasan salam dalam mesej yang dihantarnya, dia akan menegurku kerana tidak menjawab salamnya, padahal aku sudah menjawab salamnya di dalam hati..hehe..Antara mesejnya yang kuingati, " Aku di masjid. Jangan kacau..". Aku lantas tertawa. Aku terlupa hari itu hari jumaat..

Berbalik kepada KBS, semasa makan tengahari, sebelum berangkat pulang ke ip, mereka bertiga (Sazali, Aidih dan Aqil) menemaniku makan dengan celoteh mereka yang tidak henti-henti...

Andai hendak diceritakan satu persatu, tidak akan habis meskipun tangan keletihan menaip bait-bait ayat yang laju terbit dari minda.

Justeru, dikesempatan ini, secara peribadinya aku ingin mengucapkan jutaan penghargaan dan terima kasih kepada mereka yang memberiku peluang untuk menyertai program ini.. Semoga Allah meredhai kalian dan semoga usaha-usaha untuk membentuk peribadi muslim dalam diri kanak-kanak istimewa ini akan diredhai olehNya dan membuahkan hasil yang diharapkan....insyaAllah...

Untuk adik-adik kumpulanku dalam KBS Fasa I ini, kakak pasti merindui kamu semua dan insyaAllah..jika diizinkanNya..kita akan bertemu lagi di suatu masa akan datang...