Monday, March 7, 2011

Allah sayangkan kita

Bismillahirrahmanirrahim..


“Pernahkah suatu masa, tiba-tiba kita rasa diri kita bertuah? Terasa disayangi. Terus hati kita cakap,nasib baik aku tidak jadi macam tu..syukur..Allah sayangkan aku..”
ujar seorang rakan, membelah keasyikan fikiran yang cuba menangkap butir-butir kata yang disampaikan oleh penceramah kuliah maghrib malam itu. Aku mengalihkan pandangan ke arahnya. Menatap wajahnya lalu mengangguk dalam senyuman. Dia turut tersenyum. ‘Pernah..’ jawab hatiku. Sayu rasanya mendengar ungkapan itu. ‘Allah sayangkan aku..’. Kesayuan itu menjalar ke segenap urat saraf. Saraf di mataku mula bekerja, bertindak balas dengan kesayuan yang terasa, menghantar impuls ke otak bagi mentafsirkan perasaan dan melahirkannya dengan pandangan yang mula berkaca. Aku menarik nafas seketika, meredakan perasaan.


“Kita selalu lupa pasal tu” tuturku pula. Kali ini, dia pula mengangguk. “Rasa beruntung kan?” sambungku. “Em..?”
“Rasa beruntung bila kita rasa Allah sayangkan kita..”jelasku semula.

“Ya..kadang-kadang bila kita tengok orang lain yang hidupnya lebih susah, lebih teruk..baru kita sedar hidup kita jauh lebih baik, beruntungnya kita..”


Kadang-kadang, kita merasa tidak ada seorang pun yang faham kita. Lalu, hati sakit kerana merasa semua tidak kena dengan kita. Ingin memberontak dengan semuanya. Akal berlawan dengan hati. Hati tidak pernah puas kerana akal mengatakan yang sebaliknya dengan kata hati.

‘Pernah rasa sakit bila tinggalkan sesuatu untuk dapatkan sesuatu?’ Hatiku mengiyakan dalam diam.

‘Bila Allah nak bagi kita sesuatu yang lebih baik, Dia akan uji kita dengan sesuatu yang lebih berat’. Aku hanya diam, berfikir…dan terus berfikir.

‘Bila Allah nak bagi kita sesuatu yang lebih indah, Dia akan uji kita dengan sesuatu yang menyakitkan..’ Aku diam lagi.

Justeru itu, janganlah anggap semua masalah yang dihadapi sesuatu yang membebankan dan memberatkan hati nurani semata. Bila nikmat kegembiraan ditarik seketika, itu tandanya Dia sayangkan kita. Dia tidak ingin kita leka dan lalai terus-menerus dengan kegembiraan sementara itu.

Beruntungnya insan yang merasa kasih sayang dari Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, kerana tiada yang terasa berat dan sukar baginya. Semuanya indah belaka, walaupun hakikatnya pedih menguasai lubuk hati.

Ruginya bila tidak dapat merasai kasih sayangNya, kerana semua terasa kosong dan memberatkan semata, tanpa dapat memikirkan dan merasai hikmah disebaliknya. Hidup hilang pergantungan dan tempat mengadu, kerana hati tidak dapat merasai betapa dekatnya Dia dengan kita, betapa Dia mengetahui segala isi hati kita.

Wahai hati..sabarlah dan kuatlah untuk menghadapi semuanya, sesungguhnya Allah itu ada untuk kita, Dia sangat dekat dengan kita, dan Dia sangat menyayangi kita lebih dari sesiapa pun, hatta ibu bapa kita sendiri.