Saturday, October 16, 2010

Sepetang bersamanya

Udara petang kuhirup perlahan. Terasa lapang dada bila dikelilingi suasana alam tanpa gangguan makhluknya yang bernama manusia. Lama tidak bersendiri seperti ini. Suasana sunyi yang menggamit hati dan minda untuk saling berinteraksi setenang-tenangnya.

“Lama kita tak macam ni kan” Aku tersenyum. Suara itu memang ku tunggu-tunggu. Aku mengiyakan katanya dalam diam. Sibukkah diri hingga dia berkata begitu? Hingga tidak berpeluang merenungi diri sendiri melalui pertemuan dengannya.

‘Kau dah banyak berubah Ani’ Aku menghela nafas. Kata-kata itu bukan kali pertama singgah di pendengaranku. Cuma ianya dituturkan dari orang yang berbeza.

‘Kenapa manusia berubah?’ aku bertanya semula. Hening seketika.

‘Tuntutan kehidupan. Untuk mengadaptasi dengan suasana persekitaran’ jawabnya. Aku mengangguk kecil. ‘Manusia berubah sebab nak dapat sesuatu’ sambungku pula.

Burung berkicauan. Suasana kembali hening. Melayan fikiran dan hati yang cuba menangkap makna kicauan tersebut.

‘Study okay?’ pertanyaan baharu menerjah gegendangku. Aku mengangguk lagi. ‘InsyaAllah okay ja’.

‘Semua okay?’. Pertanyaan yang sama berulang, dalam nada yang lebih tegas. Aku hanya tersenyum. Tiupan bayu petang sungguh mengasyikkan.

‘You know me better than anyone else. Perlukah menjawab soalan itu?’ Sekuntum senyuman terukir dibibir.

‘ Kita selalu keliru dengan hati sendiri. Kenapa agaknya kita perlu timba ilmu?’ tanyanya lagi. Aku diasak dengan persoalan yang aku juga sering bangkitkan.

Sebab Allah suruh. Kita orang Islam, kena patuh. Allah tak suruh kita buat sesuatu yang sia-sia.’ Dia mengangguk perlahan. Ya. perintah Allah, kita kena patuh, walau tak tahu apa tujuan melakukannya. Apa yang pasti, tuntutan dan perintahNya semua untuk kebaikan hambaNya.

‘Kau dah lain, tak macam dulu. Dan aku tahu kau faham maksud aku..Kenapa?’ aku hanya membatu. Cuba memikirkan kenapa agaknya?

‘Kita bukan kenal sehari dua. I know you feel bad, tapi kenapa?’ Sambungnya apabila aku masih membisu. Aku menghela nafas. ‘Kau memang selalu 'tahu' kan?’ ujarku.

‘Hari demi hari, aku makin tak kenal kau. Tak faham dengan kau. Apa sebenarnya yang jadi?’

‘Aku tak tahu…’ jawabku mendatar. Hati mula berkecamuk. ‘Mustahil..’

Aku memejam mata seketika. Memohon kekuatan dan ketenangan dari Yang Maha Pengasih, agar tidak terus menerus dibebani permasalahan hidup.

‘Aku rasa kehilangan sesuatu. Tapi aku tak tahu apa. Aku rasa makin banyak buat salah tiap masa, tiap hari. Kadang-kadang, aku cuma sedar apa yang aku buat tu salah lepas semua dah berlaku..’

‘Aku rindukan Ani yang dulu, masa di awal pengajian dulu..’ Aku tersenyum. ‘Ya…aku juga rindu diri aku masa tu.’

‘Allah menguji hambaNya dengan pelbagai cara. Dia nak uji kau dengan cara ni, bertahanlah..’

‘Kenapa aku rasa semua orang hipokrit?’

‘Tak semua. Kau rasa aku hipokrit?’ Aku tertawa kecil. ‘Entahlah.’

‘Manusia biasanya tak nampak kasih sayang Allah, sebab manusia ni suka pada benda yang zahir ja. Tapi kasih sayang sesama manusia, boleh rasa dan nampak pula sebab manusia ni boleh kita tengok secara zahirnya, dengan mata kasar….Tapi, kalaulah kita nampak kasih sayang Allah pada hambaNya, semua cabaran, kita akan rasa tak da apa.semua rasa manis..’

Kata-kata itu menusuk lubuk hatiku.

‘Ramai yang tahu tapi tak sedar’ ujarnya lagi. ‘Maksud?’

‘Ramai antara kita yang tahu Allah itu ada, tapi tak ramai yang sedar Allah itu sentiasa dekat. Begitu juga ramai yang tahu agama tu penting, tapi amat sikit yang sedar agama tu tunjang pada hidup..’

Memang benar. Ramai yang tahu, amat sedikit yang sedar. Aku tergolong dalam kumpulan mana?

‘Jangan tambahkan bilangan yang tak sedar tu Ani..Aku tahu kau boleh. Tak semua terpilih untuk dapat kesedaran tu..’

‘Aku rasa aku makin teruk..’

‘Mengakui keterukan itu bagus, tapi perlu disusul dengan penambahbaikan..’

‘Tak siapa faham apa aku rasa..’

‘Memang..sebab hanya Allah yang tahu isi hati kita. Kalau kita ingin orang faham perasaan kita, kita akan merana sendiri. Jadi, pedulikanlah sang makhluk. Fikirlah dan ingatlah pada Sang Pencipta..’

‘Terima kasih’ ucapku. ‘Untuk apa?’ tanyanya semula.

‘Kerana fahami aku dan tegur aku.’ Dia tersenyum. ‘Tanggungjawabku..aku percaya jauh di dalam hati, kau masih macam dulu.’ ‘Terima kasih sebab masih percaya pada aku..’

‘Kau dan aku tak da bezanya. Sama-sama mkhluk Allah. Tak percaya pada kau, sama juga tak percaya pada diri sendiri.’

'Ada masa, datanglah sini. Kita borak-borak. Aku selalu menunggu dengan hati terbuka..'

'Terima kasih..InsyaAllah..'

Terima kasih ya Allah, bisik hatiku. Janganlah Engkau biar dia hilang dariku, kerana aku sentiasa memerlukannya untuk mengingatkanku padaMu..Aku mengukir senyum dan melangkah pergi.