Monday, July 19, 2010

Pengalaman vs Pengajaran Perkhemahan UBF (II)

Bismillahirrahmanirrahiim..

Cabaran tidak berhenti setakat disitu saja. Pada hari pertama perkhemahan, hujun turun dengan lebatnya ketika hari merangkak malam ,dan ketika itu, kami, peserta yang muslim sedang duduk dalam halaqah mendengar kuliah maghrib yang disampaikan oleh salah seorang pensyarah yang terlibat. Mujurlah beliau ada kerana pada waktu itu semua pensyarah lain belum tiba untuk aktiviti sebelah malam. Kata-kata beliau yang masih kuingati, “Saya paling takut kalau masa berkhemah, orang tak solat. Jangan main-main, solat tu kena jaga. “ Pada masa itu juga, hanya hanya dalam lingkungan 10 orang peserta yang ada untuk solat berjemaah dan mendengar kuliah ringkas tersebut. Biar ringkas, tapi padat dan penuh pengisian yang merawat hati.

Pada masa itu juga, aku tidak menyedari khemah kami dimasuki air dan akibatnya, semua pakaianku didalam beg habis basah! Dan kesabaran sekali lagi teruji apabila khemah kami roboh kerana penahan khemah tersebut patah. Malam itu aku terpaksa menyertai kuliah dengan pakaian basah sehinggalah ia kering sendiri di tubuh. Justeru malam itu sangat dingin, aku terpaksa meminjam dari rakan yang mempunyai pakaian yang kering dan Alhamdulillah, ‘setelah tamat kuliah, barulah aku bertukar pakaian’.

Dengan alasan khemah yang roboh dek angin dan hujan yang lebat, kami (aku dan camp-mateku) terpaksa menumpang bermalam di bilik urusetia pada jam 2 pagi kerana kami terpaksa menyiapkan gajet sekawan terlebih dahulu sebelum itu. Syukur Alhamdulillah, meski berendam dengan pakaian basah, kesihatanku tidak terjejas dan Allah mengizinkanku menyertai setiap aktivti seterusnya pada hari berikutnya.

Semasa malam budaya, dugaan semakin besar apabila banyak aksi yang tidak elok untuk perkembangan ‘anak muda’ dipertontonkan. Sebagai golongan minoriti yang hanya mempunyai iman senipis kulit bawang, aku hanya mampu menggelengkan kepala, duduk mendiamkan diri dan memohon ampun daripadaNya kerana membiarkan diri terlibat dengan semua itu. Ketika itu, kusedar, betapa berharganya suasana jemaah yang mempunyai pendirian dan tunjang yang sama seperti kita. Semua itu juga menyedarkanku betapa lemahnya diri yang mengaku hamba Allah tetapi masih berada dalam keadaan yang menimbulkan murkaNya.

Tidak ada insan yang sempurna. Itu yang kutanam diminda selama ini. Oleh itu, aku cuba mempositifkan diri menghadapi semuanya sepanjang perkhemahan berjalan. Sememangnya, banyak perkara yang membuatku bermuhasabah semula semasa menyertai perkhemahan ini. Menyesalkah? Aku memang kesal dengan semua perkara yang menyakitkan mata, hati, dan telinga, tapi aku tidak menyesal mengikuti perkhemahan ini kerana ia mengajarku mengenali siapa diri sendiri yang sebenarnya. Dan aku pasti, bagi sesiapa yang tidak mengambil pengajaran daripada perkhemahan ini, amat rugilah dirinya.

Dalam meniti hari-hari yang semakin menghampiri titik perhentian ini, adakalanya kita semakin leka dan alpa. Hidayah dan kesedaran yang Allah suntik ke dalam sanubari, kita perlekehkan sehingga apabila Allah menarik balik semua itu, terkapai-kapailah kita hilang akan arah tuju hidup. Janganlah kita termasuk ke dalam golongan itu. Fikirlah dan hitunglah masa kita, apakah kita bersedia menghadapi saat penghakiman dihadapanNya?

Semoga Allah memelihara hati-hati kita semua untuk tetap teguh dan istiqamah di jalanNya. Moga perkongsian ini dapat menyuntik sesuatu di dasar hati anda, untuk kita merenungkan apa yang telah kita peroleh sepanjang hidup ini?

Assalamualaikum..

p/s: Aktiviti sepanjang perkhemahan membuatkanku terkenang kembali saat menyertai program luar, khasnya Kem NADI 2009..dan aku terfikir semula, bilakah lagi aku akan dapat menyertai program seumpama itu?