Thursday, December 29, 2016

Cerita tentang kehidupan



Hari ini, sempat bertemu seorang sahabat lama. Teman sekolah dulu kala. Teman bernakal zaman remaja. Tapi kini, jadi teman mengupi dan bersembang tentang hidup. Banyak isu yang kami sembangkan. Macam orang tua-tua mengupi. Cerita itu dan ini, dari yang  menerbitkan senyum dan ketawa sampailah cerita yang membuatkan kami sama-sama terdiam sejenak mengenang kekhilafan diri.

Cerita tentang kehidupan.

Cerita yang mengetuk pintu hati. Bukan cerita jiwang. Bukan cerita cintan cintun. Seperti yang ku katakan tadi, almaklumlah beliau punya style.

Kebetulan adik lelakikku secara rasminya menjadi 28 tahun pada 28 Disember, cerita hari jadi masuk kepada cerita umur kami yang semakin meningkat. 

“Macam nda rasa kan‘” 

“Iya, cepat betul” aku mengiyakan. 

“Kalau aku fikir kan, macam ndada ja umur kita. Sekejap saja, dari 20 pigi 30, pigi 40, 50..lepas tu 60..tu pun kalau sampai 60” sambungnya.

Aku diam sejenak. Memikirkan, nombor 50 dan 60 itu sinonim dengan pilihan ramai orang untuk berpencen, tanpa memikirkan umur sendiri belum tentu mencecah ke angka itu.

“Ko tau…bila ingat pasal umur ni, aku selalu pikir apa sudah aku buat sebelum ni, sepanjang umur aku ni..”

Aku diam lagi. Teringat pada seorang lagi sahabat lama (beliau tidak gemar namanya disebut secara zahir dalam mana-mana penulisan) yang selalu mengungkapkan kata-kata yang sama. 

“Singkat betul kan idup kita ni?” aku menambah. Si sahabat mengangguk.

“Memang betul-betul singkat. Aku teringat ..beberapa taun lepas, masa hari raya, aku nda berapa ingat, raya kedua ka ketiga, aku pigi beraya di satu rumah..”

Aku diam lagi. Mahu mendengar ceritanya. (Aku memang banyak berdiam pun. Heheh..aku prefer jadi pendengar sebab aku bukan pencerita lisan yang baik.) Ceritanya lebih kurang begini.

‘…ada seorang macik. Kami kenal begitu-gitu saja. Tapi dia memang kenal kami sekeluarga, terutamanya mamaku. Kalau jumpa di mana-mana memang bertegur juga. Aku nda pernah pigi rumahnya. Tapi, masa raya beberapa taun lepas, macikku datang ke rumahku. Dia bawa aku pigi beraya di rumah macik ni (kenalan mama). Aku iya sajala ikut, kasi kawan macikku ni. Masa sampai di rumah macik tu, dia pelawalah kami masuk. Dia nampak aku, terus dia bilang, ‘ eh..besar sudah ko kan. Dari kecik sampai besar, nda pernah ko p rumah macik..sampai juga ko kan?’ aku senyum-senyum saja sambil menjawab ‘ hehe..iya macik, ini pun kasi kawan macikku ni, kebetulan..kalau nda..memang nda sampai kali ’ 

Masa ni, tengahari seingatku. Dalam waktu zuhur kali ah. Lepas makan sama cerita-cerita, kami pun minta dirilah sambil ucap terima kasih. Berbalas-balas salam sama ucapan hari raya. Aku pun jemputlah dia datang rumah.

‘Macik..nanti datanglah juga ke rumah..’

‘Bah iya..insyaAllah nanti ke sana juga’

Kami terus balik ke rumah lepas tu. Dalam 15-20 minit lepas sampai di rumah, macikku yang membawaku beraya tadi kol aku lagi, membawa khabar yang mengejutkan. Mengkhabarkan macik yang baru kami ziarahi tadi sudah tiada. Dia menyuruhku bersiap cepat dan memintaku menemankannya ke sana semula. Aku betul-betul terkejut masa tu. Rasa macam nda percaya. Orang yang baru jak di jumpa tadi sihat-sihat saja, sekalinya sudah nda da. Masa tu juga, aku rasa nda dengar sudah apa macikku cakap. Walaupun nda kenal rapat dengan macik tu, aku rasa sedih betul. Betul-betul nda pecaya. Seumur hidup aku, nda pernah aku duduk dekat orang yang sudah meninggal. Tapi hari tu, pertama kalinya aku duduk di dekat mayat, di sebelah kepalanya, sambil membacakan yasin. Aku rasa masa tu macam berhenti. Aku berfikir, hidup ni penuh kejutan. Bila-bila Allah boleh tarik nyawa kita. Sepanjang petang tu, aku menangis. ‘

Aku masih diam mendengar cerita sahabat ini. Matanya bergenang. “Aku nda tau kenapa aku rasa sedih betul. Aku balik-balik fikir apa sudah aku buat selama ini..”

“Kita nda tau bila masa kita..” ujarku, disambut anggukan oleh si sahabat. 

“Benda macam ni nampak kecil tapi betul-betulmenyucuk. Ko tau, bila kami sampai di rumah macik tu, suami dia sambut kami sambil cakap, macik yang layan kamurang tadi tiada sudah..ya Allah dalam hati aku becakap..punya kuat pacik ni, redha betul dia isterinya pergi mengejut” 

“Banyak cara Allah mau tegur kita” aku mencelah. “Kita masih kena sayang” sambungku.

“Iya..itu yang selalu aku ingat. Masih kena sayang ..” sahut si sahabat. 

“Iya..macam lagu Slam..syukur Tuhan masih sayang pada kita..” aku bercakap dalam nada lagu Slam.
 Meredakan sikit suasana. Kami ketawa bersama. “Allah bagi peringatan dari macam-macam cara. Walaupun nampak kecik, tapi menyucuk terus ke hati”

Cerita kami tidak berhenti di situ. Cuma masing-masing diam seketika, melayan fikiran dan perasaan.


Apa yang kita ada kini semuanya bukan milik kita. Bila-bila masa Allah boleh tarik semula. Bersediakah kita untuk kehilangan salah satu nikmat kurniaan itu. 

Kerana kita ini manusia yang hakikatnya diciptakan bersama sifat pelupa, banyak sekali insiden-insiden yang Allah perlihatkan supaya kita sentiasa ingat siapa kita sebenarnya. Bumi siapakah yang kita pijak. Udara siapakah yang kita hirup. Dalam tempoh usia yang perkiraannya amat singkat, berapa banyak dan berapa lama dari tempoh itu yang kita gunakan sebenar-benarnya atas definisi sebagai hamba Allah. 

Sememangnya tiada manusia yang sempurna. Mencari kesempurnaan dalam ruang lingkup kehidupan makhluk, umpamanya pencarian yang tiada titik hujung. Kesempurnaan itu hanya milik Sang Pencipta. Kerana itu juga, manusia akan cenderung kepada kesilapan. Malah kesilapan yang berulang. Sama ada yang disedari atau tidak.

Namun begitu, sejauh mana pun kita melangkah dalam lautan salah dan dosa, dan sebesar mana pun kesalahan kita..Allah tetap sayangkan kita. Kasih sayang dan rahmatNya sentiasa mendahului kemurkaanNya. Justeru, jangan sesekali berputus asa dengan rahmat Allah. Jangan pernah penat dan letih berusaha memperbaiki diri agar sentiasa dekat denganNya. Walaupun ianya payah.

~Tiada manusia bebas dari dosa. Kecualilah para nabi yang dijanjikan dengan sifat maksum. Aku juga selalu terfikir, sepanjang usiaku sehingga kini, yang Allah pinjamkan padaku, sampai ke mana suda pencapaianku sebagai hambaNya? Berapa banyak manusia di sekelilingku yang pernah terluka sebab kekuranganku? Masih adakah lagi sisa-sisa kemaafan mereka untukku.? Adakah aku akan pergi menemuiNya dalam keadaan ada insan yang masih terluka, kecewa, berdendam atau sakit hati kepadaku? Atau semuanya sudah berlapang dada, redha dan memaafkanku, menghalalkan semuanya…

Kepada yang mengenaliku, walau siapapun kalian, biar sekejap mana detik perkenalan kita, biar sejauh mana jarak antara kita, aku mohon kemaafan seandainya ada mana-mana perlakuan atau tutur kata yang menyinggung rasa. Dan dari pihakku, aku tidak punya apa-apa untuk meyakinkan kalian betapa aku menghargai setiap detik dan kesempatan yang Allah pinjamkan dari hidup kalian untuk hidupku. Apa yang aku tanamkan dalam hati, Allah menghadirkan kalian untuk mengajarkanku tentang sesuatu dalam hidup ini. Moga rahmat Allah sentiasa bersama kalian.