Saturday, June 11, 2011

Menghargai dan dihargai

Bismillahirrahmanirrahim..

Dalam hidup ini, kita perlukan sesuatu dalam istilah menerima dan memberi. Timbal balik daripada sesuatu yang diterima dan diberi melahirkan suatu perasaan menghargai antara satu sama lain. Perasaan dalam menghargai sesuatu atau seseorang tidak semestinya dinyatakan dalam bentuk tutur kata. Jika ada kefahaman antara satu sama lain, dan kesediaan untuk menerima kekurangan dan kelebihan sesama sendiri, tanpa perlu diucapkan melalui tutur kata sekalipun, kita sudah pasti dapat merasakan penghargaan tersebut.

Alhamdulillah, kali ini aku berkesempatan lagi untuk berkongsi buah fikiran dalam ruangan maya ini. Seperti yang kukatakan dalam entri-entri sebelum ini, banyak yang ingin dikongsi agar dapat kita fikirkan bersama, namun,seringkali ada kekangan yang menjengah.

Sepanjang cuti semester ini, aku mengambil peluang untuk merehatkan fikiran dari alam kuliah, dan cuba melangkah ke dalam dimensi baru hidupku secara peribadi. Cuba merungkai persoalan-persoalan yang bermain di benak fikiran sekian lama, cuba berfikir lebih dalam dan lebih jauh tentang erti kehidupan di dunia yang sementara ini.

Beberapa hari lalu, seorang saudara bertanya apakah dirinya belum matang. Soalan itu kuterima saat kami berbual di ‘chatbox’. Aku tersenyum. Agak geli hati.

Walhal, secara peribadi, aku merasakan dirinya jauh lebih matang dari diriku sendiri. Dalam banyak perkara, kukira tindakannya diluar jangkaanku sendiri.

Apabila kematangan itu wujud dalam diri, kita lazimnya bertindak atas sesuatu yang kita sudah fikirkan akan sebab dan akibatnya. Apabila kematangan itu sudah ada dalam diri, kita melakukan sesuatu atas landasan yang jelas, yang kita fahami isi tersurat dan tersiratnya. Namun, padaku, sifat kematangan itu adalah suatu fitrah bagi manusia. Maknanya, kematangan itu memang lahir bersama kita, namun kecenderungannya untuk muncul dan kita rasai adalah berbeza antara satu sama lain.

Sama seperti sifat marah dan sikap panas baran. Setiap orang mempunyai sifat dan sikap tersebut, namun tindakan yang dizahirkan adalah berbeza berdasarkan kemampuan kita untuk mengawal sikap dan sifat tersebut. (Kepada pakar-pakar psikologi, maafkan aku sekiranya pandangan ini silap dengan teori yang telah dikaji kesahihannya).

Mengimbas semula perjalanan hidup yang dilalui sebelum ini,membuatkanku rasa sangat bersyukur kerana semuanya menjadi pengalaman yang sangat berharga buatku. Aku yang dahulu, adalah aku yang sekarang juga. Diri yang sama, cuma mungkin berbeza cara fikir dulu dan kini. Ramai yang menyedari dan menegur perubahan itu, dan seperti yang pernah kunyatakan sebelum ini, ku akui perubahan itu tidak semuanya baik. Tapi sebagai seorang manusia biasa, aku juga mengakui kelemahanku, aku tahu aku juga tidak sempurna, dan perlu memperbaiki diri tiap saat dan ketika. Terima kasih atas teguran anda semua. Aku hargai teguran itu, kerana dari kalian semua jugalah aku belajar menghargai hidup kurniaanNya ini.

Hargai hidup ini, hargai setiap saat yang kita miliki, kerana ia tidak akan berulang semula. Bukankah yang paling jauh dari kita itu ialah masa yang telah berlalu? Dan yang paling dekat itu ialah maut?

Apabila mengenangkan semua itu, aku akan menarik nafas perlahan-lahan lalu memejamkan mata seketika. Kemudian aku tersenyum dalam mata yang terpejam. Senyum yang penuh rasa syukur. Tika itu, namaNya kusebut di dalam hati. Aku bersyukur kerana diberi peluang untuk hidup hingga saat ini. aku tidak tahu bilakah peluang dan kesempatan ini akan tamat. Aku tidak tahu jangka masa kontrak hidupku yang tersurat dalam ketetapanNya.

Justeru, aku berusaha untuk menghargai semuanya yang ada didepan mataku saat ini. Diri sendiri, keluarga, sahabat handai, rakan taulan, saudara mara dan semuanya. Merasa diri dihargai adalah nikmat hidup yang tidak mampu diluahkan dengan cuma berkata-kata, hanya mampu bersyukur padaNya. Bagaimana untuk bersyukur padaNya? Persoalan itu terlalu besar untuk dikecilkan sempadan jawapannya.

Apa yang dapat kukatakan, berusahalah untuk menjadi hamba yang terbaik mengikut kemampuan diri. Berusaha untuk menjaga dan menghargai nikmat iman dan Islam yang dikurniakanNya. Bersihkan hati sentiasa, perbaiki peribadi, mantapkan amal dan ibadah, dan lapangkan dada untuk segala ketetapanNya. Percaya dan yakinlah, semua ketetapanNya untuk diri kita, tidak pernah sia-sia. Pasti ada hikmah dan pengajaranNya.

Selamat meneruskan perjuangan hidup buat anda semua di luar sana..:)

Wasalam.