Saturday, July 17, 2010

Pengalaman vs Pengajaran Perkhemahan UBF

Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah, perkhemahan unit beruniform baru sahaja selesai dan kami semua yang menyertainya berjaya menamatkan kursus unit beruniform masing-masing dengan rasminya. Meskipun kali ini, lokasi perkhemahan tidaklah sejauh mana, namun banyak perkara baru yang membuka mata hatiku semasa menyertai kursus dalam perkhemahan ini.

Dalam menyertai mana-mana perkhemahan, aku menjangkakan pasti banyak kesukaran dan cabaran yang menanti kerana apabila menyertai sesuatu program, diri kita akan terprogram secara sendiri walaupun keletihan, kemalasan dan kebosanan menguasai diri. Apatah lagi, perkhemahan ini bercorak umum dan melibatkan percampuran agama dan jantina, pasti cabarannya akan lebih besar.

Cabaran awal menanti sejak awal apabila aku menjadi satu-satunya muslimat dalam kumpulan sekawanku beserta seorang muslimin dan selebihnya adalah non muslim. Aku tidak terfikir tentang konsekuen perkara ini semasa tersenarai dalam sekawan ini semester lalu. Dalam perkhemahan sebelum ini juga, aku bernasib baik kerana kami tidak dibahagikan mengikut sekawan, berbeza dengan perkhemahan kali ini. Meskipun majoriti ahli sekawan adalah rakan yang aku kenali dan agak biasa berhubung dengan mereka, ia tetap memberi kelainan apabila menghabiskan masa bersama mereka dalam setiap aktiviti kerana pada masa yang sama, aku percaya, mereka akan memerhatikanku bukan sahaja sebagai ahli sekawan, tetapi sebagai seorang muslim.

Cabaran kedua timbul tatkala pembahagian tapak khemah dilakukan. Oleh kerana tapak bagi pasukan kami dibahagikan mengikut sekawan, sekali lagi aku merasa janggal apabila terpaksa memasang khemah dengan diapit dua khemah kaum adam. Aku semakin berasa tidak sedap hati apabila sekawanku mendapat tapak yang menjadi sempadan khemah kaum adam bagi pasukan unit beruniform yang lain. Seorang rakan berpesan, hati-hati dan jangan buka khemah sesuka hati kerana kedudukan khemahku yang sangat ‘istimewa’ itu.

Mujurlah, banyak aktiviti dijalankan di tapak astaka. Mungkin ada yang tertanya-tanya, kenapa tidak meminta ditukarkan tapak khemah? Aku pasti persoalan itu akan terbit dalam kalangan anda. Sejujurnya, aku percaya semua yang berlaku ada hikmahnya. Mengapa aku ditakdirkan termasuk dalam sekawan itu, dan mengapa tapak khemah kami di situ, pasti ada sesuatu disebaliknya. Justeru, aku lebih gemar mempositifkan diri untuk mempelajari dan mengetahui apakah hikmah itu daripada membuat kontroversi yang mungkin mencetuskan rasa tidak puast hati sesetengah pihak yang akan juga mungkin akan mengatakan aku pentingkan diri dan berfikiran sempit. Selain itu, perkhemahan ini juga sentiasa dipantau oleh para fasilitator yang terdiri daripada pensyarah atau pemimpin setiap unit. Oleh itu, aku percaya selagi aku menjaga batas, Allah pasti menjagaku.

Cabaran seterusnya pula ialah apabila tiba masa untuk solat. Memandangkan dalam sekawan, hanya aku dan seorang adam yang muslim, kami perlu tahu mencari masa agar dapat menunaikan solat. Ada satu masa, saat hari mula merangkak senja, jam hampir menunjukkan ke angka enam, kami masih dengan aktivti kumpulan dan belum menunaikan solat asar. Akhirnya, aku terpaksa meminta maaf dengan mereka dan bergegas menunaikan solat sebelum habis waktu.

Akan bersambung..insyaAllah..