Friday, August 13, 2010

Salam Ramadhan

Bismillahirrahmanirrahim

Hari ini hari ketiga seluruh umat Islam menjalankan ibadah puasa. Syukur Alhamdulillah, masih dipanjangkan usia olehNya untuk sama-sama meraih segala kelebihan yang telah dijanjikanNya dalam bulan yang penuh kemuliaan ini. Kesibukan semakin memagari diri, namun aku tidak sampai hati membiarkan ruangan mayaku ini tanpa perkongsian terbaru. Tanganku gatal untuk menaip. Akhirnya..terhasillah entri ini.

Bulan yang penuh dengan segala satu macam ujian untuk mendidik jiwa. Hari pertama berpuasa, terselit kesayuan didalam hati. Entah kenapa. Mungkin berasa diri terlalu bertuah hingga kerana masih berpeluang melalui hari-hari dalam bulan ini. Mungkin juga terlalu malu denganNya kerana begitu banyak dosa yang telah dilakukan saban hari, masih jua Dia memberikanku peluang membasuh segala kekotoran yang melekat pada diri secara zahir dan batinnya.

Hari kedua berpuasa terasa sedikit ringan di hati meski rasa terkilan wujud di pertengahan hari disebabkan suatu peristiwa. Aku juga tidak tahu kenapa tapi biarlah…bukankah bulan ini akan disediakn bermacam mehnah untuk mendidik hati?. Tatkala melihat wajah-wajah saudara saudari, adik-adik di kampus yang penuh keceriaan, perasaan sayu terhakis sedikit demi sedikit. Mungkin juga kerana pada hari ini, banyak kata-kata motivasi dan semangat yang dapat kukutip dari pensyrah di dalam kelas. “Jika kamu dapat lawan perasaan mengantuk dan malas khususnya di bulan puasa ni, saya percaya, pasti besar ganjarannya..” kata beliau, seorang pensyarah non muslim. Melihat yang berpuasa rata-ratanya kurang bersemangat, beliau menambah, “ Hari-hari pertama berpuasa memang agak macam tu, masuk minggu depan okay sudah tu, badan sudah adaptasi perubahan.” Aku mengiakan dalam hati. Ia mengingatkanku tentang puasa sunat sebelum ramadhan. Andai sudah berlatih dengan berpuasa sunat di bulan Rejab dan Sya’ban, pasti puasa di bulan Ramadhan dapat dilalui dengan mudah. Itulah salah satu hikmah puasa sunat. Aku terfikir juga, jika beliau tahu yang bukan Islam tahu akan kelebihan bulan ini, dan mengakuinya, mengapa ramai umat Islam sendiri yang tidak ingin meraih kelebihan itu? Dan meremehkannya?

Hari ketiga berpuasa, yakni hari ini. Perasaan berat wujud di sanubari. Dan aku masih tidak tahu kenapa. Banyak perkara yang aku tidak fahami. Aku cuba mencari ketenangan, lalu aku menapak kerumahNya. Hanya Dia yang mengetahui segalanya. Tidak ada perkataan mahupun ayat yang dapat menamsilkan apa yang kurasakan. ‘Ya Allah, kurniakan hambaMu ini petunjuk dari ilmuMu..’ pintaku dalam kecamuk perasaan. Sesungguhnya, aku tidak tahu apa yang harus ku fikirkan. Diri sudah terlalu banyak dosa. Berat rasanya tidak terkira. ‘ Ya Allah, kuatkan diriku untuk melalui hari-hari di bulanMu yang penuh mulia ini..’ bisik hatiku lagi. Aku menarik nafas panjang. Mungkin ada sesuatu yang Allah ingin tunjukkan padaku, hatiku berbisik lagi.

Entahlah, itulah kesimpulanku kali ini. Aku tidak tahu. Harapanku, ramadhan kali ini membuka sinar baru dalam hidupku dan keluargaku. InsyaAllah. Dan aku juga berharap agar dapat menziarahi sahabatku, allahyarham Maslizam selepas ramadhan ini. “Sedekahkan fatihah padanya banyak-banyak” ujar kakakku tempoh hari apabila aku berkata aku teringatkannya. Aku belum pernah menziarahi pusaranya sejak pemergiannya. Semoga Allah permudahkan semuanya dan aku mohon juga kepada anda di luar sana untuk turut sama berdoa agar segalanya dipermudahkan khasnya di bulan yang amat mencabar ini.

Selamat menjalani ibadah puasa, dan lapangkanlah hati serta dada kita untuk menghadapi segala kemungkinan di bulan ini. Dan semoga bulan ini memberi sesuatu yang berharga untuk kita jadikan renungan bagi meneruskan perjalanan yang seterusnya.

Salam ramadhan dariku untuk semua.

Assalamualaikum..