Sunday, November 14, 2010

Hati dan Diri

Hujan renyai-renyai yang turun sedari tadi semakin lebat membasahi bumi. Deruan angin sesekali menyapa keras gegendang telinga. Panahan petir sabung menyabung menyentap hatinya yang terasa kerdil dengan segala kejadian alam. Sang makhluk makin mengganas, menuruti perintah Sang Pencipta untuk menjentik hati para hamba bergelar manusia yang semakin tenggelam dan parah dengan penyakit wahan.

Segalanya merupakan tarbiyyah. Dia mengiyakan. Itu kata-kata orang yang jauh lebih baik, jauh lebih tahu darinya.

Seringkali hati terlalai, dan teguranNya sampai tanpa bertangguh. Jiwa bergelodak. Antara tuntutan hati dan fitrah yang berkelahi.

‘Rasanya, makin hari, kau makin baik atau makin jahat?’ hatinya bertanya pada diri. Dia mencongak-congak fikirannya. Cuba mencari jawapan. ‘Entahlah..’jawab diri.

“Buat apa?” tanya sang rakan ketika bertemu di bilik air tadi. Memang menjadi kebiasaan, bila bertemu, akan bertanya soalan yang kadangkala remeh. Sekadar berbasa basi. Dia tersenyum. “Ambil wudhuk” jawabnya jujur.

‘Kau tak takut riak ka jawab macam tu?’ tanya hatinya lagi. ‘Takut juga. Tapi riak tu akan hilang kalau apa yang kita buat tu memang amalan kita. Riak akan hilang kalau istiqamah itu ada’ jawab diri lagi.

“Oh…Nak solatkah?” tanya sang rakan lagi. Solat? Dia merasakan detik masa seakan berhenti seketika. “Taklah..” jawabnya lagi. Juga jujur. Memang dia tidak memasang niat untuk solat, meski hati penuh kuat menegaskan dirinya supaya menyucikan diri sebentar tadi. Soalan itu mengingatkannya pada sesuatu. Usai mengambil wudhuk, kaki diatur menuju ke bilik. Dia diam seketika di hujung katil. Solat. Perkataan itu berlegar di mindanya. Teringat suatu ketika dulu akan kebiasaannya. Sebelum tidur, akan menghadap Sang Pencipta terlebih dahulu. Walau hanya untuk seketika. Agar lenanya lebih damai dan tenang. Agar bangunnya esok pagi lebih segar dan bahagia. Apa sudah jadi? Sibukkah aku? Dia bertanya pada sang hati. Sang hati tidak menjawab.

“ Lewat hari ni. Puasa?” Dia tersentak dengan soalan itu. Lantas kepala digeleng dalam senyuman. Memang dia agak lewat hari itu untuk membeli makanan malamnya. Tidak seperti selalu. Duit bertukar tangan. Teguran berbentuk soalan dari sang penjaga kaunter itu juga bermain di mindanya. Dia menghitung hari. Tersedar bahawa sudah agak lama dirinya tidak mengikat nafsu perut itu. Tidak seperti dahulu. Beratkah pekerjaanku kebelakangan ini? Diri bertanya lagi. Hatinya kembali merindui detik-detik ketenangan ketika menjamah juadah berbuka yang tidak seberapa suatu ketika dulu. Sayup-sayup azan berkumandang, dia akan segera menikmati rezeki yang ada.

Dia tersedar dari lamunnya. Wajah yang masih basah diraup perlahan. ‘Allah..’ hatinya sayu tiba-tiba. Apakah aku makin jauh dariMu? Hatinya dirundung kekesalan. Sejadah yang terhampar di atas katil diperhatikan. Sibukkah aku?Diri bertanya lagi. Sang hati masih tidak mahu menjawab.

“Wah..pandai sudah kau cakap begitu. Siapa pengaruh kau ni?” usik rakan-rakan saat bicaranya terlepas. Tersasar dari landasan yang selama ini diikutinya. Mereka tertawa. Dia juga turut tertawa, namun jauh di lubuk hati, sesuatu sedang berlaku. Kecamuk. Rasa bersalah. Seakan runtuh tembok kendirinya. Tidak sepatutnya itu berlaku. Apa sudah berlaku? ‘Ya Allah..ampunkan hambaMu ini. Janganlah biarkan segala yang telah kulakukan menjadi satu fitnah buatku atau agamaMu. Peliharalah agamaMu dari pandangan serong mereka, peliharalah hatiku…’ Sesak dadanya. Sesak dengan keterlanjuran katanya sebentar tadi.

Dia termenung lagi. Segalanya perlu dijaga. Dari pandangan, pendengaran, pertuturan dan perbuatan. Benarlah, jika hubungan dengan Allah terjaga, hubungan dengan manusia akan turut terjaga.

“Amalan sunat tu akan menampung kekurangan amalan wajib. Umpamanya, yang wajib tu rumah. Hanya rumah, dan yang sunat itu, boleh diibaratkan perabot, cat rumah, hiasan-hiasan lain yang akan memperindahkan lagi rumah kita yang kosong sebelum ini.” kata-kata itu kembali di ingatannya.

‘Kalau yang wajib pun tak cukup sempurna, yang sunat pula makin jauh, macam mana nak berkesan pada diri?’ Sang hati bersuara tiba-tiba. Dia terdiam.

Teguran dariNya datang tanpa cara yang diduga. Hatinya semakin sayu. ‘Allah tegur sebab rindu nak dengar rintihan dari kita. Dia nak selamatkan kita dari kelalaian. Mungkin hari ni, mungkin sekarang, kita makin mengabaikan tuntutan sunatnya, satu hari nanti, dapatkah kita jamin kita tidak mengabaikan tuntutan wajibnya pula? Dapatkah kita menjaga hidayahNya tanpa rahmat dariNya? Allah sayangkan kita, sebab itu Dia tegur kita awal-awal.’ Hatinya berbicara kepada diri.

Ramai yang beranggapan, bila yang wajib dah selesai, sudahlah. Kalau ada masa, barulah buat yang sunat. Kalau ada masa? Walhal masa itu kepunyaanNya. Dapatkah kita menjamin dalam 24 jam yang diberikan, semua yang dilakukan adalah ibadah padaNya? ‘Allah..’ ucap hatinya, lirih.

Betapa manusia itu sombong dengan nikmat Allah. Betapa manusia itu terlalu mengagungkan sang makhluk sampai tak nampak pada Sang Pencipta. Betapa selama ini, manusia mengagungkan cinta dan sayang sesama makhluk, sampai tak nampak kasih, cinta dan sayang Yang Maha Penyayang, Maha Pengasih. Bila ditegur olehNya, buat-buat tak nampak, buat-buat tak tahu. Sungguh banyak pengajaran yang diperlihatkanNya, kerana ingin menegur hambaNya yang semakin lalai, agar kembali kepadaNya, sentiasa dalam ketaatan padaNya, namun hamba bergelar manusia masih membelakangkanNya. Nauzubillahminzalik. Jangan sampai kita tergolong dalam golongan itu…jangan..aku tidak rela, pinta hatinya. Apapun yang jadi, biar kita sentiasa dalam usaha untuk mentaatiNya, sedaya mungkin..pinta hatinya lagi.

‘Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidup dan matiku, kuserahkan hanya kepada Allah, Rabb sekalian alam’

Friday, November 12, 2010

Penjelasan

Assalamualaikum

Dalam entri sebelum ini (Buka Mata), beberapa orang saudara memberikan respon masing-masing dan berikutan itu, tidak mustahil ada yang tertanya-tanya mengapa ia berbaur kemarahan? Siapa yang sebenarnya aku maksudkan dalam entri itu. Bagi mengelakkan sebarang kekeliruan mahupun spekulasi negatif, dengan hati yang terbuka inginku jelaskan semuanya semudah mungkin.


Entri tersebut bersifat umum. Aku tidak menujukan kepada individu tertentu, tetapi untuk sebilangan besar orang yang berada di sekelilingku yang mana semakin hilang panduan dalam berbicara menggunakan bahasa yang baik. Dan benteng kesabaranku mudah rapuh bila suasana itu melingkari persekitaranku, khasnya orang yang rapat denganku. Aku terkilan kerana ramai antara kita semakin kehilangan adab dan agama dalam diri, sehingga tidak ada batasnya dalam setiap perlakuan dan pertuturan. Harap ianya dapat difahami, dan pintaku pada semua ‘hentikanlah berprasangka buruk pada orang lain’.

Banyak lagi sebenarnya yang ingin kukongsi ketika ini, namun aku merasakan masanya belum sesuai dan aku masih memerlukan ruang untuk berfikir tentang bagaimana untuk menyampaikan apa yang ingin dikongsikan.

Memandangkan cuti akhir semester bakal menjelma, banyak perkara yang perlu dirancang untuk memastikan cuti tidak berlalu dengan sia-sia. Justeru, selamat merancang kepada semua di luar sana.

InsyaAllah, dalam entri seterusnya, akan kukongsi secebis pengalaman sepanjang semester ini yang amat mencabar namun bermakna bagiku. Harapanku, ia dapat menjadi pengajaran kepada kita semua.

Tuesday, November 9, 2010

Rasulullah selalu berlapar

Aisyah r.h.a berkata, “Tidak pernah keluarga Rasulullah s.a.w kenyang makan roti gandum tiga hari berturut-turut sejak baginda datang di Madinah sehingga baginda meninggal dunia.”

Suatu riwayat yang diberitakan oleh Abu Nu’aim, Khatib, Ibn Asakir dan Ibn al-Najjar daripada Abu Hurairah r.a, dia berkata, “Aku pernah datang kepada Rasulullah ketika baginda sedang bersembahyang duduk, maka aku pun bertanya kepadanya : ‘Ya Rasulullah! Mengapa aku melihatmu bersembahyang duduk, apakah engkau sakit?’ Jawab baginda : ‘Aku lapar, wahai Abu Hurairah!’ Mendengar jawapan baginda itu, aku terus menangis sedih melihatkan keadaan baginda itu. Baginda merasa kasihan melihat aku menangis, lalu berkata : ‘Wahai Abu Hurairah! Janganlah menangis, kerana beratnya hisab di hari kiamat tidak akan menimpa orang yang hidupnya lapar di dunia jika dia menjaga dirinya semasa hidup di dunia.”

Petikan ruangan Assamualaikum Ya Rasulullah, ms 1 (SOLUSI ISU 14).


Sekadar renungan untuk kita yang dilimpahi nikmat makanan setiap hari. Boleh dikatakan diulit kekenyangan saban hari. Terfikirkah untuk melalui kehidupan sepertimana baginda dan ahli keluarganya?

Dalam limpahan nikmat tersebut, masih ramai di antara kita yang masih mengeluh dan memprotes soal makanan, seakan tidak pernah bersyukur dan menghargai pemberian rezeki dariNya.

Semakin hilang erti syukur itu dari hidup manusia kerana pandangan mata hati semakin dikelabui nafsu yang tidak pernah mengenal erti cukup atau puas dengan apa yang ada.

Fikir-fikirkanlah..renung-renungkanlah..apakah masih ada rasa syukur itu bertapak di hati.

Monday, November 8, 2010

Buka mata

Bismillahirrahmanirrahiim.


Mulut. Akal. Tangan. Kaki. Lidah. Otak. Macam-macam lagi nikmat yang Allah bagi, apa kita dah guna sebaiknya?

Hari ini aku ingin sentuh bab tutur kata. Aku tidak habis fikir, (tidak habis pikiran kata orang seberang), kenapa ramai orang zaman sekarang tidak tahu menggunakan bahasa yang baik bila berbahasa dengan orang lain. Tidak habis-habis. Apa tidak pernah diajar untuk bercakap yang baik-baik? Atau di dalam fikiran, dalam hati memang sudah diprogramkan untuk mengeluarkan bicara yang kurang sopan, kasar dan menyakitkan hati orang?

Kebelakangan ini, aku semakin kerap berdepan dengan orang-orang seperti ini. Orang yang belum menjadi manusia. Maafkan aku kerana berkata begitu, tapi itulah hakikatnya. Bukan manusia namanya kalau tidak berbicara seperti layaknya seorang manusia.

‘Kau sudah jadi manusia yang cukup baikkah?’ Aku pasti ada orang yang akan mengeluarkan pertanyaan itu. Aku mengaku sejujurnya, aku bukanlah manusia yang cukup baik untuk layak berada sebaris dengan para sahabat nabi atau para alim ulama. Tapi kenapa perlu persoalkan kelemahan seseorang yang lain sampai tak nampak kelemahan diri sendiri? Semut di seberang lautan boleh nampak, tapi gajah di depan mata buat-buat tak nampak.

‘Kau marah?’

‘Rileklah, kau kan orang yang ‘penyabarrr’’. Itu satu penyejukan amarah atau sindiran sinis, aku sendiri tidak tahu.

Sabar pun ada hadnya, ada batasnya. Jangan langkau kesabaran yang sudah dibatasi sekian lama. Apa tidak boleh marah pada orang yang berbicara ikut sedap mulut, tanpa fikir baik buruknya apa yang dikatakannya? Dan ingin kutegaskan, apa yang ku maksudkan bukan hanya yang bercakap di mulut, tapi juga yang bercakap melalui tulisan tangan, tidak kiralah di mana, facebook, emel, blog dan sebagainya.

Kalau nak sangat sakitkan hati orang, menzalimi orang, fikir..fikir..fikir dan fikirlah sampai tak mampu nak fikir, kenapa mesti buat begitu. Hari ni hari dia, hari depan nanti, mungkin hari kamu pula.

Bila nak buat baik pun dipandang serong, berbuat jahat lagilah dipandang serongsempitkan. Jadi, apa yang sebenarnya hendak dibuat untuk puaskan hati-hati orang seperti ini?

Kalau ingin menegur, tegurlah dengan cara yang baik, dengan kata-kata yang baik. Insan-insan yang ingin memperbaiki diri, tidak semuanya memiliki kekuatan jiwa dan mental yang utuh. Perkataan, ucapan dan teguran dengan kata-kata berbisa boleh saja menjatuhkan mereka. Cuba tengok diri sendiri, cari kelemahan sendiri sebelum menuding jari memperbesarkan kelemahan orang lain.

Sekali lagi aku tegaskan, aku tahu aku tidak sebaik mana, tidak sehebat mana untuk menegur anda yang hebat di sana. Tapi tolonglah, tundukkan hati yang sombong tu pada Yang Maha Mengetahui segala isi hati hambaNya. Mulut yang ada, gunakanlah untuk bercakap perkara yang perlu, perkara yang baik, bukan untuk menjatuhkan orang lain kerana hasad dengki yang bertapak nun jauh di dalam sanubari. Tangan yang sihat dengan sepuluh jari, gunalah untuk perkara yang sepatutnya.Bukan untuk menulis perkara yang cuma mengecilkan hati orang lain, menyuntik amarah dalam diri orang lain, cuma kerana tidak puas hati dengan orang itu. Kalau niat dan usaha yang baik pun dipandang sebaliknya, di mana lagilah ruang untuk memperbaiki orang-orang yang semakin parah seperti kalian?

Aku tidak mahu memikirkan perkara ini terus-terusan tapi aku tetap dikelilingi perkara ini. Satu demi satu, seorang demi seorang mula menunjukkan taring. Aku minta maaf untuk berkata seperti ini, aku tidak berniat untuk menyinggung mana-mana pihak, tapi bak kata pepatah, siapa makan cili, dia terasa pedasnya. Jadi kepada sesiapa yang terasa pedas, aku ingin mengajak kalian untuk turut sama-sama merenungi diri, apa kita sudah cukup sempurna untuk menidakkan usaha orang lain untuk berubah? Apa diri sendiri sudah cukup baik? Kenapa mesti tidak berpuas hati dengan usaha orang lain untuk memperbaiki diri, dan usaha untuk bercakap tentang sesuatu yang diharapkan memberi manfaat?

Minta maaf sekali lagi. Aku juga manusia biasa, ada rasa marah, ada rasa sensitif dan kecil hati. Tidak semestinya, bila aku menulis, berkata-kata, dan berbuat itu dan ini, aku ingin menunjukkan diri aku baik. Tidak sama sekali, jauh sekali untuk membangga diri. Ia hanya tuntutan hati yang inginkan perubahan yang lebih baik pada diri dan persekitaran. Kalau ada yang tidak berpuas hati, sila jumpa berdepan denganku. Jangan peralatkan situasi atau sesiapa yang berada disekelilingku.

Sayangilah diri masing-masing. Hargai nikmat Allah, dan gunakan sebaik mungkin untuk kebaikan. Jangan asyik memperkatakan orang lain yang ingin berubah, sedangkan pada diri semakin jelas kelihatan kelemahan itu. Cubalah bagi sokongan, bukankah itu lagi baik?

Sekali lagi ku pinta, gunakanlah nikmat yang dikurniakan Allah dengan sebaiknya. Lidah itu tidak bertulang, mungkin sebab itulah ia lebih berbahaya daripada sebilah pedang. Jangan sampai nikmat itu ditarik balik, barulah sedar akan perbuatan-perbuatan selama ini.

Minta maaf sekali lagi. Aku hanya ingin menegur, bukan ingin menyakiti. Bukalah mata dan renungilah diri sendiri untuk mencari kelemahan diri supaya boleh diperbaiki, sebelum memperkatakan kelemahan orang lain.


Assalamualaikum.