Tuesday, December 15, 2009

Mungkin Kita Lupa

Saat ku membaca beberapa artikel mengenai isu khilaf dalam Islam seketika tadi, aku tertarik kepada empat isu terbesar umat Islam yang semakin tenggelam dek isu khilaf yang makin berleluasa masa kni. Empat isu itu ialah gejala murtad, umat Islam Palestin, gejala sosial, dan keperluan ilmu pengetahuan dalam kalangan umat Islam.
Memang menyedihkan bila majoriti umat Islam masa kini hanya sibuk berdebat isu khilafiyyah hingga lupa tentang perkara yang lebih besar melanda umat ini yang berlanjutan sekian lama. Antara amalan yang diperdebatkan ialah qunut Subuh, zikir berjemaah selepas solat, tahlil, sambutan Nisfu Syaaban, sambutan maulid Rasul S.A.W. dan sebagainya.
Pengetahuanku dalam agama tidaklah sedalam mana, justeru itu aku tidak mampu memberikan jawapan samaada semua amalan tersebut salah atau tidak. Padaku, selagi mana amalan tersebut memberi kebaikan kepada semua umat Islam, ia wajar diamalkan. Semakin membimbangkan apabila sesetengah golongan tertentu menggunakan isu ini untuk menjatuhkan Islam, kerana pada mereka inilah bukti yang menunjukkan Islam sangat rumit dan menyusahkan manusia. Padaku, khilafiyyah yang terjadi adalah kerana kita tidak memiliki ilmu setinggi yang dimiliki oleh para ulama muktabar. Para ulama muktabar mengemukakan pendapat yang berbeza kerana mereka melihat perkara tersebut jauh lebih kehadapan dengan pemahaman yang berbeza.
Berkata Imam Jalaluddin al-Sayuti:Sesungguhnya ikhtilaf (perselisiahan) di antara mazhab-mazhab di dalam agama ini adalah nikmat yang besar dan kurniaan yang hebat. Di sana terdapat hikmah yang hanya dapat dilihat oleh orang-orang yang berilmu. Manakala orang-orang yang jahil tidak mampu melihatnya. Bahkan aku (Imam al-Sayuti) pernah mendengar sesetengah golongan yang jahil berkata: Nabi S.A.W. datang dengan syariat yang satu, dari manakah datangnya mazhab yang empat?
Isu ini memberi impak yang amat besar terhadap penerimaan dan pemahaman masyarakat khususnya golongan yang dahagakan ilmu agama. Pencarian agama melalui jalan pintas memungkinkan mereka memahami Islam dari persepsi yg berbeza. Apa yang menakutkan ialah apabila isu khilafiyyah ini dijadikan isu aqidah antara sesama mazhab.
Mungkin kita terlupa sejarah yang berlaku pada 1950 apabila agama menjadi agenda besar yang membawa kepada rusuhan masyarakat ketika itu. Berbalik kepada isu-isu besar umat Islam masa kini, aku teringat kepada isu Natrah yang berjaya membangkitkan umat Islam di Malaysia pada 1950an dahulu. Air amataku menitis apabila aku membaca kisah tersebut. Jika aku tidak silap, lebih kurang 18 orang terbunuh semasa rusuhan yang dikenali Rusuhan Natrah yang berlaku pada 12 Disember 1950. Natrah yang merupakan seorang Islam setelah menjadi anak angkat kepada keluarga Che Aminah, seorang pedagang yang berasal dari Terengganu, yang sering berdagang ke luar termasuklah Jawa iaitu tempat Natrah dilahirkan. Namun perebutannya dengan keluarga asal yang merupakan rakyat Belanda menjadi isu kebangsaan malahan antarabangsa kerana ia juga melibatkan negara luar. Natrah dipaksa pulang ke Belanda dan dikristiankan semula setelah kesnya kalah pada perbicaraan pada Disember 1950, kerana undang-undang sivil ketika itu mengatasi undang-undang syariah meskipun melibatkan isu agama. Kesungguhan peguambela beliau, Dr Ahmad Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Prof Emeritus Ahmad Ibrahim untuk menegakkan undang-undang syariah dalam kes beliau seharusnya menjadi pengajaran kepada kita semua, khususnya hari ini.
Jika diteliti, isu murtad dahulu begitu serius sehingga melibatkan rusuhan beramai-ramai dan ia mndapat perhatian ramai pihak. Bgtu sukar untuk memurtadkan Islam dahulu kala namun senarionya hari ini, ramai secara sukarela keluar daripada Islam. Persoalannya, dimanakah jati diri sebagai seorang Islam jika melihat kepada semua perkara ini, sejak dahulu hingga sekarang?
Tepuk dada, tanya hati masing-masing.
Kpda yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai isu ini, ku sarankan anda membuka mata hati dan minda untuk menyelami penderitaan Natrah yang dipaksa untuk menjadi kristian semula meskipun hatinya masih tetap kepada Islam.
Ku pohon maaf andai coretan kali ini menyinggung mana-mana pihak, aku hanya menyampaikan sesuatu yang ku kira wajar untuk dibuat renungan bersama dengan berdasarkan ilmu yang sedikit.
Sehingga bertemu dalam luahan pandangan di masa akan datang. Assalamualaikum..