Monday, March 22, 2010

All Children Are Special

All Children Are Special


Bismillahirrahmanirrahiim..

Setujukah anda dengan pernyataan di atas? Semua kanak-kanak adalah istimewa. Padaku, ia memang benar. All children are truly special. Kenapa? Fikirlah dan jawab untuk diri sendiri.

Menyingkap kembali perjalanan hidup selama ini, aku tidak pernah menyangka aku bakal menjadi seorang guru, guru prasekolah pula tu. Yang mana terpaksa menghabiskan waktu dengan kanak-kanak yang hanya tahu bermain dan menyeronokkan hati. Kanak-kanak mudah sebenarnya untuk masuk ke dunia dewasa, kerana itu mereka mampu berlakon dengan baik dalam aktiviti sosiodrama. Misalnya, menjadi superman yang menyelamatkan orang, bermain masak-masak, atau main polis pencuri.

Namun, bagi seorang yang jauh lebih ‘tua’ umurnya, bukan mudah untuk masuk ke dunia kanak-kanak. Contoh paling mudah, apabila melakukan amali atau mikro teaching, seorang ‘tua’ kena berlakon jadi kanak-kanak. Dan hasilnya, tidak semua orang mampu melakukannya. Ada juga yang berkata, “Ah..kerja budak-budak” atau “Tak pandailah aku nak masuk”. Mengapa terjadi seperti ini? Fikirlah dan jawablah untuk diri sendiri.

Senario seperti itu menyedarkanku bukan mudah mendidik anak kecil kerana kita harus kembali ke zaman kanak-kanak, supaya dalam masa yang sama boleh menjadi model kepada mereka. Kita harus faham kenapa mereka berkata begitu dan begini, berbuat begitu dan begini dan apa sebenarnya yang mereka imaginasikan. Untuk itu, kadangkala terpaksa menjadi kanak-kanak semula. Kena bercerita perkara yang tidak masuk akal pada pandangan kita, kena membayangkan perkara yang tidal logik, dan kena berbahasa mengikut tahap kemampuan mereka berbahasa.

Namun, biarpun sesetengah daripada kalangan yang ‘tua’ memperlekehkan kata-kata kanak-kanak, kita tidak sedar sebenarnya mereka memberi kita banyak pengajaran dalam kehidupan seharian. Apa yang mereka fikirkan, tuturkan dan lakukan adalah cermin kepada peribadi kita yang mendidik mereka. Pernyataan ini kutujukan buat semua secara umum, dan kepada ibu bapa serta pendidik secara khususnya. Kenapa? Seperti yang biasa kita dengar, anak-anak ibarat kain putih, kitalah yang mencorakkannya. Kanak-kanak belajar melalui peniruan. Pembelajaran mereka seharian dipengaruhi oleh banyak perkara, bermula di rumah hinggalah ke sekolah. Biasanya, mereka bertutur mengikut apa yang didengar di rumah. Jika si bapa dan ibu sering bertengkar dan mengeluarkan kata-kata kesat, tidak mustahil anak kecil itu akan menggunakan kata-kata kesat dalam pergaulan seharian. Jika ibu dan bapa berbiicara dengan sopan, pasti anak akan terdidik dengan bahasa yang baik. Begitu juga di sekolah. Pemikiran kanak-kanak berkembang melalui interaksi sosial. Sebab itu, ada antara kanak-kanak yang tahu menegur ibu bapanya jika mereka memperkatakan perkara yang salah.

Namun, apa yang penting ingin ku kongsikan di sini ialah perbualan seorang Mak Usu (MU-bukan Manchester United ya..) dengan anak buahnya yang berusia 3 tahun bernama Zaqwan.( Kisah benar ni tapi dah diolah dengan tidak mengubah maksud ayat..)

Zaqwan : Usu, kenapa Allah bagi hujan? (dengan sebutan yang masih pelat. )

MU: Sebab Allah nak bagi sejuk. Kan panas ni.

Zaqwan : Kenapa Allah nak bagi sejuk?

MU : Macm Zaqwan juga, kalau panas mesti nak sejuk kan?

Sang ibu menyampuk, “ Allah bagi hujan supaya pokok dapat minum. Pokok pun kena minum, macam Zaqwan”.

Zaqwan : Kenapa pokok mesti minum?

MU: Supaya pokok ada tenaga. Macam Zaqwan, kalau tak minum, rasa letih kan?

Zaqwan : Kenapa mesti ada tenaga?

MU dan Sang Ibu terdiam, tidak tahu hendak menjawab apa. Jika anda berada di tempat mereka, dapatkah anda menjawabnya. Zaqwan adalah salah seorang daripada kanak-kanak di dunia ini yang penuh dengan tanda tanya tentang itu dan ini. Kerana itulah orang yang lebih ‘tua’ harus bijak menjawab persoalan mereka. Pada peringkat kecil inilah mereka mudah untuk menyerap segala ilmu yang disampaikan dan itulah yang menjadi sebab mengapa ulama-ulama terdahulu hebat sejak masih muda, kerana mereka terdidik dengan baik sejak kecil, malahan sejak belum lahir ke dunia.

Kesimpulannya, memang semua kanak-kanak adalah istimewa kerana mereka dapat membuatkan kita terfikir perkara yang tidak pernah terlintas difikiran sebelumnya. Justeru, jika ditanya adakah aku menyesal menerima tawaran menjadi seorang guru prasekolah, jawapanku, ‘insyaAllah, aku tidak menyesal’..