Friday, March 26, 2010

Muhasabah diri dan kehidupan

( Ini kisahku. Aku menulis kisah ini bukan suka-suka. Sejak dulu, ramai yang berkata rapat denganku tapi tidak mengenaliku, seakan tidak mengetahui tentangku kerana aku tidak suka bercerita tentang kisah hidupku dan latar belakangku. Aku gemar mengimbau kembali semua kisah hidupku sebagai cara untuk memuhasabah diri sendiri. Mengenang kembali betapa banyaknya kurnia dan nikmat Allah padaku, betapa indahnya saat bila kita merasa Allah itu ada untuk kita tidak kira bila dan di mana jua, betapa Allah cukup menjagaku selama ini sehingga dalam keadaan aku alpa sekalipun..dan betapa tidak cukup aku bersyukur, sentiasa melanggar perintahNya dalam usaha mentaatiNya, dan betapa teruknya aku dalam menunaikan segala kewajipan sebagai hambaNya. Mungkin ada lagi insan lain yang melalui perjalanan yang lebih teruk dariku, dan ada yang merasa perjalananku tidak seberat mana. Terpulang pada anda untuk menilainya. Aku berkongsi sebahagian kisahku untuk membawa anda semua bermuhasabah diri kerana kadangkala kita diberikan segalanya dengan cukup sempurna dan baik, tapi tidak ingin melihat itu sebagai ujianNya, dan lupa untuk bersyukur dan berterima kasih padaNya serta selalu lalai mengingatiNya. Dan bagi sesiapa yang berkata tidak mengenaliku, aku berharap kisahku ini boleh menjawab persoalan mengapa tidak mengenaliku..hehe)


Aku sering terfikir, kenapa aku lahir di dunia. Jauh di sudut hatiku, ada suara yang mengatakan Allah tidak menciptakan sesuatu dengan sia-sia. Justeru, hatiku berkata lagi, pasti aku diciptakanNya, diberikanNya peluang bernafas di bumi ini sehingga hari ini dengan bersebab. Mesti ada sebab. Bukan sebagai suatu ciptaan yang tak bertujuan.

Mengimbau zaman kanak-kanak, tidak semuanya diwarnai keceriaan, warna warni kehidupan. Bergaduh, berkelahi dengan rakan sehingga dibawa kepada guru besar merupakan sejarah yang paling ku ingati sehingga kini. Aku tidak takut ketika itu kerana aku tahu aku tidak bersalah. Kisah budak-budak….Ia memberi pengajaran yang sangat besar dalam hidupku. Ada satu ketika, hatiku tidak tenang. Aku tidak ingat berapa umurku ketika itu. Hatiku meronta pada sesuatu yang aku sendiri tidak ketahui apakah ia. Lantas dalam kebisingan suasana di rumah ketika itu, di tengah ruang tamu, aku solat. Aku tidak tahu aku solat isyak atau maghrib, aku juga tidak ingat sama ada aku sudah berwudhuk atau belum ketika itu. Apa yang pasti, hatiku meronta-ronta, dan ianya tenang semula selepas solat. Aku tidak mengerti apa-apa pada ketika itu. Seingatku, selepas solat, aku sambung bermain dengan adik beradik dan sepupu yang lain.

Pada zaman kanak-kanak juga, aku tidak mengerti kenapa agama berbeza. Bila rakan sekelasku yang non muslim berkata, “Tuhan ada satu saja ba..”, aku mengiyakan. Aku tidak faham kenapa mereka berkata tidak ada bezanya antara agama kerana menyembah Tuhan yang sama. Setiap hari apabila ke sekolah, aku akan melintasi sebuah gereja. Tertulis di ‘sign board’ gereja itu, “ Gereja Yesus Benar”. Selalu aku berfikir ketika itu, ‘kenapa tulis macam tu? adakah gereja Yesus yang tak benar?’. Dan aku pernah bertanya perkara itu kepada rakanku sekelasku juga tapi mereka berkata, “ Nama saja, semua gereja benar”. Jika ku ingat semula, betapa mereka sejak kecil ditekankan dengan kepercayaan agama dan kebenaran gereja yang kuat. Sepanjang waktu persekolahan di sekolah rendah itu, hanya 2 atau 3 hari aku akan ke masjid kampung untuk belajar mengaji, berbeza dengan melihat gereja setiap hari apatah lagi gereja bersebelahan dengan sekolah. Mungkin itulah juga yang menjadikan hatiku sentiasa terfikir dan mencari agama, kerana terdedah dengan nilai dua agama yang berbeza dari kecil hinggalah masuk ke sekolah menengah, yang mana sekolah menengah itu juga merupakan sekolah gereja. Nama pun SM Saint….namun , dalam masa yang sama, aku bersyukur kerana dengan itu semualah aku dapat melihat satu persatu perkara yang membuka mata hatiku.

Beranjak ke alam remaja, hatiku semakin memberontak. Keadaan kehidupan yang agak sempit sesekali membuatkanku tidak puas hati. Aku berkawan dengan ramai orang. Pergaulanku semakin meluas dan bebas. Aku berkenalan dengan ramai orang. Sifat rendah diriku semakin menyerlah kerana aku merasakan mereka semua orang-orang berkemampuan, tidak sepertiku. Sifat itu membuatkanku lebih senang bergaul dengan orang yang sama waktu denganku. Namun hakikatnya, aku berkawan dengan semua orang yang berbeza latar dan perangai. Pelajar bermasalah, pelajar nakal, pelajar baik, junior, senior, semua menjadi rakanku. Bila ada rakan baruku berkata, mereka pernah membakar sekolah sebelum berpindah ke sekolah yang sama denganku, aku tidak merasa takut. Bila mereka digelar samseng sekolah, aku masih berkawan dengan mereka. Padaku, istilah ‘samseng’ yang dilabel pada mereka tidak menunjukkan diri mereka yang sebenarnya. Jadi aku tidak kisah berkawan dengan mereka.

Dalam masa yang sama, meskipun pergaulanku semakin luas, masih ada suara dalam hati yang mengawal tindak tandukku. Masih ada suara yang mengingatkanku tentang solat, belajar, ulang kaji, jaga nama ibu bapa dan jaga batas pergaulan serta belajar mengaji sendiri. Kadangkala, aku memberontak, kenapa suara itu sering muncul, melarangku membuat itu dan ini. Betapa jahilnya diriku. Bila tiba waktu PI, dan ustazah menyuruh membaca ayat hafazan, aku akan mengelak dan meminta rakan lain yang ‘lebih pandai’ membacanya, kerana aku tidak dapat membaca al-Quran dengan baik. Namun, keanehan berlaku apabila acapkali markahku lebih baik dari yang lain walau dalam subjek PI. Begitu juga apabila aku mudah tertarik dengan program keagamaan. Dan pertama kalinya, aku menyertai kursus kepimpinan al-Falah sewaktu tingkatan 4. Tinggal di hotel, semuanya ditanggung dengan fasi dan urusetia yang hebat-hebat, namun aku tidak tahu apa yang ku perolehi. ketika itu. Sewaktu malam penghayatan, aku tidak menangis, tapi aku rasa sedih apabila mereka memasang lagu Siti Khadijah semasa minum malam. Sejak itu aku mulai meminati nasyid. Aku juga ingat lunaknya suara seorang ustaz yang memimpin bacaan zikir, sayangnya aku tidak ingat siapa namanya. Distulah aku belajar apa itu zikir munajat....


InsyaAllah..akn bersambung..