Sunday, April 25, 2010

Bisikan Kalbu


"Ya Allah, kurniakanlah daku perasaan cinta kepada-Mu,
dan cinta kepada orang yang mencintai-Mu,
dan apa sahaja amalan yang menyampaikan daku pada cinta-Mu."


"Ya Allah, jadikanlah Cinta-Mu itu lebih aku hargai
daripada air sejuk bagi orang yang kehausan."


"Ya Allah, sesungguhnya aku memohon Cinta-Mu,
dan cinta orang yang mencintai-Mu
serta cinta yang dapat mendekatkan aku kepada Cinta-Mu."


"Ya Allah, apa sahaja yang Engkau anugerahkan kepadaku
daripada apa yang aku cintai,
maka jadikanlah ia kekuatan
untukku mencintai apa yang Engkau Cintai."


"Ya Allah, dan apa sahaja yang Engkau singkirkan
daripada apa yang aku cintai,
maka jadikanlah ia keredhaan untukku
dalam mencintai apa yang Engkau Cintai."


"Ya Allah, jadikanlah Cinta-Mu
sesuatu yang paling aku cintai
daripada cintaku kepada keluargaku,
hartaku dan air sejuk pada saat kehausan."


"Ya Allah jadikanlah aku mencintai-Mu,
malaikat-Mu, Rasul-Mu,
(serta) hamba-Mu yang soleh."


"Ya Allah, hidupkanlah hatiku dengan Cinta-Mu,
dan jadikanlah aku bagi-Mu
seperti yang Engkau Cintai."


"Ya Allah, jadikanlah aku mencintai-Mu
dengan segenap cintaku
dan seluruh usahaku demi keredhaan-Mu."


Amiin.. Ya Rabbal 'Aalamiin.

**(Hadis riwayat At-Tirmizi:
Nabi Muhammad s.a.w. bersabda:
'Inilah du'a yang biasa dipohon oleh Nabi Daud a.s.'.)



http://coretanfisabilillah.blogspot.com/

Muhasabah diri dan kehidupan ( Part II)

( Ini kesinambungan cerita yang telah kumulakan tempoh hari..semoga ia memberi manfaat buat sesiapa jua yang membacanya)

Dan dalam masa pergaulanku bebas itu, hatiku akan sakit dan risau bila ada waktu-waktu solat fardhu yang tertinggal. Ustaz kata, rajin buat solat hajat, solat tahajud, solat istikharah supaya terang hati duduk exam. Ustaz ustazah selalu mengulang perkara tersebut. Dalam hati aku ingin sekali melakukannya, tapi aku tidak tahu bagaimana. Aku kagum melihat ustaz menerangkan sesuatu dengan sokongan ayat-ayat al-Quran, dan hatiku sentiasa bertanya, macam mana ustaz boleh ingat semua ayat itu?

Ketika itu, aku boleh dikatakan menjadi budak nakal, namun di dalam hatiku masih ada suara itu yang mengawalku. Aku sentiasa merasa diperhatikan oleh sesuatu. Sesekali, aku terumbang-ambing, tidak tahu arah tujuan. Aku masih ingat, seorang hamba Allah menegurku tentang cara berpakaian. Dan satu waktu lain pula, seorang hamba Allah lagi, menegurku tentang bahasaku, cara pertuturanku. Pda masa itu, memang darah tersirap tapi sebaliknya bila ku kenang kini, aku bersyukur dengan semua teguran itu. Aku percaya teguran itu dari Allah yang ingin menyelamatkanku dari terus menerus dalam ‘keterumbang-ambingan’ kehidupan.

Banyak peristiwa berlaku dalam kehidupanku sehingga aku merasa tidak keruan. Ada sesuatu yang kosong di hatiku. Sekejap aku merasa gembira, kemudian kesedihan itu terbit semula tanpa aku ketahui puncanya. Aku merasakan semuanya hipokrit. Semuanya palsu didunia ini. Berpura-pura adalah sikap manusia. Itu pandanganku . Suasana yang kulalui selama tempoh itu, mempengaruhi segala sikapku. Dan kuakui, sehingga kini, banyak peristiwa yang kulalui dahulu membentuk peribadiku kini. Suasana keluarga terutamanya. Membesar dengan didikan tegas bapaku, yang tidak segan silu menghambat punggung sesiapa sahaja yang menaikkan darahnya dengan tali pinggang atau ranting kayu, menyaksikan adik yang dirotan hingga tak mampu menangis, jika ku kenang kini, aku yang sedih, aku yang terasa betapa sakitnya pukulan yang adik rasakan. Melihat depan mata sendiri pergaduhan ibubapa, berdepan dengan sikap ahli keluarga yang kadangkala tidak masuk akal, sikap saudara mara lain yang menuntut kesabaran yang amat tinggi membuatkan aku selalu berfikir, kenapa aku perlu berada dalam keadaan ini? Semua ini seringkali menekan aku. Aku tidak ingin menyalahkan ibu bapaku kerana aku tahu mereka sedaya upaya menjadi ibu bapa yang terbaik untuk kami adik beradik. Aku juga tidak ingin menyalahkan takdir, jauh sekali mempertikaikan ketentuan Allah buatku, kerana semua pengalaman itulah yang menjadikanku melihat dunia penuh kesakitan, kepalsuan dan kepura-puraan. Akhirnya, sedikit demi sedikit, semua kepahitan itu menghakis tawa dan ceriaku untuk berada di rumah. Namun, hakikatnya, aku sangat sayangkan keluargaku. Sangat-sangat sayang pada mereka semua. Adik bongsuku pernah berkata yang berbunyi lebih kurang seperti ini, " Nda pa la kita miskin, yang penting kita tetap sama-sama.." Dia masih kanak-kanak kecil yang padaku belum mengerti apa-apa tapi kata-katanya sangat menyentuh hatiku. Aku juga sering teringat kata-kata adik sulungku yang menawarkan diri untuk berhenti sekolah kerana kesempitan yang melingkari kami, dan kata-kata itu membuatkanku berfikir, sejauh mana aku bersyukur kerana dapat bersekolah sehingga tahap ini? Emak juga pernah berkata, andai dia berpeluang untuk bersekolah, dia akan bersekolah setinggi mungkin. Bila aku berkata, perbelanjaan besar diperlukan untuk menyambung pelajaran selepas tingkatan 5, dia berkata lagi,.."Yang penting belajar bagus-bagus. Soal duit bukan urusan kamu.." Bila aku teringat semua itu, hatiku tersentuh..

Perpindahan ke sekolah baru sewaktu tingkatan 6 membuka dimensi baru dalam hidupku. Aku bertemu dengan rakan-rakan baru. Salah satunya seorang yang cukup mementingkan nilai agama. Satu demi satu persoalan aku ajukan dan dia kupaskan semuanya sehingga dia menjadi pusat rujukanku ketika itu. Hingga satu hari, seorang rakan lain ingin memasangkanku dengan seorang pelajar lelaki, rakan agamaku ini melarang kerana katanya, “..jangan..’xxx’ tu bukan Islam, cari yang Islam..” Bila ku ingat kembali (aku diceritakan oleh rakan yang ingin memasangkanku) aku tertawa sendiri. Kisah zaman sekolah…Aku tidak tahu bagaimana untuk mengucapkan terima kasih pada rakan ini kerana dia menjagaku seperti adiknya sendiri. Walaupun kini, aku tidak berjumpa dengannya lagi, aku sentiasa mendoakannya, agar Allah sentiasa meredhai dan memudahkan perjalanannya.

Aku semakin berjinak-jinak dengan agama..mulai rajin membaca buku agama..berusaha mempelajari dan memahami serba sedikit tafsir ayat al-Quran. Menyedari betapa jauhnya aku dari Allah selama ini, sebelum ini, membuatkan air mata sekalipun tidak mampu untuk dikeluarkan lagi. Mengenangkan betapa jahilnya diriku sebelum ini, membuatku merasa betapa ruginya masaku selama ini. Apatah lagi bila teringat kehidupan di dunia ini sangat singkat dan boleh ditarik bila-bila masa...sedangkan banyak masa yang dipinjamkan sebelum ini banyak dipersiakan begitu sahaja. Tatkala memandang ada hamba Allah yang mengalunkan kalamNya dengan penuh syahdu di mana-mana masjid, aku sangat cemburu. Apatah lagi melihat anak kecil belajar agama disekolah-sekolah agama berhampiran. Terbit persoalan, kenapa aku tidak begitu semasa kecil?

Melihat senario sekarang, ramai remaja yang mendapat pendidikan agama dengan cukup baik sekalipun namun menjadi sebaliknya apabila meningkat dewasa, aku merasa sangat sayang. Timbul persoalan lagi, jika aku belajar agama seperti mereka sejak dulu, adakah aku akan menjadi seperti mereka? Bosan dengan peraturan Islam yang dilalui sekian lama hingga mereka memilih untuk hidup dengan peraturan sendiri?

Apabila membaca kisah penghijrahan seorang mualaf, beliau yang sebelum Islam sangat berdendam dengan ibunya, berubah mendadak setelah memeluk Islam. Perkara yang dilakukannya apabila berjumpa ibunya adalah memeluk sang ibu. Hatiku sebak, tersentuh kerana beliau berkata, “Saya berkata kepada emak, inilah indahnya Islam”…Ya Allah..terasa diri ini begitu kerdil sekali. Apabila membaca kisah hidup nabi, kematian insan tersayang dalam hidup baginda, kematian Hamzah dalam medan perang, air mataku jatuh lagi. Hatiku berkata, “ Lihat betapa sukarnya perjalanan nabi membawa Islam, dan orang yang bersamanya. Kau baru terima secebis ujian, sudah mengeluh…sudah jatuh..”

Di sekolah, aku agak aktif. Tidak habis celoteh terutama bila berkumpul dengan rakan-rakan rapatku ketika itu. Guru mengajar didepan, kami dengan hal sendiri dibelakang. Namun, satu yang kupegang dari dulu, guru mesti dihormati. Jadi, meskipun asyik bermain dengan rakan, akan kupastikan aku mendapat apa yang disampaikan oleh guru. Kerja rumah, latihan mseti dibuat biarpun bersengkang mata hingga pagi.

Bila aku mengenangkan semua ini, kurasakan betapa Allah menjagaku selama ini. Andai saja Dia membiarkan ku dengan pergaulan yang ‘luas’ itu, da tidak menegurku melalui hambaNya yang lain, pasti aku tidak begini sekarang. Pasti aku masih dalam kecelaruan kehidupan. Hnya Dia yang tahu betapa sakitnya, peritnya, pedihnya dibebani kisah lalu yang penuh kejahilan dan keseronokan dunia. Apa yang dilakukan pun tidak mampu menebus semuanya. Aku sering tenggelam dengan semua itu, dan aku timbul semula apabila suara hatiku berkata lagi. “Allah tidak menjadikan sesuatu dengan sia-sia. Dia menjadikan kehidupan kau begini pun bukan sia-sia. Ada hikmah disebaliknya…”

Teringat kata-kata seorang hamba Allah dalam satu kem motivasi Islam yang kusertai tahun lalu, “Jangan kurang semangat..Cuba maintain, istiqamah. Jika kita tak dapat buat semua, jangan tinggalkan semua. Perubahan jangan kita harap berlaku secara mendadak. Bangunan pun terbina dari ribuan ‘batu bata’ yang disusun rapi. Untuk merasai kemanisan, kepahitan mesti dirasai terlebih dahulu..”
Untuk mendapat kemanisan itu, perlu merasa pahitnya dahulu…Semoga Allah sentiasa menetapkan hatiku, hati-hati kita semua dijalanNya…muhasabahlah diri selalu. Inilah kisah hidupku yang sering aku putar dalam kotak ingatanku, agar aku tidak lupa diri di dunia yang fana ini. Aku tahu ramai di luar sana yang mempunyai pengalaman hidup yang jauh lebih baik atau sebaliknya..bezanya ialah cara kita melihat perspektif kehidupan kita..baik atau buruk..negatif atau positif…

Ya Allah, bersihkanlah hati kami, lapangkan dada kami, mudahkan segala urusan dunia dan akhirat kami..dan peliharalah serta lindungi kami dalam redhaMu, rahmatMu dan maghfirahMu…