Monday, February 28, 2011

Perkongsian : Refleksi Ilmiah

Bismillahirrahmanirrahim..

Dalam tempoh terdekat ini, kebanyakan pelatih mulai sibuk dengan tugasan, kerja kursus, kerja projek dan sebagainya. Assignment sememangnya sinonim dengan insan bergelar pelajar. Assignment sebenarnya membantu untuk memantapkan penulisan ilmiah kita, jika kita benar-benar ingin mengambil manfaat dari kesukaran dan kepayahan sepanjang proses penyiapannya.

Tidak dinafikan, kadangkala kehadiran assignment menjengkelkan, menyesakkan fikiran dan membebankan jiwa, namun disebalik semua itu, ia memberi sesuatu yang tidak mungkin kita perolehi dalam kelas atau kuliah biasa.

Salah satu kandungan assignment yang pastinya ‘membosankan’ ialah refleksi. Asyik-asyik refleksi. Bila dah naik perangai, copy saja refleksi yang entah dari semester berapa, dan tugasan mana satu. Ada ketikanya, nama pensyarah atau nama subjek tidak tertukar, dan ketahuanlah aktiviti ‘menyalin’ semula refleksi yang lepas. Adakalanya, satu refleksi dibuat sekali untuk semua 7 subjek dalam semester yang sama. Jimat masa dan fikiran.

Penghasilan refleksi yang baik sebenarnya membantu pensyarah/pemeriksa tugasan untuk mengetahui sejauh mana kefahaman kita berkenaan tajuk yang diberi . Biasanya, tajuk tugasan diberi mengikut sukatan pelajaran atau sukatan proforma. Jadi, ia membantu pensyarah membuat analisis pencapaian pelajarnya tentang apa yang dipelajari di dalam kelas dan bagaimana ia dipraktikkan oleh pelajarnya.

Justeru, penghasilan refleksi yang baik juga membantu pelajar/pelatih untuk mendapat markah yang lebih baik jika refleksinya diolah dengan cukup baik dengan memasukkan fakta ilmiah yang telah dipelajari. Dalam erti kata yang lain, penghasilan refleksi yang berbeza boleh menjadi penentu kepada perbezaan pemerolehan markah pelatih.

Salah seorang pensyarahku pernah berkata, refleksi yang baik ialah refleksi yang mempersoalkan segala teori yang telah dipelajari dan apa relevannya, sejauh mana kebenaran teori tersebut secara praktikalnya, secara realiti yang diperhatikan oleh pelajar/pelatih.

Jadi kepada rakan-rakan pelatih sekalian, mari sama-sama kita betulkan persepsi terhadap refleksi yang agak ‘membosankan’ untuk disiapkan. Bersama-sama kita anggap refleksi adalah catatan diari sepanjang tempoh penyiapan tugasan, assignment dan kerja kursus namun diolah penyampaiannya dalam bentuk ayat ilmiah supaya nampak lebih akademik tapi, tersirat sesuatu yang boleh direnungkan dan difikirkan sedalamnya untuk diaplikasi dalam kehidupan untuk kebaikan bersama.