Thursday, August 6, 2009

Budaya Hedonisme Menguasai Masyarakat

Sedarkah kita dizaman yang serba canggih ini, sebenarnya kita semakin menuju ambang kejahilan sekali lagi? Jahil dari segi nilai, akhlak apatah lagi agama.
Sedarkah kita bahawa semakin kita mengetahui sesuatu, semakin banyak yang kita tidak tahu dan kita perlu ketahui?
Sedarkah kita, semakin kita menghampiri saat terakhir kehidupan, semakin kita lalai dan jauh dari 'kesedaran' itu?
Hatiku terdetik untuk berkongsi tatkala melihat semakin banyak kerosakan dan musibah yang berlaku saat ini. Teknologi semakin maju kehadapan, namun akhlak semakin mundur kebelakang. Boleh dikatakan zaman jahiliyyah mula mendapat tempat dalam hati setiap yang bergelar manusia pada zaman siber ini.
Salah satu budaya hitam dari barat yang semakin menguasai masyarakat khususnya kaum remaja dan belia kita pada masa ini ialah hedonisme. Nama ja lawa-'hedonisme'- penuh keunikan namun hakikatnya ia merupakan dunia hitam yang membelenggu masyarakat hari ini. Mungkin ramai antara kita yang telah mengetahui tentang budaya ini, dan tidak mustahil juga ramai yang tidak mengetahuinya.
Hedonisme menurut Kamus Dewan ialah pegangan atau pandangan hidup yang mementingkan keseronokan dan kesenangan hidup semata-mata. Melalui budaya inilah, matlamat sekularisme pihak tertentu dapat dijayakan. Kebebasan hidup yang ditekankan dalam budaya ini terang-terang menjauhkan manusia daripada Tuhan.

Hedonisme dikembangkan oleh dua orang ahli falsafah Yunani, Epicurus (341-270 SM) dan Aristippus of Cyrine (435-366 SM). Mereka merupakan perintis kepada fahaman hedonisme ini.

Sebenarnya, mereka menganut aliran yang berbeza. Bila Aristippus lebih menekankan kepada kesenangan jasad seperti makan, minum, seksualiti, sebaliknya Epicurus lebih menekankan kepada kesenangan rohani seperti bebas dari rasa takut, bahagia, tenang batin, dan lain sebagainya. Namun, kedua-duanya berpendapat sama yaitu kesenangan yang diraih adalah kesenangan yang bersifat peribadi. Aristipus menyatakan apa yang terbaik untuk manusia ialah kesenangan dan keseronokan. Epicurus pula menyatakan kebaikan tidak mungkin difahami jika unsur kenikmatan dalam hidup ditolak.Dalam fahaman hedonisme masa kini, G.E Moore pula berpegang kepada konsep baik yang bertitik tolak kepada keseronokan.

Budaya ini meletakkan 5 prinsip utama sebagai neraca dalam amalannya, dan prinsip tersebut dengan jelasnya tidak mengakui Tuhan sebagai kuasa Pencipta teragung. Dalam erti kata yang lainnya, manusia yang termasuk dalam dunia hedonisme ini bertuhankan nafsu semata. Hari demi hari yang dilalui hanyalah untuk mengejar kekayaan dunia, bermegah dengan pangkat dan kuasa hingga lupa kepada hakikat kehidupan yang sebenar yakni sebagai hamba Allah yang amat kerdil, hina dan penuh kelemahan. 3 daripada prinsip tersebut ialah

1 ) Prinsip Relative yang menekankan tidak ada suatu konsep dan pemahaman terhadap suatu fakta atau teori yang bersifat mutlak dan kekal. Maknanya, semua boleh berubah mengikut zaman dan perkembangan ilmu.

2 ) Apa sahaja yang memuaskan hawa nafsu dianggap baik, manakala apa sahaja yang membwa penderitaan dianggap buruk.

3 ) Pilihan majoriti adlah pilihan terbaik kerana majoriti masyarakat merupakan pemutus.

Antara yang amat sinonim dengan budaya ini ialah sambutan pesta thun baru secara besar-besaran yang lebih kepada aktiviti konsert, penyalahgunaan dadah, sambutan ulang tahun yang membazir dengan tempahan itu ini dan mengundang artis untuk mengadakan persembahan, gejala sosial seperti pergaulan bebas, bidang seni dan perfileman yang seringkali disalahguna, korupsi atau rasuah yang berleluasa.

Ramai anak muda lebih suka menghadiri konsert dengan muzik hingar bingar yang membingitkan daripada mendengar alunan suci Al-Quran. Terkinja-kinja dibwah pentas hingga lupa 5 waktu solat fardhu yang berlalu begitu sahaja. Masa terbuang begitu sahaja dipusat-pusat karaoke, laungan azan yang berkumandang di masjid berdekatan terasa menyakitkan telinga. Artis luar negara dengan apa entah cara pemakaiannya dijemput dengan belanja beratus ribu malah berjuta, tapi belanja untuk perbaiki masjid berat untuk dikeluarkan. Belanja untuk mengadakan ceramah atau aktivti bercorak keagamaan terasa membazir. Ada yang lebih teruk, lebih suka berpegangan tangan atau lebih daripada itu, dengan teman wanita / lelaki, padahal ibu ayah atau adik beradik sendiri, nak pandang pun haram. Nak salam, cium tangan ibu ayah pun berat hati tapi sebaliknya dengan yang bukan muhrim, hati bukan main besar.

Lihat sahaja kemajuan di negara barat, khususnya AS, dalam keegoannya menongkat muka dan mengangkat diri di mata dunia, dalam masa yang sama, kadar jenayahnya berlaku tiap saat. Majalah mingguan Inggris Sunday Times menulis, “Meskipun AS memiliki 440 ribu polisi persekutuan, setiap jam terjadi dua kali pembunuhan, 194 kali pencurian bersenjata, 10 kali pemerkosaan terhadap wanita dan anak-anak, dan 600 kali pencurian di rumah-rumah.” Dalam keadaan masyarakat seperti ini, langsung tidak ada ertinya kemajuan dunia mereka kerana hakikatnya mereka mundur dari segi akhlak. Pnghasilan filem aksi yang tidak ada batas dan sempadannya amat besar pengaruhnya terhadap semua yang terjadi.

Betapa ruginya zaman muda yang tersia begitu sahaja dengan perkara-perkara tersebut. Kejahilan yang semakin ketara terlihat pada masa ini entah bila akan berakhir. Cuba sahaja lihat di setiap lorong jalan hari ini, anak-anak muda berkeliaran di jalan dengan aktiviti masing-masing, melepak tanpa tujuan, menghabiskan wang dan masa di pusat video dan keluar berduaan dengan pasangan yang bukan muhrim. Cuba kira berapa ramai yang menghabiskan masa di surau atau masjid mendengar kuliah yang menyentuh rohani, mendalami ilmu agama dan membuka mata hati untuk melihat semua kemungkaran dalam budaya hitam ini. Berapa ramai anak muda yang ada di dalam saf tatkala masuk waktu solat fardhu?

Apa yang kita utarakan lazimnya memantul semula ke dalam diri. Justeru itu, kukongsikan semua ini bukan kerana ingin menunjuk diri ini cukup baik. Tidak sama sekali. Perkongsian ini adalah hasil pengalaman yang kulalui sendiri agar kita sama-sama sedar dan berusaha untuk memperbaiki diri selagi ada kesempatan yang dikurniakanNya.

Hakikatnya, kebanyakan kita dikurniakan mata, tapi tidak melihat, dikurniakan telinga tapi tidak mendengar, dikurniakn hati tapi tidak merasa, dan dikurniakan mulut namun disalahguna hingga terlebih bercakap perkara yang sia-sia..