Saturday, March 12, 2016

Keluhan?



Bismillahirrahmanirrahiim.

Ada seorang sahabatku dulu selalu berkata, jangan suka mengeluh. Keluhan itu memendekkan usia. Berkali-kali sahabat itu mengulangi ayat yang sama hinggakan tiba suatu saat, terasa lucu pula. Akhirnya mengundang tawa.

Adakah manusia yang tidak pernah mengeluh? Walaupun sekali? Sekan menjadi lumrah, manusia dan keluhan sepertinya tidak boleh berpisah. 

Adakalanya, keluhan itu memenatkan, meletihkan dan tambah menekan perasaan. Aku selalu merasa penat untuk mengeluh. Sebab itu aku tidak suka utarakan keluhan, walaupun jauh di sudut hati, ingin sekali aku mengeluh panjang dan kuat bagi membuang jauh segala perasaan yang membungkam jiwa. 

Allah tidak membebani kita dengan apa yang kita tidak mampu hadapi. Itu janjiNya. Allah Maha Benar, demikian janjiNya benar belaka. Tinggal sahaja kita yang perlu belajar mengubah persepsi diri,  yang menganggap kita tidak mampu. 

Penat dan letih rasanya untuk menangisi nasib diri sedangkan sudah mengetahui semua yang berlaku adalah tanda kasih sayang dariNya. Penat juga melayan karenah-karenah mereka yang tidak memahami bicara hati, yang sentiasa mahu memenangi setiap situasi. Kosong, tawar, hambar, segalanya bercampur baur. Sedikit masa lagi, benci pula akan lahir dalam hati. Tidak dipinta seperti itu tapi kita bukan nabi, aku bukan nabi. Nabi itu mulia dan terjaga hatinya. Berbeza dengan manusia biasa seperti aku..umpama langit dan bumi. Allah…pelihara hati ini. Sekalipun tidak menyetujui, tidak merelai, jangan sesekali hati dikuasai amarah, dendam dan benci. Biarlah semuanya berlalu seperti kehendakMu, rencanaMu yang maha indah. Tapi kuatkanlah hati ini untuk tetap teguh di taliMu.

Murah sekali air mata apabila berbicara dengan maha Pemilik sekalian isi hati, isi langit dan bumi..dan apa yang ada di antara keduanya. Benarlah..sesukar manapun keadaan kita, sekalipun tiada bahu untuk kita bersandar..ingatkan diri bahawa bumi ni amat luas dan sentiasa ada untuk kita bersujud. Merendahkan hati dan diri menghadap yang Maha Kaya dan Maha Kuat. Agar diberi kekuatan menghadapi rencam kehidupan yang menyakitkan. Ok..jangan mengeluh. Tarik nafas panjang-panjang dan hembus perlahan-lahan. Allah ada..Allah Maha Tahu.

Sampai ke mana sudah perjalanan kita? Sejauh mana sudah kita melangkah dalam hidup di dunia fana ini? Sampai ke mana pencapaian kita sebagai hambaNya? Moga Allah kuatkan kita. Moga Allah pandu jalan hidup kita dengan petunjukNya, dengan rahmat dan kasih sayangNya yang Maha Luas.

Syurga itu mahal harganya, tinggi nilainya. Justeru bukan yang calang-calang menjadi taruhannya. Jaga hati saudara saudari. Moga bertemu di sana nanti dengan wajah yang berseri-seri.

Sunday, March 6, 2016

Hikmah


Assalamualaikum..
Adakah ini entri pertamaku pada tahun ini? Alhamdulillah..dikuatkan Allah untuk berkongsi cerita kehidupan, yang mana kuharapkan meninggalkan sedikit rasa dalam hati insan yang membacanya.
Bukan mudah untuk membawa hati dan diri menaip bait kata-kata yang terbit dari hati. Bukan senang memaksa minda bekerja mencari ayat-ayat termudah bagi menyampaikan maksud cerita. Bukan mudah untuk menyampaikan mesej cerita agar ia memberi manfaat buat semua pembaca.

Apapun, moga semuanya baik-baik belaka. Moga semua pembaca sihat-sihat sahaja. Moga Allah melindungi dan menaungi kita dengan rahmat dn redhaNya..sentiasa. InsyaAllah…aminnn.

Setiap kejadian yang Allah tetapkan, pasti ada hikmahnya. Sedangkan malam ada siangnya, matahari ada bulannya, bumi ada langitnya, pasang ada surutnya, lapar ada kenyangnya, miskin ada kayanya, sempit ada lapangnya, jantan ada betinanya,kesusahan pasti ada kesenangan, dan kesedihan pasti ada kegembiraan. Yakin dengan Allah. Tiada kejadian yang sia-sia. Kalau kita tidak melihat hikmah terindah itu pada masa sekarang, mungkin pada masa akan datang. Moga Allah menguatkan kita untuk menantikan saat itu.

Alhamdulillah..kami tujuh beradik dapat berkumpul bersama pada cuti tahun baru cina yang lepas. Satu keadaan yang jarang-jarang berlaku, atas alasan bertebaran di bumi Allah mencari rezekiNya. Seketika kurasakan, begitu cepat masa berlalu. Seperti baru semalam aku menghantar adik bongsuku ke prasekolah, hari ini dia sudah besar panjang, remaja 17 tahun yang pastinya lebih tinggi dariku. Abang kakakku yang dulunya rakan bermain berlari, panjat memanjat, masak memasak kini punya anak masing-masing. Dan ibuku yang dahulunya gagah membawa diri naik turun sawah dan keluar masuk kebun getah, kini makin dimamah usia. Begitu cepat masa berlalu. Singkatnya masa itu. 

Seketika fikiranku terarah kepada satu-satunya adik perempuanku yang menginjak ke usia 20 tahun tahun ini. Banyak yang kami lalui bersama selama setahun dia menemani suka duka kehidupanku di Pulau Banggi. Tinggal berjauhan dari keluarga, membuatkan jiwa lebih kental, fikiran lebih matang..insyaAllah. itu pesanku pada adik-adikku. Kerana itu, aku mengajaknya ke pulau, merasai kehidupan di tempat orang. Ruang dan peluang itu membuatkan kami lebih saling mengenali, dan jujur aku katakan, memori kami di pulau tidak ternilai harganya. Membuatkanku mengenal dan merasa erti tanggungjawab apabila ada orang lain yang perlu dijaga…juga membuatkanku merasa secebis kepayahan ibu bapa menjaga anak yang meningkat dewasa.

Allah yang memiliki kesihatan, Allah yang berkuasa menariknya, Allah jua yang berkuasa menyembuhkannya. Tidak dapat dipastikan apakah puncanya, kebelakangan ini adikku seringkali sakit dada dan sesak nafas. Ianya bermula sejak hujung tahun lepas, dan kelihatannya bertambah teruk sejak akhir-akhir ini. Namun begitu, selera makannya tetap bertambah, terlewat makan pasti gastriknya datang mendadak. Keluar masuk hospital dan berjumpa pakar, disahkan sihat walafiat. Namun keadaanya merunsingkan. Aku tidak mahu mempamerkan kerisauanku, tapi rasa itu tetap ada merajai jiwa. Aku berpesan bermacam perkara pada adikku, ubah jadual harian sekarang termasuk waktu makan, mandi, tidur dan bangun tidur, dan paling penting solat kena jaga. Katanya, dia cuba solat tapi tidak dapat sebab dadanya sakit. Aku minta dia paksa diri,tidak dapat solat berdiri, solat secara duduk. Solat adalah ubat bagi kebanyakan penyakit, pesanku.

‘Penyakit’ tersebut nyata memberi kesan kepada adikku. Ditambah lagi dengan sikapnya yang suka bersendiri, semakin membuatkan ibuku buntu apabila sakit itu datang secara tiba-tiba. Beberapa kali aku mengambil cuti kecemasan untuk melawatnya dan membawanya bertemu orang tertentu sebagai ikhtiar perubatan. Walaupun keadaan tidak jauh berbeza, adikku kini sudah mampu melawan sakitnya untuk tetap menunaikan solat. Seakan menjadi kelainan dan perkara baru apabila pertanyaan ‘Sudah solat?’ menjadi kelaziman untuknya. Alhamdulillah, Allah jualah yang memiliki segala kekuatan di bumi dan langit dan apa yang ada di antara keduanya.

Ada hikmah di sebaliknya. Tiada kesakitan yang sia-sia. Di sebalik kesukaran dan kepayahan berpunca dari sakit adikku ini, ia turut menjadi asbab kepada pengukuhan hubungan antara kami 7 beradik. Sekian lama tidak melihat adik beradik lelakiku solat berjemaah, akhirnya dengan  wujudnya kesukaran akibat sakit itu, mereka berdiri dalam satu saf untuk solat berjemaah. Hanya Allah yang Maha tahu perasaanku ketika itu. Gembira, sebak, semuanya bersatu dalam rasa syukur yang menggunung atas kurnia itu.





..........................