Friday, March 5, 2010

Nikmat dariNya tak mampu kita hitung

Assalamualaikum..

Alhamdulillah, aku berpeluang lagi meluahkan perkongsian yang kuharap dapat memberi sesuatu kepada sesiapa jua yang berkesempatan membacanya..

Kebelakangan ini, banyak perkara baharu berlaku dan kurasakan semua yang terjadi itu mempunyai iktibarnya yang tersendiri jika kita mahu melihat jauh lebih dalam setiap peristiwa tersebut, namun aku percaya ramai antara kita tidak ingin melapangkan hati untuk melihat dari sudut yang lain tentang apa jua yang berlaku. Aku ingin mengemukakan 3 peristiwa utama yang mungkin telah diketahui ramai sebelum ini.

Peristiwa 1 : Ramai pelatih yang jatuh sakit tiba-tiba dengan simptom sakit perut, pening, sakit tekak, mual, sakit badan dan muntah-muntah. Ramai yang mendakwa keracunan makanan dan sudahnya, kafetaria menjadi mangsa ( aku tidak bermaksud mengatakan kafetaria tidak bersalah sama sekali )

Peristiwa 2 : Cuaca yang semakin panas dan kepanasannya lain dari panas cahaya mentari sebelum ini

Peristiwa 3 : Gempa bumi yang melanda Chile, Padang

Antara yang ramai-ramai yang mengalami simptom itu, diriku turut termasuk sama. Tapi, aku tidak ingin mendakwa bahawa aku telah keracunan makanan, aku lebih suka mengatakan aku sendiri yang tidak mengamalkan pemakanan yang teratur, hingga memudaratkan kesihatan diri sendiri. Sakit perut..apalah ertinya jika dibandingkan dengan sakitnya sakaratulmaut, sakitnya azabNya..Aku sejujurnya tidak gemar mendengar ramai yang terus-menerus menuding jari kepada pihak kafetaria tentang masalah kesihatan yang dihadapi secara tiba-tiba. Kenapa tidak melihat kesilapan diri dahulu sebelum mengatakan orang lain salah? Mengapa tidak mahu berfikir itu mungkin adalah satu petanda dariNya, yang bertujuan mengingatkan kita tentang amanahNya pada kita, iaitu menjaga kesihatan tubuh badan kurniaanNya? Atau itu sebagai satu pengajaran, mahupun penebus dosa-dosa kita yang lalu? Masyarakat hari ini sememangnya sudah semakin jauh dari landasan fikiran yang sebenar, kerana dibutakan dengan dunia..terlupa seketika berfikir dari sudut dunia yang satu lagi..

Cuaca..tidak kunafikan cuaca kebelakangan ni, semakin panas dari biasa. Apabila keluar pekan walau untuk seketika, panasnya terasa sehingga balik ke asrama. Kipas di kelas, asrama dan di mana jua sentiasa dipasang kerana bahangnya sangat terasa. Untuk keluar ke padang pada waktu petang pun berfikir berkali-kali kerana cuaca yang panas. Umumnya, semua mengetahui keadaan ini dirasai bukan hanya di Sabah malahan seluruh Malaysia dan beberapa negara lain. Ramai yang mengatakan ia disebabkan el-nino, dan hanya berakhir antara April hingga Mei. Bila nikmat sejuk ditarik dan nikmat panas ditambah, pun masih ramai yang bising. Bila nikmat sejuk ditambah dan nikmat panas ditarik, keadaan yang sama juga berlaku. Bila hilang nikmat syukur, apa pun nikmat yang diberi, tidak akan diterima sebagai sesuatu yang baik. Itulah manusia..

Bencana alam memang sering menghiasi dada akhbar masa kini. Banjir, gempa bumi, tsunami, taufan, puting beliung tidak akan pernah berhenti singgah di mana-mana lokasi yang telah ditetapkanNya. Chile misalnya baru-baru ini dikatakan mengalami gempa bumi 8.8 skala Richter dan menyebabkan paksi bumi berganjak sebanyak 8 sentimeter, sekaligus memendekkan hari sebanyak 1.26 mikro saat. Sewaktu mendengar berita ini, jantungku berdegup pantas. Meskipun gempa bumi ini tidak seteruk gempa bumi Aceh, namun kesannya sangat besar sebenarnya. Demikian juga gempa bumi di Padang, Sumatera serta bahagian-bahagian lain di Indonesia. Beberapa buah kampung lenyap begitu sahaja tanpa kesan seolah-oleh kawasan tersebut baru sahaja diratakan untuk tujuan pembinaan bangunan. Melihat gambar-gambar setelah gempa bumi itu, aku merasakan betapa bertuahnya rakyat Malaysia. Duduk senang lenang, tidak perlu berlari menyelamatkan diri dari semua perkara ini, namun apa yang terjadi, kita hebat dengan pergolakan politik dalaman. Para pemimpin berebut kawasan untuk mengukuhkan kedudukan masing-masing....

Walauapapun, itu semua adalah kurniaan dariNya. Semua itu adalah sebagai ujian dan peringatan bagi kita semua yang semakin leka, alpa dan lalai untuk mengingatiNya. Aku tertarik mendengar cerita pensyarahku, lebih kurang begini katanya.." Anda tahu apa ada di Haiti tu? Pernah terfikir kenapa terjadi bencana seperti itu?" Seterusnya dia mengaitkan kisah Haiti dengan kisah kaum nabi Luth dan masyarakat Pompei pada zaman Kaisar Rom berhampiran gunung Vesuvius. Apakah kaitannya? Kuharap rakan-rakan diluar sana boleh mengkajinya sendiri.

Kesimpulannya sahabat dan saudaraku, kita hidup didunia ini sebenarnya semuanya bergantung kepada nikmat kurniaan Allah jua. Andai satu nikmat itu ditarik ,pasti sukar perjalanan kita. Misalnya sakit gigi dan terpaksa dicabut gigi tersebut. Adakah kita masih dapat mengunyah makanan seperti sebelum itu? Jika masih terasa sakitnya, adakah kita masih boleh bergelak ketawa? Apatah lagi jika kehilangan gigi hadapan. Pasti malu berdepan dengan orang, nak makan pun payah, nak baca al-Quran pun susah ( nak sebut huruf tsa, sin dengan betul pasti sukar )..Itu nikmat yang biasanya kita anggap kecil..Dalam keadaan sihat, apa yang kita buat? Cukupkah solat? Terjagakah mulut, tangan, telinga, mata serta hati daripada perkara yang ditegahNya? Bila dah sakit, ada yang menyumpah seranah sebab tidak boleh bangun lah, tidak boleh makan itu dan inilah, tidak boleh keluar rumah lah..Walhal itu tandanya Allah sayang dengan kita, Dia memberikan sakit itu sebagai penebus dosa yang telah dilakukan..Sakit itu satu nikmat juga sebenarnya..Kalau kita bandingkan kesabaran kita menghadapi penyakit yang kecil dengan kesabaran nabi Ayub, seperti langit dan bumi rasanya....

Kalau nak hitung nikmat Allah satu persatu, kita tidak akan habis membicarakannya. Sebanyak mana pun yang dapat kita senaraikan, hakikatnya nikmat kurniaanNya jauh lebih besar dan lebih banyak..Pokok pangkalnya ialah erti kesyukuran, masih ada lagikah ia tersemat didasar hati kita?


Moga bermanfaat buat semua..wallahualam..