Sunday, September 19, 2010

Bicara Pengembara


Suram. Kosong. Kelam. Bingung. Keliru. Gelisah. ….

Itulah serba sedikit perasaan yang seringkali hadir dalam hati makhluk bergelar manusia. Hakikatnya, manusia itu sentiasa bergelut dengan perasaan sendiri. Sentiasa berlawan dengan kata hati sendiri. Sentiasa keliru dengan persoalan-persoalan yang melingkari dirinya. Sentiasa keliru dengan perintah hati dan logik akalnya. Sentiasa cuba mencari siapa dirinya, meski sudah ditetapkan sejak azali, fitrahnya mengakui bahawa ia adalah hamba kepada Tuhan Yang Maha Esa.

Kadangkala, kita akan hairan dengan pelbagai peristiwa yang berlaku di sekitar kita. Kita dikelilingi banyak perkara yang kita tidak faham, yang sukar untuk dimengerti. Adakalanya kita berhabisan menidakkan sesuatu, namun yang berlaku adalah sebaliknya. Adakalanya pula kita mengharap akan sesuatu, namun yang diperolehi adalah sebaliknya.

Sewajarnya, kita sedar akan siapa diri kita. Makhluk kerdil lagi hina yang tidak mempunyai apa-apa, melainkan dengan apa yang Allah kurniakan pada kita. Ingin meninggi diri, menyombong diri pada siapa? Walhal diri tidak mempunyai apa-apa. Tidak memiliki satu pun. Semuanya pinjaman semata. Bila-bila boleh ditarik balik. Sudahlah meminjam banyak, meminta banyak, tapi seringkali menjadi kacang lupakan kulit.

Istimewanya manusia, ia boleh mendapat darjat yang lebih mulia dan lebih tinggi dari para malaikat, jika ia menjadi hamba yang sebenar-benar patuh pada Penciptanya. Dan dalam masa yang sama, darjat seorang manusia itu akan menjadi lebih rendah dan lebih teruk dari seekor binatang jika malu dan imannya tercabut dari jiwa.

Berpijaklah dibumi yang nyata. Kita hanya hamba, asal dari tanah dan akan kembali ke sana tidak lama lagi. Kita hanya berasal dari sesuatu yang kita sendiri pijak hari-hari. Kembalilah ke fitrah kita. Carilah titik mula yang sudah semakin jauh kita tinggalkan. Sudah jauh kita berjalan dan berlari serta mendaki, semakin dekat kita ke puncak, namun semakin jauh kita menyimpang dari fitrah asal kita. Jangan biarkan segala keindahan di depan mata mengaburi hati kerana hakikatnya dunia ini serba indah namun ianya palsu semata. Sementara semata. Carilah harta sebanyak mungkin, cintailah sesiapa sedalam mungkin, sayangilah keluarga sepenuh hati, namun bila saatnya tiba, semuanya akan ditinggalkan. Kita tetap akan berada sendirian disuatu rumah yang gelap dan sempit, tidak ada sesiapa pun yang menemani melainkan amal diri sendiri.

Jiwa yang kosong akan mudah dikelabui dengan hasutan dan bisikan romantis dari musuh nyata manusia. Justeru itu, jangan biarkan hati kita kosong. Carilah. Carilah asal dan tujuan hidup kita. Hidupkan hati kita dengan kembali mengingatiNya. Suburkan hati kita yang lemah dan layu. Kembali kepada fitrah sebagai hamba Allah. Selangkah kita menuju padaNya, seribu langkah Dia menuju untuk menerima kita.Setinggi gunung dan sedalam lautan dosa kita, akan diampunkanNya jika kita bertaubat dan berdoa padaNya.

Dikala hati ingin menangisi perjalan hidup, segalanya akan terasa hambar dan hilang serinya. Tika itu, datanglah bisikan lembut yang menyapa,

‘Semakin kuat ujian dariNya, itu tandanya semakin sayang Allah pada kita. Tidak inginkah menjadi hamba yang disayangiNya lebih dari yang lain? Bersabarlah..ingat Allah, kerana Dia tidak pernah melupakan hambaNya..yakinlah pada janjiNya..”

Kita tidak layak untuk masuk ke syurgaNya, tetapi kita tidak akan sekali-kali sanggup untuk masuk ke nerakaNya. Justeru itu…hadirkanlah hati kita, sepenuhnya..untukNya. Kerana hanya kepadaNya, kita akan kembali.

Pesanan ini bukan untuk anda di luar sana sahaja, namun ia ditujukan khusus buat diri yang menulis agar sentiasa ingat siapa diri, dari mana asal usul dan kemana hala tuju kelak.