Thursday, June 3, 2010

Bicara Cuti Semester

Bismillahirrahmanirahim..

Cuti semester mula melabuhkan tirainya. Kampus semakin sunyi. Suasana cuti kian terasa. Menyapa lubuk hati. Aku sudah terbayang-bayang rumah. Mula menyusun aktiviti sepanjang cuti. Antara aktiviti yang tersenarai ialah mendaki bukit di belakang rumah yang sekian lama kutinggalkan. Aku ingin menyusur memori lalu di sepanjang laluan bukit yang semakin lapang. Selain itu, aku juga ingin mengunjungi perpustakaan daerah yang juga sudah lama tidak kujejaki. Bagaimana dengan perancangan aktiviti anda di luar sana?

Pemandangan sebahagian kawasan kampung dari atas bukit di belakang rumah



Laluan di sepanjang bukit


Malam ini merupakan malam terakhir sebelum hampir semuanya berangkat pulang ke kampung halaman masing-masing. Semakin terasa perpisahan itu. Meski hanya untuk 3 minggu. Aku semakin kehilangan kata apabila melihat satu persatu wajah saudara-saudaraku di kampus ini. Aku lebih gemar melihat dan memandang daripada bercakap. Kerana tidak ada ayat atau kata-kata yang dapat menterjemahkan isi hatiku yang sebenar, yang berat untuk berpisah dengan mereka. Namun itulah resam kehidupan. Setiap pertemuan ada perpisahan. Dan apa yang penting, jika kita mengikat suatu ukhwah atas nama agama, pastinya ‘bertemu tak jemu, berpisah tak gelisah’..

Masa berlalu begitu pantas. Tanpa disedari, semuanya berubah sekelip mata. Hidup ini penuh dengan kejutan, penuh dengan ragam, penuh dengan perubahan. Beberapa ketika yang lalu, seseorang berkata padaku lebih kurang seperti ini, “ Tak sedarkan masa cepat berlalu. Abang kau dah nak kahwin, kakak pula dalam proses, lepas ni giliran kau pula..” Kata-kata berbaur usikan yang membuatkanku berasa lucu.

Kehadiran insan baru dalam keluarga merubah dimensi persepsiku dalam melayari kehidupan yang semakin mencabar. Seakan tidak percaya bahawa abangku sudah mempunyai keluarganya sendiri. Semasa hari pernikahannya, terasa sebak di hati tatkala memikirkan abangku bukan lagi abang yang dahulu, teman bermain semasa kecil, teman berkejaran, memanjat pokok, mandi sungai dan sebagainya. Abangku bakal menjadi ketua keluarga, suami orang dan menjadi ayah. Aku terbayang, selepas ini, kami semua akan menjadi semakin dewasa, semakin tua, dan akan sentiasa menanti giliran untuk dipanggilNya. Singkat sungguh kehidupan ini.

“Besarkah baju ni?”

“ Tolong pakaikan samping, boleh?”

“ Okaykah macam ni?”

Antara soalan abang sambil menunjukkan baju pengantinnya. Apabila rakan-rakan bapaku dan para pakcikku mengusiknya supaya jangan gementar, dia berkata, “Biasa ja pun..” Walhal semasa akad berlangsung, mukanya merah padam dan terpaksa mengulang dua kali lafaz akad. Semasa membaca lafaz takliq, tangannya bergetar memegang kertas.

Tak apalah. Apa yang penting, abang selamat diijabkabulkan pada 1 Jun lalu. Hanya ucapan syukur mampu kupanjatkan padaNya atas segala kemudahan yang dikurniakannNya. Semoga Allah memudahkan segala perjalanan abang dalam melayari alam rumah tangga selepas ini.

Kenangan bersama abang di hari pernikahannya


Sementara itu, dalam keriangan menyambut cuti semester, mungkin ada yang tidak sedar, malah tidak tahu tentang serangan tentera Zionis terhadap kapal Mavi Marmara beberapa hari lepas. Aku dimaklumkan oleh seorang sahabat melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) juga beberapa hari lepas. Bacaan qunut nazilah mula kedengaran pada setiap rakaat terakhr setiap solat fardhu.

Memang benar, sesiapa yang membawa kebenaran akan mendapat tentangan yang sangat hebat. Dan hanya yang benar-benar kuat mampu berhadapan dengan tentangan tersebut. Orang kita terlalu manja, terlalu asyik dengan kesenangan, hingga terlupa kesusahan yang terpaksa dilalui saudara-saudara di sana. Berbeza dengan mereka di sana. Andai kata kita berada di tempat mereka, dapatkah kita bertahan sebagaimana mereka? "Tempoh 28 jam diserang dan ditawan tentera Israel dalam kapal sudah cukup untuk saya merasai penderitaan enam dekad warga Palestin berdepan dengan kekejaman regim Yahudi itu." Demikian kata-kata salah seorang tahanan dalam serbuan kapal Mavi Marmara tersebut. Bayangkanlah bagaimana saudara kita disana meneruskan kehidupan sehari-hari..

Pernah terfikir apa yang telah kita usahakan, lakukan dan laksanakan untuk membantu saudara kita di sana?

Pernah berdoa untuk mereka?

Pernah bersyukur dengan apa yang kita ada yang mana jauh lebih baik dari mereka?

Pernah bandingkan tahap kesabaran, ketabahan dan keimanan kita dengan mereka?

Pernah menghitung setinggi mana darjat mereka berbanding kita?

Bererapa ketika lalu, semasa membuat pungutan derma untuk disalurkan kepada mereka, aku kehilangan kata apabila seorang rakan NON MUSLIM menderma dalam jumlah yang lebih besar berbanding yang lain. Malah memberi sebanyak dua kali. Berbanding dengan rakan Muslim yang kadangkala terlalu sukar mengeluarkan sumbangan. Sekali lagi aku berfikir, dimana erti persaudaraan dalam hati rakan-rakan ini? Tidak semua..ya..hanya segelintir, tapi biasanya..yang segelintir itulah yang diperhatikan. Yang segelintir itulah yang membuka ruang ketidakindahan Islam pada pandangan masyarakat khususnya yang sedang dalam pencarian.

Justeru itu, kepada semua saudara di luar sana, renung-renungkanlah semua kejadian yang berlaku disekeliling kita. Jangan kerana tingkah kita, sikap kita, kata-kata kita, 'mereka' melabel Islam dengan nama yang tidak sepatutnya. Rasailah di dalam hati apa yang ada di dalam Islam itu, dan zahirkan pada 'mereka' apa itu Islam.

Bersama-samalah kita merawat hati dan memperbaiki diri dalam usaha menjadi model kepada masyarakat luar..

Semoga bermanfaat...

Wallahu'alam...

Untuk semua rakan-rakan..selamat bercuti dan semoga cuti ini tidak berlalu begitu sahaja ibarat debu ditiup angin..Isilah dan penuhilah cuti-cuti yang ada dengan perkara yang bermanfaat, yang semakin mendekatkan kita padaNya dan menjadikan kita sebagai hambaNya yang lebih baik dari sebelum ini..insyaAllah..

Assalamualaikum..